[KOLUMNIS] 'Aku bebaskan kamu, kita berpisah' - Lafaz cerai ketika PKP, apa seterusnya?
Dr Norsuhaida Che Musa, Faiznur Ahmad Tarmiz
Jun 18, 2021 09:00 MYT
Jun 18, 2021 09:00 MYT
TOTAL lockdown atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diisytiharkan oleh Perdana Menteri bermula pada 1 Jun 2021 hingga 14 Jun telah pun disambung untuk tempoh dua minggu berikutnya berkuat kuasa 15 Jun hingga 28 Jun 2021.
Realitinya, ia memberi pelbagai persepsi dan respons dalam kalangan ahli masyarakat apabila tempoh lockdown ini disambung lagi termasuklah terus terhimpit dengan tekanan dan masalah rumah tangga semasa PKP.
Tekanan tersebut telah memberi kesan kepada institusi rumah tangga sehingga boleh berakhir dengan perceraian.
Persoalannya, sekiranya terjadi lafaz cerai daripada suami dalam tempoh PKP ini, apakah tindakan yang patut dilakukan?
Mahkamah Syariah di Malaysia tidak beroperasi sepanjang tempoh PKP ini. Pemfailan kes baharu juga tidak dapat dilakukan.
Kenal pasti lafaz cerai
Oleh itu, jika berlaku perceraian semasa lockdown ini, tindakan pertama oleh isteri adalah mengenal pasti jenis lafaz cerai.
Lafaz cerai terbahagi kepada dua jenis iaitu pertama, lafaz cerai secara sarih iaitu lafaz cerai yang terang dan nyata serta tidak membawa maksud lain kecuali cerai.
Contoh, “abang ceraikan kamu”, “aku bebaskan kamu” atau “kita berpisah.”
Kedua, lafaz cerai secara kinayah iaitu lafaz samar-samar yang diucapkan oleh suami atau ditulis oleh suami melalui apa-apa aplikasi yang kemungkinan membawa maksud cerai atau sebaliknya.
Contoh, “jadilah orang asing kepadaku”, “kita putus hubungan” atau “lepas PKP ni pergi balik rumah keluarga kamu.”
Catat, rakam, simpan lafaz cerai
Tindakan kedua setelah mengenal pasti jenis lafaz, sama ada secara jelas atau samar-samar, isteri perlu catat atau rekod jenis lafaz cerai oleh suami agar boleh digunakan dalam prosiding mahkamah kelak dan mengelakkan daripada berlakunya kekeliruan atau terlupa pada kemudian hari.
Tulis apa lafaz yang telah disebut oleh suami, tarikh dan masa. Sekiranya suami menulis lafaz cerai di dalam mana-mana medium, maka isteri digalakkan untuk mencetak atau menyimpan rekod yang menunjukkan suami ada melafazkan cerai.
Rekod dan catatan mengenai lafaz cerai amatlah penting kerana akan menjadi dokumen sokongan dalam kes mahkamah.
Lafaz cerai yang berlaku dalam tempoh lockdown ini adalah lafaz cerai di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah dan perlulah disahkan di dalam mahkamah.
Apa sahaja perkataan yang dilafazkan oleh suami yang diyakini atau diragui lafaznya samada perlu disahkan oleh hakim.
Hanya hakim sahaja yang berkuasa untuk mensabitkan berlakunya perceraian dan jumlah talak yang berlaku.
Asingkan tempat tidur
Tindakan ketiga adalah mengasingkan tempat tidur.
Ya, walaupun telah berlaku lafaz cerai, dalam tempoh ini pasangan masih boleh tinggal serumah.
Namun begitu, suami dan isteri hendaklah berasingan bilik tidur dan tidak melakukan hubungan suami isteri iaitu hubungan kelamin.
Keadaan ini perlu agar masing-masing dapat memelihara diri dan keturunan serta hukum syarak sehinggalah pengesahan lafaz cerai dapat dibuat selepas Mahkamah Syariah beroperasi semula.
Dapatkan nasihat guaman
Tindakan keempat adalah mendapatkan nasihat guaman.
Pasangan suami isteri yang telah bercerai semasa dalam tempoh lockdown ini juga digalakkan agar mendapatkan nasihat daripada pihak yang bertauliah iaitu peguam syarie bagi berkongsi permasalahan dan konflik yang telah berlaku dan apakah tindakan yang patut diambil dari sudut undang-undang yang berkuat kuasa.
Mendapatkan nasihat guaman daripada pihak yang bertauliah amatlah penting agar pasangan yang telah bercerai ini dapat mengelakkan kekeliruan yang melanda dan sekali gus mendapat hala tuju yang terbaik dalam menangani krisis rumah tangga yang telah terjadi.
Bagi nasihat guaman, pihak-pihak boleh mendapatkan konsultasi secara percuma daripada Panel Peguam Syarie bertauliah menerusi janji temu dengan Klinik Guaman Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan cara melayari facebook Klinik Bantuan Guaman USIM untuk urusan janji temu.
Pihak-pihak juga boleh melayari laman sesawang PGSM untuk senarai Peguam Syarie bertauliah di seluruh negeri Malaysia bagi mendapatkan khidmat nasihat guaman.
Perceraian adalah hal yang serius dan kritikal.
Jika ragu, terus bertanya orang yang tahu dan perlu keluar dari belenggu ini bagi mengelakkan tekanan dalam diri dan keluarga.
Apa yang berlaku merupakan ujian kepada pasangan.
Carilah solusi dan pastinya setiap masalah pasti ada penyelesaiannya.
* Dr Norsuhaida Che Musa merupakan Pensyarah dan Penyelaras Klinik Guaman Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
** Faiznur Ahmad Tarmizi merupakan Panel Peguam Syarie, Klinik Guaman Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
*** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#mahkamah syariah
#PGSM
#PKP
#undang-undang
#penceraian
#proses cerai
#lafaz cerai
#proses penceraian
#sarih
#kinayah
#perintah kawalan pergerakan
#syariah