[KOLUMNIS] Al-Quran: Pemangkin kecemerlangan Masyarakat Madani

Mohammad Zamri Zakaria
April 11, 2023 10:26 MYT
Peranan Al-Quran harus dizahirkan di tengah-tengah kegawatan isu masyarakat, agar mereka nampak hikmah dan solusi yang dibawa oleh Wahyu Terakhir ini. - Gambar hiasan
FIRMAN Allah SWT:
شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ
“Bulan Ramadan adalah (bulan yang diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk, pengubat dan pemberi solusi kepada manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan sebagai pembeza (antara yang benar dengan yang batil)." (Surah al-Baqarah: 185)
Peristiwa Nuzul Al-Quran pada 17 Ramadan – menyaksikan ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq. Baginda Nabi ketika itu berusia 41 tahun dan sedang beruzlah / beribadah di dalam Gua Hira’.
Malaikat Jibril memeluk baginda nabi sambil berkata Iqra’ yang bermaksud bacalah. Ia merupakan ayat Al-Quran pertama yang diturunkan kepada baginda.
Ayat Al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun sehingga sempurna dan lengkap menjadi sebuah kitab panduan, penawar dan Rahmat kepada manusia untuk mencari solusi dalam menghadapi sebarang bentuk cabaran dan keadaan.
Ulamak tersohor, Almarhum Sheikh Dr Yusof Al-Qaradhawi ada menyebutkan bahawa, konsep ‘penawar dan rahmat’ di dalam Al-Quran bukan sahaja untuk irang Islam tetapi adalah untuk seluruh umat manusia dan makhluk ciptaan Allah. Itulah ruang lingkup dan cakupan kitab suci Al-Quran.
Kalimah ‘Nuzul’ bermaksud turun dari tempat yang tinggi, Al-Quran adalah satu bentuk panduan lengkap, bimbingan dan peraturan yang diturunkan daripada Allah Taala yang diwahyukan kepada Nabi untuk disampaikan kepada umat manusia. Nuzul juga bermaksud bahawa ayat-ayat Al-Quran tersebut sumber asalnya ialah daripada Allah, bukan rekaan dan ciptaan manusia seperti yang digembar-gemburkan oleh para kafir mushrikin yang berusaha sedaya upada untuk menggoyangkan Aqidah Umat Islam. Bila ia bersumberkan daripada Rabbul Jalil, ia sekali gus dapat mengelak daripada ayat yang tidak sempurna, ada kecacatan, ada kekurangan, ada keraguan dan boleh dipertikaikan. Malahan, jika diteliti dan diamati dengan ilmu dan bimbingan, apa yang ada di dalam Al-Quran itu adalah sesuatu yang mampu digambarkan tentang apa yang bakal berlaku di masa akan datang.
Al-Quran diturunkan kepada nabi secara berperingkat. Antara hikmat Al-Quran diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun, ialah untuk membolehkan para sahabat baginda Nabi pada ketika itu untuk memahami dan menghadamkan setiap isi kandung ayat sebelum menerima dan memahami ayat yang baru.
Ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa penekanan terhadap galakan, arahan dan larangan yang terkandung di dalam ayat Al-Quran tersebut mengambilkira keupayaan, kesanggupan manusia yang serba kekurangan dan kelemahan. Maha Suci Allah yang menciptakan manusia, Dia lebih mengetahui tentang kapasiti dan keupayaan manusia. Gambaran dan kisah seumpama ini banyak dipaparkan di dalam Al-Quran dan di dalam hadith Nabi.
Antara tujuan Al-Quran diturunkan adalah untuk kita mentadabbur isi kandungannya sebagaimana firman Allah SWT:
كِتَٰبٌ أَنزَلۡنَٰهُ إِلَيۡكَ مُبَٰرَكٞ لِّيَدَّبَّرُوٓاْ ءَايَٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ
“Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang berakal sihat mendapat pengajaran.” (Surah Ar Rad: 29)
Oleh yang demikian, apa yang perlu kita lakukan atau terus menerus lakukan dalam nak menjadikan diri kita sebagai satu umat yang diberkati dan dirahmati dengan bekalan Al-Quran yang sedia ada di tangan kita :
1. Mendekatkan diri dengan kitab panduan ini sebab ia adalah penyelamat manusia di kala binasa, pencetus dan pemberi khabar gembira (basyir) di kala duka. Sheikh Dr Yusof Al-Qaradhawi menyarankan agar kita di samping berusaha membetul dan memperbaiki bacaan secara tartil, umat Islam juga harus bagi tumpuan kepada aspek memahami (tadabbur/comtemplation). Kegagalan kita memahami dan melihat sesuatu daripada perspektif Al-Quranlah, yang menjadikan kita semakin hari semakin jauh daripadanya.
2. Jangan pernah ada perasaan jemu dan mudah merasa cukup bila kita mula mendekatkan diri dengan Al-Quran. Al-Quran adalah kalamulLah (ayat-ayat Allah) kepada kita sebagai untuk kita berinteraksi denganNya. Oleh itu, semakin dibaca, digali dan dikaji, semakin banyak hikmah dan manfaat yang bakal kita terokai dan temui dan yakinlah, orang yang selalu mendampingi Al-Quran, InsyaAllah orang itu tidak akan kecewa, sesat dan mudah putus asa.
3. Umat Islam mesti jadi umat contoh kepada orang lain dalam setiap aspek kehidupan kerana kita telah dibekalkan dengan kitab panduan yang lengkap dan komprehensif. Sebetulnya masyarakat sekitar akan menjadikan kita sebagai tempat rujukan dalam setiap permasalahan mereka, bukan sebaliknya kita yang terpaksa bergantung dengan ilmu, kemampuan dan kemahiran yang mereka ada.
4. Melihat kepada situasi semasa hari ini, kita tidak boleh berlengah-lengah lagi untuk terus kembali bertaut erat dengan ajaran Al-Quran. Proses membumikan atau memasyarakatkan Al-Quran adalah amat penting sekali agar Al-Quran difahami dan dihayati oleh masyarakat dalam konteks dan lingkungan kehidupan mereka. Peranan Al-Quran harus dizahirkan di tengah-tengah kegawatan isu masyarakat, agar mereka nampak hikmah dan solusi yang dibawa oleh Wahyu Terakhir ini. Kalau kita tidak berjaya membawa misi ini, Al-Quran hanya akan dilihat peranannya ketika sakit demam, kematian, tahlil dan untuk acara majlis tilawah dan pertandingan sahaja. Tidak lebih dari itu. Al-Quran tidak dilihat mampu dan berupaya memberi solusi dalam bidang pendidikan, ekonomi, sosial dan hal ehwal antarabangsa. Terlalu kecil cakupannya sehinggakan dipandang sebelah mata dan sepi oleh umat Islam sendiri.
Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama, memperteguhkan niat, azam dan tekad serta usaha sedaya upaya kita, untuk meletakkan Al-Quran di tempat yang selayak dan seadilnya dalam memperkukuhkan asas dan tonggak misi Masyarakat Madani.

* Penulis merupakan bekas Pengarah Kanan, Pengurusan Dana Infaq dan Pembangunan Sosioekonomi YaPEIM dan juga seorang pendakwah.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Nabi Muhammad SAW #Al-Quran #masyarakat madani #Ramadan
;