[KOLUMNIS] Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia: Akar sama, perkembangan berbeza
Azura Halid
September 1, 2024 09:20 MYT
September 1, 2024 09:20 MYT
BAHASA Melayu dan bahasa Indonesia merupakan dua bahasa yang memiliki akar yang sama tetapi perkembangannya berbeza bersesuaian dengan konteks sejarah, politik dan budaya negara masing-masing.
Kedua-dua bahasa ini, iaitu bahasa Melayu (terutamanya yang digunakan di Malaysia) dan bahasa Indonesia memiliki persamaan dari segi tatabahasa, fonologi dan sebahagian besar kosa kata dasar. Walau bagaimanapun kedua-duanya mempunyai perbezaan akibat perkembangan yang dipengaruhi oleh kondisi setempat.
Bahasa Melayu dan bahasa Indonesia berakar daripada bahasa Melayu kuno yang digunakan sejak abad ke-7 di wilayah Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu. Pada zaman kerajaan maritim Sriwijaya, bahasa Melayu kuno berfungsi sebagai bahasa lingua franca di seluruh Nusantara yang digunakan dalam pelbagai bidang termasuklah aktiviti perdagangan, hubungan diplomatik dan penyebaran agama Islam. Batu bersurat seperti Kedukan Bukit dan Talang Tuo membuktikan penggunaan bahasa Melayu kuno dalam bentuk tulisan.
Bahasa Melayu terus berkembang menjadi bahasa yang dipakai secara meluas di wilayah Asia Tenggara kerana sifatnya yang sederhana dan mudah dipelajari. Bahasa ini menerima pengaruh daripada berbagai-bagai bahasa lain seperti Sanskrit, Arab, Portugis dan Belanda.
Ketika Belanda menjajah Indonesia pada abad ke-17, mereka menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan di wilayah Nusantara. Bahasa Melayu yang digunakan di Indonesia dipengaruhi oleh interaksi dengan bahasa-bahasa tempatan dan bahasa Belanda.
Bahasa Melayu pada saat itu digunakan dalam sektor pendidikan dan pemerintahan kolonial tetapi pada masa yang sama, bahasa daerah seperti Jawa, Sunda dan Minangkabau tetap dominan dalam kalangan masyarakat Indonesia.
Pada tahun 1928 melalui Sumpah Pemuda, rakyat Indonesia sepakat untuk mengangkat bahasa Indonesia sebagai bahasa penyatuan. Bahasa Indonesia diambil daripada bahasa Melayu tetapi dengan beberapa pengubahsuaian untuk mewajarkan penggunaannya dengan realiti sosial dan politik Indonesia yang lebih luas.
Setelah Proklamasi Kemerdekaan Republik Indonesia pada tahun 1945, bahasa Indonesia diakui secara rasmi sebagai bahasa nasional dan bahasa negara Indonesia. Hal ini termaktub dalam Undang-undang Dasar 1945 pada Pasal 36 dalam Bab XV. Undang-Undang Dasar merupakan dokumen utama Indonesia yang bertindak sama seperti perlembagaan.
Sementara itu, bahasa Melayu terus berkembang di Malaysia (termasuk di Singapura dan Brunei) sebagai bahasa rasmi negara masing-masing. Di Malaysia, bahasa Melayu dikenali sebagai bahasa Malaysia (namun lebih tepat lagi bahasa Melayu). Bahasa Melayu memainkan peranan penting dalam pembentukan identiti kebangsaan.
Di Brunei dan Singapura bahasa Melayu juga memiliki status sebagai bahasa kebangsaan walaupun penggunaannya di Singapura lebih terbatas jika dibandingkan dengan penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin yang lebih meluas.
Bahasa Melayu dan bahasa Indonesia mempunyai persamaan dari segi asal usul, tatabahasa, fonologi dan kosa kata dasar. Penggunaan tatabahasanya menggunakan struktur tatabahasa bahasa Melayu yang hampir sama dengan aturan tatabahasa yang sederhana serta tanpa konjugasi kata kerja dan tidak memiliki perbezaan gender dalam kata ganti. Kedua-dua bahasa ini juga memiliki sistem fonologi yang serupa dalam aturan bunyi vokal dan konsonan.
Manakala sebahagian besar kosa kata dasar dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia mempunyai persamaan terutamanya dalam penggunaan perkataan harian yang berkaitan dengan kehidupan sehari-hari, alam dan tubuh manusia.
Namun begitu, bahasa Melayu dan bahasa Indonesia mempunyai perbezaan akibat pengaruh bahasa asing.
Bahasa Indonesia lebih banyak menerima pengaruh daripada bahasa Belanda disebabkan sejarah pemerintahan kolonialisme Belanda yang panjang di Indonesia. Sebaliknya, bahasa Melayu di Malaysia lebih dipengaruhi oleh bahasa Arab dan Inggeris terutama dalam bidang keagamaan dan pendidikan lantaran kemasukan pendakwah dari Asia Barat ke Tanah Melayu dan kesan penjajahan British.
Begitu juga dengan kosa kata khusus. Walaupun banyak kata dasar yang sama, beberapa perkataan dalam bahasa Indonesia dan bahasa Melayu memiliki maksud yang berbeza atau tidak digunakan sama sekali di negara lain.
Contohnya perkataan “percuma” dalam bahasa Melayu membawa maksud “gratis” atau “tanpa biaya” dalam bahasa Indonesia. Sedangkan dalam bahasa Indonesia maksud “percuma” itu ialah “sia-sia” atau “tidak berguna”. Perkataan “budak” dalam bahasa Melayu bermaksud “anak kecil”, sementara dalam bahasa Indonesia bermakna “seseorang yang diperbudak-budakkan”.
Sebelum wujudnya Ejaan Yang Disempurnakan (EYD) di Indonesia pada tahun 1972, terdapat perbezaan ejaan antara kedua-dua bahasa ini. Misalnya “oe” dalam bahasa Indonesia (seperti “oeang”) digantikan dengan “u” lalu dieja sebagai “uang”. Berbeza dengan ejaannya dalam bahasa Melayu yang dieja sebagai “wang”.
Terdahulu di Malaysia, Sistem Ejaan Za’ba (1938) digubal dan digunakan secara meluas sebelum digantikan dengan EYD. Za’ba memperkenalkan satu sistem ejaan yang lebih konsisten dan teratur. EYD merupakan piawai rasmi ejaan bahasa Melayu yang disatukan untuk kegunaan dalam bahasa baku di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.
Di Malaysia, Singapura dan Brunei, bahasa Melayu digunakan secara formal dalam sektor pendidikan, urusan rasmi dan media massa. Namun begitu bahasa Inggeris juga memainkan peranan yang penting di Malaysia dan Singapura. Sementara itu di Indonesia, bahasa Indonesia digunakan secara dominan dalam segala aspek kehidupan, termasuk pendidikan, pemerintahan dan media massa.
Sebutan atau loghat bagi kedua-dua bahasa ini mempunyai persamaan. Walaupun secara umum fonologi kedua-dua bahasa adalah sama, terdapat juga perbezaan dalam loghat, dialek dan sebutan. Di Indonesia pengucapannya lebih jelas dengan penggunaan vokal yang penuh. Di Malaysia, sebutannya sering kali lebih singkat terutamanya dalam pengucapan kata pada akhir vokal.
Bahasa Melayu dan bahasa Indonesia terus berkembang dengan arah yang berbeza disebabkan oleh pengaruh budaya, sosial dan politik di negara masing-masing. Bahasa Indonesia berkembang pesat dengan pengaruh dari dunia luar terutama melalui teknologi, media dan pendidikan. Bahasa Melayu juga dipengaruhi oleh faktor yang sama namun masih mempertahankan lebih banyak unsur-unsur tradisional dan konvensional.
Walaupun bahasa Melayu dan bahasa Indonesia memiliki akar yang sama namun perbezaan geografi, politik dan budaya menyebabkan kedua-dua bahasa ini berkembang mengikut alirannya yang tersendiri. Bahasa Indonesia telah menjadi bahasa yang dinamik yang menyerap pengaruh asing lebih banyak sementara bahasa Melayu di Malaysia, Brunei dan Singapura lebih konservatif perkembangannya.
Meskipun demikian kedua-dua bahasa ini tetap memiliki banyak persamaan dan memainkan peranan yang penting sebagai bahasa perhubungan di Asia Tenggara. Perkembangan bahasa Melayu di Indonesia sangat signifikan dan melibatkan proses asimilasi budaya, agama serta adaptasi kolonial. Hingga kini bahasa Melayu melalui bahasa Indonesia tetap menjadi simbol identiti nasional dan alat penyatuan bangsa Indonesia.
* Azura Halid merupakan pejuang Bahasa Melayu yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
** Artikel ini adalah pandangan penulis berdasarkan bidang yang dijalaninya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.