[KOLUMNIS] Apakah Kedah negeri berdaulat?
Mohd Hazmi Mohd Rusli
Mei 14, 2024 11:00 MYT
Mei 14, 2024 11:00 MYT
PENGENALAN
Kesultanan Kedah merupakan salah satu kerajaan yang paling tua pernah wujud di Asia Tenggara.
Dibangunkan pada tahun 630 Masihi, ia pernah memiliki wilayah melangkaui negeri Kedah pada hari ini sehingga ke Tennasserim di Myanmar.
Dari abad ke-17 sehingga ke-19 Masihi, kedaulatan Kedah diancam oleh jiran-jirannya yang lebih kuat seperti Aceh, Siam dan Burma.
Inggeris juga berminat untuk menguasai Semenanjung Melayu bagi mengawal Selat Melaka bagi kepentingan perdagangan candu mereka pada ketika itu.
Bagaikan durian dengan mentimun, itulah keadaan Kedah pada ketika itu yang dipengaruhi kuasa-kuasa luar yang berkehendak menguasainya.
Namun, pemerintah Kedah tetap bertahan untuk mengekalkan kedaulatan kesultanan ini.
Apakah Kedah negeri berdaulat menurut undang-undang adat antarabangsa?
Undang-undang adat antarabangsa menetapkan beberapa syarat bagi sesebuah entiti itu diiktiraf sebagai sebuah negara berdaulat.
Pertama, negeri tersebut perlu memiliki wilayah.
Kedua, wilayah ini perlu ada penduduknya.
Ketiga, perlu ada kerajaan yang mentadbir wilayah tersebut.
Keempat, pemerintah wilayah tersebut perlu memiliki kapasiti untuk menjalin hubungan diplomatik atau melaksanakan perjanjian antarabangsa dengan kerajaan-kerajaan asing.
Pada kurun ke-18, Kedah memiliki semua syarat yang disebutkan. Walaupun tiada sempadan antarabangsa yang jelas seperti yang wujud pada hari ini, Kedah memiliki kedaulatan ke atas wilayah yang dikuasainya dan penduduk Kedah sendiri mengakui Sultan sebagai pemerintah.
Kedah juga menjalin hubungan bersama kerajaan-kerajaan Melayu yang lain seperti Aceh dan Perak serta kerajaan-kerajaan asing di luar Alam Melayu iaitu Belanda, Siam, Burma dan seterusnya British.
Ini jelas menunjukkan bahawa di kurun ke 18, Kedah pernah telah memenuhi syarat undang-undang adat antarabangsa untuk menjadi sebuah kerajaan berdaulat
Penyerahan Pulau Pinang dan Perai
Ancaman yang datang dari Siam pada akhir kurun ke 18 telah menyebabkan Sultan Muhammad Jiwa mengambil kesempatan untuk menjalin hubungan dengan pihak Inggeris pada tahun 1771.
Dengan memiliki hubungan persahabatan dengan Inggeris, Kedah percaya kedudukannya dapat diperkukuhkan.
Pada waktu ini, Francis Light, seorang wakil Syarikat Hindia Timur Inggeris (EIC) sedang mencari pangkalan di sepanjang Semenanjung Melayu di persisiran Selat Melaka.
Light gagal meyakinkan EIC untuk menempati Ujung Salang (Phuket). Kemudian, beliau menunjukkan minat terhadap Pulau Pinang, pulau berlokasi strategik di pintu masuk ke Selat Melaka di bahagian utara.
Light menghadap Sultan Abdullah Mukarram Shah pada tahun 1786 dan memohon keizinan untuk membina pengkalan di Pulau Pinang dan sebagai balasan, Kedah akan dilindungi EIC.
Namun, apa yang dijanjikan Light tidak mendapat restu para petinggi EIC di India.
Light dan pengikutnya tetap menempati Pulau Pinang tetapi EIC enggan membantu melindungi Kedah dari musuh-musuhnya.
Akibat daripada keengganan ini, Sultan menjadi murka dan cuba untuk mendapatkan semula Pulau Pinang pada tahun 1790.
Light melancarkan serangan mengejut ke atas Prai menyebabkan Sultan terpaksa berundur.
Sultan Abdullah Mukarram Shah kemudian terpaksa menandatangani perjanjian bagi menyerahkan Pulau Pinang kepada British dengan bayaran 6,000 dollar Sepanyol per tahun.
Kemudian pada tahun 1800, sebuah lagi perjanjian ditandatangani oleh pihak British dan Sultan Dziaddin Mukarram Shah II bagi menyerahkan Perai kepada British secara rasmi.
Penyerahan ini dilakukan dengan Sultan dibayar 10,000 dollar Sepanyol setiap tahun.
Adakah Pulau Pinang wilayah Siam?
Terdapat pernyataan yang menyebut bahawa Pulau Pinang bukanlah milik Kedah tetapi milik Siam apabila ia diduduki Inggeris pada tahun 1786.
Sekiranya ini benar, tidak dapat dipastikan kenapa Siam tidak melakukan sebarang tindakan ke atas British yang telah merebut Pulau Pinang.
Sebaliknya, pihak Kedah yang telah mengirim angkatan perajurit bagi mendapatkan semula Pulau Pinang pada tahun 1791 walaupun usaha ini tidak berhasil.
Ini bukanlah kali pertama Siam yang mengakui penguasaan sebagai pelindung negeri Kedah telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Siam tidak melakukan apa-apa pun untuk mempertahankan Kedah dari serangan Kesultanan Aceh yang menyebabkan Kedah dijadikan sebahagian dari empayar Aceh pada tahun 1619.
Hampir dua dekad selepas itu, Siam gagal lagi sebagai ‘pelindung’ Kedah.
Siam tidak melakukan apa yang sepatutnya bagi mempertahankan kedaulatannya apabila Pulau Pinang dan Perai diserahkan kepada British pada tahun 1791 dan 1800 masing-masing.
Semua maklum bahawa Siam adalah sebuah kuasa serantau yang kerap menyerang jiran-jirannya, seperti
Khmer di Timur, Melayu di Selatan dan Burma di Barat.
Oleh itu, apabila Siam berdiam diri melihat Pulau Pinang dan Perai diambil British, ini menunjukkan Kedah bukanlah negeri bawahan Siam dan Pulau Pinang bukanlah wilayah Siam.
Sekiranya Pulau Pinang dan Perai dianggap wilayah yang diperintah Bangkok, Siam seharusnya telah menghantar angkatan perang untuk mengusir Inggeris atau setidak-tidaknya memeterai perjanjian baru di antara Inggeris dan Siam mengenai penyerahan Pulau Pinang dan Perai.
Perlu diingat Siam tidak dilibatkan sewaktu perjanjian penyerahan Pulau Pinang dan Perai dilakukan oleh Inggeris dan Kedah.
Ini menunjukkan dengan jelas bahawa British mengiktiraf Kedah sebagai negara berdaulat yang menguasai Pulau Pinang dan Perai.
Walaupun Siam sering menunjukkan bahawa Kedah adalah negeri bawahannya, ketidakupayaan pemerintah di Bangkok melakukan apa-apa apabila British mengambil alih kedaulatan ke atas Pulau Pinang dan Perai menunjukkan perkara sebaliknya.
Perbuatan berdiam diri ini adalah persetujuan di bawah undang-undang adat antarabangsa bahawa Siam bukan sahaja mengakui bahawa British adalah penguasa baru Pulau Pinang dan Perai, tetapi juga mengiktiraf Kedah sebagai kuasa berdaulat ke atas wilayah-wilayah ini sebelum Perjanjian 1791 dan 1800 ditandatangani.
Oleh itu, Pulau Pinang dan Perai bukanlah secara politik dan sejarah, pernah menjadi milik Siam.
Maka benarlah bahawa sehingga Kedah dilanggar Siam pada tahun 1821, amalan pengiriman bunga mas daripada Kedah kepada Siam bukanlah tanda pertuanan, tetapi sekadar tanda persahabatan antara dua negara berdaulat.
Malah, Siam juga memberi hadiah yang sama nilai atau lebih sebagai tanda balasan.
Kesimpulan
Sekiranya Pulau Pinang dan Perai milik Siam, pihak British pasti akan menduduki wilayah-wilayah ini dengan keizinan pemerintah dari Bangkok.
Ini dibuktikan dengan tindakan British memohon kepada pemerintah Kedah, bukannya Siam untuk menduduki Pulau Pinang dan Perai.
Kedah pernah menjadi negeri merdeka dan berdaulat sehingga ia dikuasai Siam pada tahun 1821 dan seterusnya Inggeris pada tahun 1909.
Kedah telah merdeka di dalam Malaysia dengan diperintah susur galur kesultanan yang berterusan selama lebih lapan abad.
Walaupun pernah diancam dan dijajah, ketabahan kesultanan ini untuk bertahan seharusnya dikenang dan dijadikan teladan oleh semua rakyat dalam membangun Malaysia yang lebih gemilang.
* Prof. Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan felo penyelidik di Asian Institute of International Affairs and Diplomacy, Universiti Utara Malaysia, Kedah.
** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.