[KOLUMNIS] Apa makna di sebalik ucapan padu Khairul Aming di TikTok Awards Malaysia?
Hilal Azmi
Ogos 27, 2023 06:30 MYT
Ogos 27, 2023 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Ucapan kemenangan Khairul Aming selepas dinobatkan sebagai 'Creator Of The Year' dalam TikTok Awards Malaysia yang julung kali diadakan pada Ahad mengundang perbualan hangat di media sosial.
Ramai yang bersetuju dengan pesanan dititipkan beliau kepada anak-anak muda yang bercita-cita untuk menjadi pencipta kandungan ('content creator').
Dalam ucapan ringkas malam tadi, Khairul Aming memberikan pemahaman yang sangat jelas kepada anak muda bahawa biar setinggi langit sekalipun hasrat dan keinginan untuk menjadi personaliti media sosial, apa yang perlu diutamakan mereka ialah menghabiskan pengajian terlebih dahulu.
Apa makna di sebalik pesanan ini?
Kita semua tahu bahawa trend menjadi pencipta kandungan bukanlah sesuatu yang baharu dalam kalangan pemuda pemudi di seluruh dunia.
Ramai yang beranggapan menjadi pencipta kandungan ini sebagai satu 'kerja mudah' yang boleh menjana pendapatan lumayan.
Paling merisaukan, dapatan daripada sistem eProfil Kerjaya Murid (ePKM) pada 2021 mendapati seramai 180,680 atau 48.74 peratus pelajar lepasan SPM memilih untuk tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pada tahun 2020 pula, sejumlah 115,939 orang pelajar lepasan SPM atau 35.16 peratus tidak berminat menyambung pelajaran.
Hal ini disokong pula oleh beberapa pempengaruh media sosial yang turut 'berkempen' mengatakan bahawa tidak perlu belajar tinggi untuk berjaya.
Mungkin ada kebenarannya di sebalik kejayaan beberapa pempengaruh media sosial yang telah melalui proses hidup yang cukup bagi membolehkan mereka mencapai 'kejayaan' pada definisi mereka.
Hakikatnya, menjadi pempengaruh ini turut datang bersama 'pakej kebertanggungjawaban' yang tinggi seiring dengan kuasa yang mereka ada.
Apa kata Khairul Aming?
Sebaik sahaja tamat siaran langsung TikTok Awards Malaysia, Astro AWANI berkesempatan bertemu Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman untuk menggali cerita di sebalik ucapan.
Secara peribadi, Khairul Aming yang berusia 33 tahun berpendapat, beliau risau akan trend yang terwujud dalam kalangan pengikutnya yang lebih muda.
"Mereka ada keinginan untuk belajar, tetapi pada masa sama, mereka juga mahu cepat jadi viral.
"Saya terpaksa mengumpul kekuatan sebelum mengungkapkan mesej berkenaan sebentar tadi (ketika diumum sebagai pemenang).
"Bagi saya, biarlah apa orang kata, yang penting saya mahu anak Malaysia yang lebih hebat mencipta kandungan yang menginspirasikan buat semua pengguna," jelas Khairul Aming yang mempunyai jumlah pengikut seramai 3.7 juta orang di akaun Instagram.
Apa yang kita boleh belajar daripada Khairul Aming?
Untuk mencipta jenama seperti Khairul Aming, beliau perlukan sehingga lapan tahun untuk menjadikannya hebat seperti yang anda kenal ketika ini.
Tidak sekadar berjaya mencipta fenomena dalam perihal masakan, namun, apa yang mengagumkan juga ialah, beliau berjaya meneroka peluang baharu dalam dunia perniagaan.
Selain itu, menerusi kandungan yang dikongsi Khairul Aming di media sosial terutama sekali pada bulan Ramadan, golongan yang jarang ke dapur atau tidak tahu memasak sekalipun, terdorong mencuba resepi ilhamnya dan mengambil inisiatif mencipta kandungan bagi dimuat naik ke akaun media sosial masing-masing.
Demikian sekali, pengaruh besar Khairul Aming dalam persekitaran media sosial tanah air.
Di sebalik budaya baharu cetusan Khairul Aming, terdapat tiga perkara penting yang boleh kita pelajari daripada kejayaan beliau itu:
1. Pengurusan kewangan
Untuk memulakan bisnes secara dalam talian, hal pengurusan kewangan menjadi topik paling utama malah kemahiran ini perlu dikuasai sebaiknya bagi mengelak sebarang kecelakaan dalam kehidupan anda!
Khairul Aming mungkin bermula sebagai pencipta kandungan dan dikenali sebagai 'creator masak memasak'.
Tetapi, keupayaannya menguruskan hal kewangan ketika jualannya tiba-tiba mencanak wajar kita pelajari agar tidak lupa diri ketika berjaya mengaut keuntungan serta-merta hasil tertularnya kandungan kita di mana-mana platform media sosial.
2. Berani dan unik
Khairul Aming sentiasa berani untuk menyuntik mesej-mesej kehidupan menerusi video masakannya.
Kalau anda pernah ikuti cerita tentang senduk kayu yang menjadi inspirasinya, pasti anda tahu betapa beraninya Khairul Aming berkongsi kisah sebatang senduk di celah-celah video makanannya yang menggiurkan ketika bulan Ramadan.
Paling berani, apabila beliau sedia untuk berkongsi cerita percutiannya bersama pasukan Sambal Nyet di Langkawi.
3. Konsisten
Salah satu resipi kejayaan seorang pencipta kandungan adalah untuk menghasilkan kandungan secara konsisten.
Ini bukan sahaja untuk keperluan teknikal serta algoritma media sosial, malah kandungan yang konsisten juga membolehkan pengikut mudah faham akan mesej yang ingin kita sampaikan.
Senang cakap, untuk menjadi content creator memang kelihatan mudah, hakikatnya, banyak kerja di sebalik tabir dituntut selain banyak kemahiran yang perlu dikuasai untuk menjadi pencipta kandungan yang berpengaruh dan berjaya.
Realitinya, Malaysia senditi sudah melahirkan ramai pempengaruh berjaya, justeru, sudah tiba masanya untuk kita belajar daripada mereka.
* Hilal Azmi merupakan Ketua Editor, Media Sosial dan Penstriman Mikro Astro AWANI.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.