[KOLUMNIS] Banjir: Birokrasi dan protokol punca kelewatan hulurkan bantuan?

Shahbudin Embun
Disember 21, 2021 17:47 MYT
Seorang penduduk meredah banjir bagi menyelamatkan binatang perliharaannya selepas terkandas akibat banjir kilat yang melanda di sekitar Sri Muda hari ini. - fotoBERNAMA
SEMEMANGNYA pelbagai pihak agensi penguatkuasa telah memainkan peranan penting dalam menggerakkan tenaga pekerja membantu mangsa–mangsa banjir di pelbagai tempat yang teruk dilanda banjir di seluruh negara kita .
Kerajaan juga telah memberi jaminan bahawa keselamatan mangsa menjadi keutamaan selain memastikan bekalan makanan disediakan untuk semua mangsa banjir.
Namun, daripada apa yang kita dengar dan lihat di pelbagai sumber media sosial, apa yang dilakukan ini masih belum mencukupi dan rata-rata masyarakat masih tidak berpuas hati khasnya dari segi usaha menyelamatkan mangsa-mangsa banjir.
Ini adalah kerana, selepas 48 jam kejadian itu berlaku, masih ramai yang terperangkap dan tidak dapat diselamatkan.Ini menyebabkan kemarahan rakyat kepada pihak berkuasa termasuk kerajaan pusat dan negeri.
Mereka bertambah marah apabila ada di beberapa tampat, yang mana pihak-pihak NGO yang hendak membantu, disekat dan tidak dibenarkan masuk ke kawasan yang hendak dibantu. Adakah ini benar?
Adakah ini disebabkan faktor birokrasi dan protokol ataupun faktor keselamatan, ataupun mungkin tidak adanya koordinasi dari pihak berkuasa? Apapun, pihak NGO ini tidak mendapat penjelasan mengapa mereka tidak dibenarkan masuk untuk membantu.
Negara kita mempunyai sebuah agensi yang bernama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Daripada namanya sahaja, sudah pasti banjir boleh dikategorikan dalam bencana negara. Namun apa yang menyedihkan ialah apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Abd. Latiff Ahmad yang menjaga NADMA mengeluarkan kenyataan bahawa agensi itu hanya menguruskan pampasan serta meminta minta wakil rakyat jangan meletakkan sepenuhnya kepada NADMA.
Abdul Latif menjelaskan ianya sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan pusat.
“Kalau hal ehwal yang berkaitan dengan banjir atau bencana, perlu dikongsi oleh pihak ini (kerajaan negeri dan kerajaan tempatan), jangan bulat-bulat serahkan kepada NADMA di peringkat pusat.” jelasnya lagi.
Ini merupakan satu kenyataan yang sangat mengecewakan, sedangkan kita semua tahu bahawa NADMA merupakan agensi peneraju pengurusan bencana yang mengatur semua gerakan dan mengkoordinasi semua pihak yang terlibat dalam pengurusan bencana.
Di sinilah, NADMA sepatutnya memainkan peranan utama dan bukannya seperti "melepaskan batuk di tepi tangga."
Secara peribadi saya merasakan ketika ini, jangan cerita tentang pampasan dahulu, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana hendak menyelamatkan mangsa-mangsa banjir ini yang terperangkap lebih daripada beberapa hari, tanpa bekalan makanan dan ubat-ubatan yang mencukupi.
Adakah NADMA tidak boleh bertindak disebabkan protokol dan birokrasi dan terpaksa mengikut peraturan dan undang- undang yang sudah ditetapkan untuk Nadma?
Ini bukan masanya memikirkan soal protokol dan birokrasi
Sebagai contoh, dalam keadaan sekarang, "lori-lori hantu" yang sentiasa berkeliaran di tapak-tapak projek dan hutan juga telah keluar dari persembunyian untuk membantu mangsa-mangsa banjir.
Selain itu, warganet terus menyuarakan ketidakpuashatian apabila melihat terdapat beberapa pemimpin yang masih sempat berpolitik meneruskan perhimpunan bagi membincangkan isu-isu politik sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
Adakah ini menjadi "fokus" pemimpin kita dan bukannya kebajikan rakyat?
Namun, kita sebagai rakyat Malaysia masih boleh berasa bangga dengan solidariti yanf dipamerkan sebilangan rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama, bersama-sama menggembeling tenaga membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir.
Ada yang membawa bot peribadi mereka, membeli dan menyewa sampan dalam operasi mencari dan menyerlamatkan mangsa-mangsa yang terkandas akibat peningkatan air luar jangkaan ekoran hujan lebat berterusan minggu lalu.
Realitinya, ini bukanlah kali pertama kita menghadapi masalah banjir.
Berdasarkan rekod sejarah banjir buruk yang melanda kawasan Lembah Klang ini pernah berlaku pada tahun 1971 atau 40 tahun yang lalu. Manakala di negeri Kelantan dan Terengganu, masalah ini sudah menjadi seperti “acara tahunan”.
Sepatutnya, kita sudah mempunyai pengalaman yang luas dan tahu bagaimana hendak mengurangkan risiko serta kaedah dan protokol yang sesuai untuk menangani masalah ini.
Selain daripada rancangan jangka pendek, kerajaan juga perlu memikirkan rancangan jangka panjang supaya punca kepada masalah ini dapat dikenal pasti agar masalah banjir ini dapat dielakkan.
Kepada rakyat Melaysia, teruskan sifat keprihatinan anda dan teruskan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Mungkin sudah sampai masanya untuk pihak berkuasa menilai semula soal birokrasi dan protokol dalam menghulurkan bantuan kecemasan.
Saya menutup penulisan ini dengan mengambil kira komen seorang pemimpin besar NGO yang dipetik sebagai berkata, "it proves our public delivery service at its worst. Poor coordination and no central command."
Komen dari pelajar kita di luar negara cukup menggambarkan kekecewaan mereka tentang betapa alpanya sesetengah pihak tentang kebajikan rakyat yang ditimpa malapetaka ketika ini.
Kekal tabah, Malaysia!

* Penulis merupakan penganalisa dan pengerusi biro politik MPM.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#bencana banjir 2021 #MKN #NADMA #mangsa banjir 2021
;