[KOLUMNIS] Bahaya maklumat salah: Ancaman keamanan dan keharmonian di Malaysia

Kolumnis AWANI
Ogos 8, 2024 14:26 MYT
Maklumat yang salah bukan sahaja ancaman di negara-negara Barat tetapi juga semakin menjadi masalah besar di Malaysia - Gambar hiasan/Pixabay
DI ERA DIGITAL masa kini, maklumat boleh tersebar dengan pantas ke seluruh dunia.
Namun, kemudahan ini membawa cabaran besar – penyebaran maklumat palsu atau salah informasi.
Kejadian rusuhan besar di United Kingdom (UK) baru-baru ini adalah contoh nyata bagaimana maklumat yang tidak tepat boleh membawa akibat yang menghancurkan.
Rusuhan ini, yang merupakan yang terburuk dalam 13 tahun terakhir di UK tercetus akibat penyebaran maklumat palsu mengenai serangan di Southport.
Maklumat yang salah menyatakan bahawa suspek serangan tersebut adalah seorang pencari suaka Muslim, yang mana akhirnya menyebabkan kekacauan dan keganasan yang meluas.
Maklumat yang salah bukan hanya ancaman di UK tetapi juga berpotensi menggugat keamanan dan keharmonian di Malaysia.
Dengan contoh-contoh maklumat palsu yang pernah berlaku di negara kita terutamanya semasa pilihan raya, adalah penting untuk memahami dan menangani bahaya ini secara menyeluruh.
Bahaya maklumat yang salah dapat mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama serta mengganggu kestabilan negara kita.
Rusuhan di UK
Rusuhan yang melanda UK baru-baru ini bermula dari penyebaran maklumat palsu mengenai satu insiden serangan di Southport.
Pada 29 Julai, laporan palsu tersebar di media sosial mendakwa bahawa seorang pencari suaka Muslim telah menyerang kelas tarian bertemakan Taylor Swift, mengakibatkan kematian tiga kanak-kanak dan mencederakan ramai yang lain.
Maklumat sebenar mengenai suspek, Axel Rudakubana, hanya diketahui selepas itu.
Rudakubana, yang berusia 17 tahun sebenarnya dilahirkan di Cardiff, UK dan beragama Kristian.
Walaupun identiti sebenar telah didedahkan, kerosakan yang diakibatkan oleh maklumat palsu tersebut telah pun berlaku.
Rusuhan besar-besaran tercetus di bandar-bandar utama di UK termasuk Belfast, Northern Ireland.
Kumpulan sayap kanan telah mengambil kesempatan daripada kekeliruan dan kebencian yang ditimbulkan oleh maklumat palsu tersebut untuk melakukan kekacauan.
Lebih daripada 400 perusuh telah ditangkap kerana terlibat dalam keganasan ini.
Mereka bukan sahaja merosakkan harta benda awam, tetapi juga menyerang polis, merosakkan masjid, perpustakaan, dan mencacah rumah dengan kata-kata kesat berunsur perkauman.
Rusuhan di Rotherham dan Tamworth adalah antara yang paling ganas, di mana perusuh menyerang hotel-hotel yang menempatkan pencari suaka, melontar bom petrol, serta bunga api kepada pihak polis.
Insiden-insiden ini menyebabkan kecederaan kepada ramai anggota polis dan menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk tempatan.
Di Middlesbrough, Bolton, dan beberapa bandar lain pula, perusuh mengibarkan bendera England sambil menyerang bangunan dan mencederakan orang awam.
Keseluruhan insiden ini menunjukkan betapa cepatnya misinformasi boleh merebak dan membawa kepada keganasan yang meluas.
Selain kerugian fizikal, rusuhan ini juga memberi kesan negative kepada ekonomi tempatan, menjejaskan perniagaan dan mengganggu kehidupan harian penduduk.
Kerosakan harta benda awam dan swasta perlu diperbaiki dan ini memerlukan kos yang tinggi serta masa yang panjang untuk pulih.
Keadaan ini memberikan pengajaran penting tentang bagaimana maklumat palsu boleh digunakan untuk mencetuskan kebencian dan keganasan.
Dengan memahami bagaimana rusuhan di UK boleh berlaku akibat penyebaran maklumat palsu, kita boleh melihat betapa pentingnya untuk memerangi misinformasi secara proaktif dan berhati-hati dalam menerima serta menyebarkan maklumat.
Maklumat salah di Malaysia: Ancaman yang semakin meningkat
Maklumat yang salah bukan sahaja ancaman di negara-negara Barat tetapi juga semakin menjadi masalah besar di Malaysia.
Contoh-contoh terbaharu termasuk penyebaran maklumat palsu semasa berlakunya krisis seperti banjir kuning di Kelantan dahulu, semasa dilanda pandemik, COVID-19 dan semasa pilihan raya.
Dalam konteks pilihan raya, terdapat pelbagai maklumat tidak benar yang disebarkan untuk mengelirukan pengundi dan mempengaruhi keputusan. Ini termasuklah berita palsu mengenai calon, parti politik, dan dasar yang diperjuangkan.
Satu contoh yang ketara adalah semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Terdapat laporan yang mengatakan bahawa terdapat beberapa kandungan WhatsApp disebar luas kononnya adalah daripada calon Barisan Nasional (BN) yang bertujuan untuk mengelirukan para pengundi.
Terdapat juga kandungan yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk menyebarkan maklumat palsu yang boleh mempengaruhi pengundi.
Antara contoh maklumat palsu yang disebarkan termasuk video yang disunting untuk menunjukkan calon tertentu membuat kenyataan yang tidak pernah berlaku atau memanipulasi imej untuk menunjukkan peristiwa yang tidak benar.
Selain itu, terdapat bukti bahawa terdapat pihak yang tidak bertanggung jawab sering kali menggunakan taktik ini untuk mencemarkan imej kerajaan terutamanya perkara yang melibatkan sensitiviti agama Islam dan orang Melayu.
Kerajaan Perpaduan sering digambarkan sebagai kerajaan yang membelakangkan kepentingan agama Islam dan orang Melayu serta menggalakkan aktiviti dosa dan maksiat.
Dengan menyebarkan maklumat palsu, mereka berharap untuk menimbulkan ketidakpercayaan dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan.
Ini bukan sahaja mencetuskan ketegangan politik tetapi juga boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian negara.
Oleh itu, penting untuk setiap individu memastikan maklumat yang diterima adalah sahih dan tidak terperangkap dalam permainan politik yang tidak bertanggungjawab.
Peranan AI dan teknologi dalam penyebaran maklumat salah
Kecanggihan teknologi, khususnya AI telah membuka peluang baharu dalam penyebaran maklumat palsu.
AI boleh digunakan untuk menghasilkan kandungan yang sangat realistik tetapi palsu, termasuk video, gambar, dan audio.
Teknologi ini mampu meniru suara dan wajah individu terkenal, menjadikan maklumat palsu kelihatan sahih dan meyakinkan.
Dengan hanya beberapa klik, sesiapa sahaja propagandis boleh mencipta dan menyebarkan maklumat yang menyesatkan dengan cepat kepada berjuta-juta pengguna dalam talian.
Salah satu cabaran terbesar yang dihadapi oleh pihak berkuasa adalah memantau dan mengawal penyebaran maklumat palsu yang dihasilkan oleh AI.
Teknologi AI boleh mengelak daripada pengesanan tradisional kerana keupayaannya untuk mencipta kandungan yang sangat serupa dengan realiti.
Ini menjadikan tugas MCMC dan PDRM lebih sukar dalam mengenalpasti dan mengambil tindakan terhadap maklumat palsu.
Selain itu, kadar penyebaran maklumat di media sosial yang amat pantas memburukkan lagi keadaan, kerana maklumat palsu boleh mencapai ribuan, malah jutaan, pengguna sebelum ia dapat dibendung.
Kerajaan Malaysia telah mengambil beberapa langkah proaktif untuk mengatasi penyalahgunaan AI dalam penyebaran maklumat palsu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama rapat dengan syarikat teknologi dan penyedia perkhidmatan komunikasi untuk memastikan mereka mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi mengawal penyebaran maklumat palsu.
Selain itu, MCMC juga melaksanakan program literasi digital yang bertujuan untuk mendidik masyarakat mengenai cara mengenali dan melaporkan maklumat palsu.
Langkah-langkah ini termasuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah dan dipercayai.
Kerajaan juga menggalakkan kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat sivil untuk membangun dan melaksanakan strategi berkesan dalam menangani cabaran ini.
Usaha-usaha ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan integriti maklumat terjamin dan mengelakkan berlakunya kekacauan akibat maklumat palsu.
Komunikasi strategik dan pembinaan naratif
Komunikasi strategik memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan maklumat yang salah.
Melalui pendekatan yang terancang dan berkesan, pihak berkuasa dan organisasi boleh memastikan maklumat yang betul disebarkan kepada masyarakat.
Ini termasuk penggunaan saluran komunikasi yang pelbagai untuk mencapai audiens yang luas dan pelaksanaan kempen kesedaran yang berterusan.
Salah satu aspek penting dalam komunikasi strategik adalah pembinaan naratif positif yang memfokuskan kepada perpaduan dan kestabilan nasional.
Dengan menekankan nilai-nilai bersama, seperti toleransi, hormat-menghormati, dan kesatuan, naratif ini dapat mengukuhkan semangat kebangsaan dan mengurangkan kesan negatif maklumat palsu.
Naratif yang kukuh dan konsisten dapat membantu masyarakat untuk lebih berwaspada dan kritis terhadap maklumat yang diterima.
Kerajaan dan sektor swasta kedua-duanya mempunyai peranan penting dalam komunikasi strategik.
Kerajaan perlu bertindak sebagai peneraju dalam menyediakan maklumat yang sahih dan tepat pada masanya.
Ini termasuk kerjasama dengan media rasmi untuk menyebarkan berita yang benar dan menangkis maklumat palsu.
Di samping itu, kerajaan juga boleh melibatkan pemimpin masyarakat dan organisasi masyarakat sivil dalam usaha menyampaikan maklumat yang tepat kepada komuniti mereka.
Sektor swasta terutamanya syarikat teknologi dan media sosial, juga perlu bertanggungjawab dalam memastikan platform mereka tidak digunakan untuk menyebarkan maklumat palsu.
Mereka boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti dan menghapuskan kandungan yang tidak benar serta melaksanakan teknologi penapisan yang lebih canggih.
Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah proaktif untuk memastikan integriti maklumat.
Ini termasuk pengukuhan undang-undang berkaitan maklumat palsu, pemantauan berterusan oleh MCMC, dan kempen literasi digital untuk mendidik rakyat mengenai bahaya misinformasi.
Langkah-langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani isu maklumat salah secara berkesan dan memastikan rakyat menerima maklumat yang betul dan boleh dipercayai.
Peranan individu dalam memerangi maklumat salah
Setiap individu memainkan peranan penting dalam memerangi maklumat yang salah.
Penggunaan media sosial yang bertanggungjawab adalah kunci untuk mengurangkan penyebaran maklumat palsu.
Pengguna harus sentiasa berwaspada dan kritis terhadap maklumat yang diterima sebelum berkongsi dengan orang lain.
Ini termasuk memeriksa sumber maklumat dan memastikan ia datang daripada sumber yang sah dan dipercayai.
Sekiranya maklumat tersebut kelihatan mencurigakan atau terlalu sensasi, adalah penting untuk melakukan semakan silang dengan sumber-sumber lain yang berwibawa.
Individu juga boleh mengambil langkah tambahan dengan melaporkan kandungan yang tidak benar kepada pihak berkuasa atau platform media sosial untuk tindakan lanjut.
Pendidikan literasi digital yang lebih baik boleh membantu orang ramai untuk mengenali dan menolak maklumat palsu.
Melalui pendidikan ini, masyarakat boleh belajar cara-cara mengenal pasti tanda-tanda maklumat palsu, seperti tajuk yang provokatif, kekurangan sumber yang jelas, dan penyuntingan gambar atau video yang mencurigakan.
Usaha kolektif semua individu dalam memastikan maklumat yang disebarkan adalah sahih boleh memberi impak besar kepada keharmonian nasional.
Apabila semua orang memainkan peranan mereka, kita dapat mengurangkan ketegangan yang mungkin timbul akibat maklumat palsu.
Ini seterusnya membantu dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan negara.
Komitmen bersama dalam memerangi misinformasi bukan sahaja melindungi diri sendiri tetapi juga menyumbang kepada masyarakat yang lebih makmur dan Bersatu.
Sebagai kesimpulan, penyebaran misinformasi merupakan ancaman serius yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian negara.
Contoh rusuhan di UK menunjukkan betapa cepatnya maklumat palsu boleh mencetuskan kekacauan.
Di Malaysia, kita juga berdepan dengan cabaran yang sama, terutamanya semasa pilihan raya seperti di PRK Nenggiri, di mana kandungan palsu yang dihasilkan oleh AI telah disebarkan.
Semua pihak, termasuk kerajaan, sektor swasta, dan individu, perlu bekerjasama untuk memerangi misinformasi.
Kerajaan perlu terus mengambil langkah proaktif, sementara sektor swasta harus memastikan platform mereka bebas daripada maklumat palsu.
Individu pula perlu menggunakan media sosial dengan bertanggungjawab dan menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi.
Dengan komitmen bersama, kita boleh membina Malaysia yang lebih harmoni dan berinformasi.
Usaha ini akan memastikan negara kita kekal aman dan stabil, serta masyarakat yang lebih bersatu padu dan berpengetahuan.

* Raziz Rashid, bekas Ketua Komunikasi Korporat Jabatan Perdana Menteri, kini perunding komunikasi strategik juga Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Siber Selamat (CyberSafe).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Barisan Nasional #berita palsu #COVID-19 #kecerdasan buatan