[KOLUMNIS] Ancaman media sosial: Fitnah, buli siber dan ketagihan
Kolumnis AWANI
Mac 10, 2025 18:18 MYT
Mac 10, 2025 18:18 MYT
Buli siber semakin berleluasa, menyebabkan tekanan emosi dan kemurungan yang serius. -Gambar fail/Bernama
DI ERA digital serba canggih ini, dunia maya bukan sekadar platform komunikasi tetapi juga medan yang mampu mencorak kehidupan masyarakat iaitu bermula dengan perbincangan politik hingga peribadi, setiap interaksi di media sosial boleh membawa impak yang besar sama ada positif atau negatif.
Ringkasan AI
- Media sosial boleh membawa impak besar, baik positif mahupun negatif, termasuk fitnah dan penyebaran maklumat palsu.
- Buli siber semakin berleluasa, menyebabkan tekanan emosi dan kemurungan yang serius.
- Ketagihan media sosial berkait dengan mekanisme ganjaran dopamine, menyebabkan pengguna menghabiskan masa berjam-jam dalam dunia maya.
Namun, di sebalik ribuan manfaat yang diperoleh, ada bahana yang tidak boleh dipandang remeh.
Fitnah Dan Penyebaran Maklumat Palsu
Media sosial dan platform digital masa kini sudah pun menjadi saluran utama penyampaian berita serta perkongsian maklumat.
Namun disisi yang lain, ia membolehkan terbukanya ruang fitnah dan penyebaran berita palsu.
Segalanya di hujung jari!
Percaya atau tidak, dengan hanya satu klik segala maklumat yang tidak sahih boleh tersebar luas sehingga mampu merosakkan prestasi seseorang.
Contoh yang jelas adalah kes seorang pempengaruh yang didakwa oleh seorang selebriti disebabkan satu video yang menyebut perkara mengaibkan dirinya serta berpotensi menjatuhkan imej dan kredibilitinya sebagai seorang selebriti.
Nampak remeh, namun implikasinya besar!
Hakikatnya, fitnah di alam maya berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk penyebaran berita yang sengaja dimanipulasi serta tuduhan palsu terhadap seseorang atau sesebuah organisasi.
Lebih membimbangkan, ramai pengguna media sosial gemar berkongsi sesuatu maklumat tanpa memeriksa kesahihannya seterusnya menyebabkan berita palsu tersebar dengan lebih cepat berbanding kebenarannya.
Fenomena ini acap kali dieksploitasi oleh sesetengah pihak yang mempunyai agenda tertentu.
Fitnah tidak boleh di ambil ringan kerana ia adalah senjata paling berbahaya di alam maya yang akan digunakan orang lain sebagai serangan atau provokasi.
Maka ilmu, kebijaksanaan, akal budi dan rasional, wajar menjadi benteng agar tidak terjebak dengan muslihat dan provokasi.
Teladanilah apa yang sedang berlaku sekarang, dunia maya turut menjadi alat yang merosakkan perpaduan dan keharmonian kaum dan agama.
Buli Siber: Senjata Digital Yang Menghancurkan
Sindiran, kecaman atau serangan peribadi yang dikategorikan sebagai buli siber semakin berleluasa di dunia maya. Berbeza dengan belasan tahun dahulu buli hanya berlaku secara fizikal dan antara perseorangan.
Perkembangan teknologi yang pesat dan kemudahan akses internet, seseorang yang berniat jahat boleh menyerang mangsa secara anonim atau terbuka dan implikasi besar terhadap mangsa buli siber selalunya mengalami tekanan emosi melampau serta kemurungan yang ekstrem sehingga membawa kepada hasrat ingin membunuh diri.
Salah satu contoh nyata kes seorang remaja wanita yang menjadi mangsa buli siber setelah gambarnya dimanipulasi lalu tersebar tanpa izin dan mengakibatkan mangsa mengalami tekanan mental hingga terpaksa mendapatkan rawatan psikologi daripada pakar psikiatri.
Malangnya ‘nasi sudah menjadi bubur’, ada juga kes yang berakhir dengan tragedi apabila ada mangsa yang mengambil keputusan untuk menamatkan hidup mereka akibat tidak tahan dengan hinaan dan tekanan sosial.
Fenomena ini jelas menunjukkan betapa seriusnya kesan buli siber terhadap seseorang.
Ketagihan Media Sosial
Tanpa sedar, ramai pengguna terjebak dengan ketagihan media sosial kerana setiap notifikasi like, comment dan share menjadi satu keperluan hingga menyebabkan mereka menghabiskan masa berjam-jam dalam dunia maya.
Keadaan ini dikaitkan dengan mekanisme ganjaran dopamine. Menurut Laura Elin, seorang Pensyarah Kanan dalam Neurosciences and Neurorehabilitation di London South Bank University dalam kajian yang diterbitkan Januari 2025 bertajuk ‘Sosial Media rewires young mind – here now’ menyatakan bahawa dopamine bertanggungjawab menghasilkan perasaan penghargaan dan pencapaian.
Ini termasuklah ketika aktiviti menonton video atau terlibat dengan hobi baharu, dopamine akan menghasilkan rasa pencapaian sehingga kita akan mengulanginya.
Situasi ini boleh dikaitkan apabila seseorang menerima notifikasi dari media sosialnya, otak mereka akan segera melepaskan dopamine yang memberi rasa gembira dan kepuasan.
Semakin kerap kita menggunakan media sosial, semakin sukar untuk otak kita menahannya. Ia seperti melatih otak untuk mendambakan serangan dopamine sama seperti ketagihan.
Maka, semakin kerap mereka menerima ganjaran ini, semakin tinggi dorongan mereka untuk terus menggunakan media sosial hingga ke tahap ketagihan.
Gejala FOMO (fear of missing out) yang berleluasa juga menjadi salah satu faktor dalam ketagihan media sosial masa kini. Perasaan takut dan bimbang ketinggalan dalam mengikuti perkembangan terkini.
Ketergantungan mereka dapat digambarkan dengan sebaris peribahasa “bagai hamba kepada tuannya” yang tak mampu berpisah dari alam maya walau seketika.
Kesihatan mental juga selalunya dikaitkan dengan ketagihan media sosial kerana beberapa kajian telah mendapati bahawa penggunaan media sosial yang berlebihan mampu menyebabkan tekanan, kebimbangan malah kemurungan.
Ketika kemuncak penularan pandemik Covid-19, penggunaan media sosial mencanak tinggi disebabkan hampir semua kelompok masyarakat tidak dibenarkan keluar rumah sebagai langkah membendung jangkitan.
Pada 2022, We Are Social and Hootsuite, sebuah firma pemasaran yang memantau trend digital, mendapati Malaysia adalah negara keenam di dunia yang merekodkan penggunaan Internet tertinggi, iaitu selama sembilan jam empat minit.
Malah, kini statistik ini kian meningkat. Kemudahan itu paling banyak digunakan untuk bertukar-tukar pesanan, diikut rapat penggunaan media sosial.
Di sebalik kemajuan digitalisasi ini, penggunaannya yang berlebihan dan ‘ketagihan’ melayari aplikasi media sosial setiap hari menjurus kepada isu kemurungan digital yang membelenggu golongan muda.
Statistik yang diperoleh melalui Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) mendapati 5.6 juta remaja di negara ini berdepan masalah kemurungan dan separuh daripadanya berpunca daripada kemajuan digitalisasi.
la sekali gus menyebabkan emosi dan kualiti kesihatan mental individu terjejas malah diburukkan lagi dengan fenomena seperti Fear of Missing Out (FOMO) dan piawaian kecantikan palsu atau tidak realistik.
Apa puncanya? Kerana membandingkan kehidupan sendiri dengan orang lain yang dipaparkan dalam media sosial walaupun kehidupan nyata tidak semestinya begitu, lebih berkemungkinan “indah khabar dari rupa”.
Atasi Ancaman Dunia Maya
Masyarakat perlu dididik tentang bahaya menyebarkan berita palsu dan kesan buli siber dengan pelaksanaan kempen kesedaran mengenai etika penggunaan media sosial secara berterusan.
Selain itu, penguatkuasaan undang-undang daripada pihak berkuasa seperti mengenakan tindakan tegas terhadap individu yang menyebarkan fitnah atau terlibat dengan buli siber mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pengguna juga perlu bijak menguruskan masa mereka bermain media sosial untuk mengelakkan ketagihan dengan menetapkan had masa penggunaan bagi memastikan wujudnya keseimbangan dalam kehidupan seharian mereka.
Pemantauan dalam media sosial anak-anak juga penting untuk dilaksanakan oleh ibu bapa supaya anak mereka tidak terlibat dalam kelakuan buli siber atau ketagihan internet kerana didikan awal mengenai penggunaan teknologi secara sihat perlu diterapkan sejak kecil lagi.
Manfaatkan Media Sosial Sebaiknya
Setiap pengguna harus bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi serba canggih ini serta perlu sentiasa berwaspada dalam berkongsi maklumat, mengelakkan berlakunya buli siber dan menggunakan media sosial dengan berhemah tanpa kemudaratan diri sendiri dan orang sekeliling.
Antara tip untuk mengatasi kemurungan digital adalah dengan menghadkan penggunaan digital dan kurang aktif di media sosial.
Internet hanya perlu digunakan untuk maklumat atau berita sahaja. Individu juga perlu banyakkan masa dengan aktiviti lain seperti membaca buku dan beriadah.
Apatah lagi di bulan Ramadan ini, berpuasa seketika dari media sosial boleh dilatih dengan baik.
Dengan adanya usaha bersama, dunia digital serba canggih ini dapat dijadikan sebagai ruang yang lebih selamat dan bermanfaat untuk semua penggunanya.
Fazirawatie Sarudin ialah calon Sarjana Komunikasi di Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor (UIS)
Rahmahtunnisah Sailin ialah pensyarah di Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor (UIS)
Penulisan artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.