[KOLUMNIS] Anwar-Jokowi, sila teropong masa depan

Ashwad Ismail, Shafizan Johari
Januari 8, 2023 23:45 MYT
Kunjungan Anwar ke Indonesia serta pertemuan empat mata dengan Jokowi dijangka menjadi pencetus kepada sinergi lebih hebat antara dua negara bersaudara ini. - Gambar fail
BERMULA dengan satu sudut kecil di sebuah ruangan 'co-working' di Cilandak, sekitar 30 minit dari pusat kota raya Jakarta, anak kelahiran Kuala Lumpur ini tidak pernah menjangka perniagaannya mampu berkembang sebegini pantas hanya dalam tempoh empat tahun.
Walaupun ekonomi sedang pulih dari bencana COVID-19, sumbangan operasi anak syarikatnya di Indonesia mencecah sekitar RM26 juta, mewakili sekitar 40 peratus daripada keseluruhan perolehan syarikat.
“Saya saya bersyukur dan terharu. Bukan sahaja diberikan peluang dan kesempatan untuk membuka operasi di Indonesia, disokong pula oleh pasukan yang dianggotai bakat-bakat tempatan yang komited,” jelas Nadhir Asyafiq, Pengasas Bersama TheLorry.
TheLorry merupakan sebuah syarikat pemula (start-up) teknologi yang berasal dari Malaysia dan kini sudah berkembang ke empat negara Asia Tenggara - Singapura dan Thailand, selain Malaysia dan Indonesia.
“Alhamdulilah berkat sokongan semua dan rezeki yang dianugerahkan, kami berupaya mencatatkan keuntungan besar di Indonesia,” jelasnya.
Data perdagangan pada 2021 meletakkan Indonesia sebagai rakan dagang global ketujuh paling besar buat Malaysia, dan ketiga paling besar dalam kalangan negara Asia Tenggara dengan nilai dagangan mencecah lebih RM95 bilion. Ini sekali gus menjadikan Indonesia sebagai antara negara penting buat ekonomi Malaysia.
Nilai pasaran Indonesia juga sangat besar, mencecah lebih AS$1 trilion, didorong permintaan domestik yang utuh.
Bagi TheLorry, Indonesia memberikan syarikat itu peluang untuk berkembang secara agresif.
Pengalaman dan perjalanan TheLorry ini seakan menjadi cerminan realiti dunia baharu. Ruang dan peluang besar. Kalau kena cara dan gaya, ia pasti bukan sahaja menguntungkan malah memakmurkan warga.
Begitu pun, 'ruang legar' pasaran bukan sahaja Malaysia dan Indonesia, malah rantau ASEAN secara keseluruhannya masih dengan cabaran tersendiri.
Sebagai contoh Indonesia, sesiapa sahaja pemain industri dan SME yang mengidam untuk melebarkan sayap ke negara maritim ini, mereka perlu memahami cabarannya.
Menurut Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa (ITA), antara cabaran utama yang perlu dihadapi pelabur asing di Indonesia ialah:
a. Isu hubungan buruh
b. Perlindungan harta intelek
c. Penetapan dan pelaksanaan peraturan yang telus
d. Piawaian dan pensijilan
e. Mekanisme penetapan harga perlu lebih jelas
Malaysia juga apa kurangnya, ITA turut menggariskan kekangan yang hampir sama. Pelabur luar juga terpaksa 'dibuai bayu dilema' dalam membuat pertimbagan untuk mengintai pasaran tempatan.
Cabaran yang dihadapi oleh pelabur asing di Malaysia:
a. Tekanan inflasi
b. Masalah kekurangan tenaga kerja
c. Peningkatan kos di tengah-tengah kelembapan global
d. Tiada langkah konkrit menangani cabaran global seperti gangguan rantaian bekalan
Jika diteliti, pelbagai isu yang dihadapi kedua-dua negara berkait hal 'external'.
Potensi kerjasama luar biasa dalam bidang ekonomi dan perniagaan antara Malaysia dan Indonesia bagaimanapun boleh dikembangkan secara lebih signifikan lagi, jelas Profesor Mohd Mizan Mohammad Aslam dari Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
“Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Joko Widodo mempunyai karisma dan reputasi global yang cukup disegani. Kedua-dua sosok ini wajar bekerjasama secara lebih erat, dan ini pasti akan memberikan impak besar kepada dunia,” jelas Mohd Mizan.
Maka kunjungan Perdana Menteri ke Indonesia serta pertemuan empat mata antara Anwar dan Jokowi dijangka menjadi pencetus kepada sinergi lebih hebat antara dua negara bersaudara ini.
Malah, Mohd Mizan juga menyokong cadangan untuk mewujudkan jawatankuasa kerja bersama untuk menyelesaikan beberapa cabaran global yang mendesak terutamanya yang melibatkan kepentingan bersama.
Anwar dan Jokowi juga boleh bekerjasama lebih erat untuk mendepani naratif negatif pihak pelobi antisawit di Eropah memandangkan kedua-dua ekonomi ini mempunyai kebergantungan yang tinggi kepada eksport sawit.
Kedua-dua pemimpin juga boleh meneroka jalan bagi kerjasama lebih strategik melibatkan pembangunan rantau Borneo dan Kalimantan, susulan keputusan Jakarta untuk memindahkan ibu negaranya ke Nusantara serta koordinasi lebih erat melibatkan keselamatan Laut China Selatan.
Bagi Mohd Mizan, cadangan penubuhan jawatankuasa kerja sangat sesuai dengan landskap global semasa, berdasarkan kekuatan yang dipunyai Malaysia dan Indonesia.
“Jawatankuasa bersama mesti ditubuhkan terutamanya sekali untuk memanfaatkan karisma, kebolehan dan reputasi Anwar dan Jokowi. Kedua-dua tokoh yang diterima oleh rakyat di kedua-dua negara, malahan dunia, terutamanya dunia Islam. Ini lantas memberikan kesan yang cukup baik dan signifikan kepada kita semua.

* Ashwad Ismail ialah Ketua Pengarang Astro AWANI.
* Shafizan Johari merupakan editor perancangan hadapan Astro Awani dan pelajar Sarjana Sejarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI
#Anwar Ibrahim #Indonesia #Malaysia #Hubungan dua hala
;