[KOLUMNIS] Akses kepada maklumat: Keperluan kritikal melengkapkan ekosistem kebajikan warga ATM
Fahmiza Mohamad Stephen
November 29, 2024 12:00 MYT
November 29, 2024 12:00 MYT
APABILA Kementerian Pertahanan (Mindef) bersama-sama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah Kementerian Komunikasi melancarkan Inisiatif Perajurit Broadband pada 11 Oktober lalu sebagai langkah strategik untuk memperkukuhkan kebajikan digital anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), perkara paling asas yang dapat dilihat adalah pentingnya akses kepada maklumat.
Inisiatif yang merupakan sebahagian daripada program JENDELA di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ini, mendapat peruntukan sebanyak RM99 juta untuk memperbaiki capaian digital di 73 kem ATM di seluruh negara.
Kerjasama rentas kementerian tersebut ditonjolkan sebagai bukan sekadar satu usaha menyediakan akses Internet, tetapi juga memperluas akses kepada maklumat sebagai elemen penting dalam ekosistem kehidupan anggota tentera.
Sekiranya diteliti, khususnya dalam aspek kesejahteraan dan pertahanan, akses kepada maklumat adalah sesuatu yang sangat kritikal.
Peristiwa serangan di Pearl Harbor pada tahun 1941 menonjolkan kepentingan akses kepada maklumat dan komunikasi yang berkesan dalam pertahanan.
Kegagalan Amerika Syarikat (AS) untuk mengesan dan menyebarkan maklumat kritikal mengenai serangan Jepun menyebabkan pangkalan tentera laut di Hawaii tidak bersedia, mengakibatkan kemusnahan besar.
Situasi ini menunjukkan bahawa kelewatan atau kekurangan akses kepada maklumat penting boleh membawa kepada kelemahan pertahanan yang serius.
Pengajaran dari peristiwa ini memperkukuhkan keperluan untuk sistem komunikasi yang mantap dan akses pantas kepada maklumat dalam konteks keselamatan moden.
Dalam era Revolusi Industri 4.0, akses kepada maklumat dan Internet telah menjadi keperluan asas.
Hampir setiap aspek kehidupan bergantung pada perkhidmatan Internet yang laju dan stabil.
Dari pendidikan anak-anak hingga pengurusan kewangan, kesalinghubungan digital bukan lagi kemewahan, tetapi satu hak yang patut dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk para perajurit negara.
NTIA Internet Use Survey (2021) mendapati kira-kira 70 peratus isi rumah dengan akses Internet berkualiti tinggi berjaya meningkatkan kemahiran dan pendidikan melalui platform digital seperti kursus dalam talian dan e-pembelajaran.
Akses ini juga membuka peluang kepada pendapatan tambahan melalui perniagaan digital.
Dalam konteks kehidupan anggota tentera, laporan daripada Military Family Advisory Network (MFAN, 2021) menyokong pentingnya sambungan Internet yang stabil untuk memastikan anak-anak tentera mendapatkan akses pendidikan berterusan walaupun sering berpindah.
Kesedaran tentang kepentingan akses kepada maklumat dalam kalangan tentera dan ahli keluarga mereka juga telah lama menjadi fokus di negara-negara maju.
Khususnya penekanan terhadap kepentingan akses digital sebagai sebahagian daripada sistem sosial ketenteraan di seluruh dunia.
Di AS misalnya, kerjasama antara Boingo Wireless dan Department of Defense (DoD) menyediakan rangkaian Wi-Fi dan 5G di lebih 85 pangkalan tentera, termasuk di lokasi terpencil seperti Helemano Military Reservation, Hawaii.
Inisiatif ini memastikan anggota tentera dan keluarga mereka mendapat akses Internet yang stabil, sekali gus membantu meningkatkan komunikasi dan kesejahteraan mereka.
Selain itu, program “Virtual Single Sailor Program” menyediakan Wi-Fi percuma di barak-barak tentera laut seperti di Norfolk dan Portsmouth, sebagai menyokong pelaut yang berjauhan daripada keluarga dengan akses kepada sumber digital tanpa kos tambahan.
Di United Kingdom (UK), Kementerian Pertahanan (MoD) telah bekerjasama dengan BT (British Telecom) melalui perkhidmatan Defence Business Internet (DBI) untuk meningkatkan kesalinghubungan di lebih 100 pangkalan di UK dan Cyprus.
Pada 2023, MoD menandatangani kontrak bernilai £42 juta dengan BT untuk menaik taraf infrastruktur digital, memastikan sambungan stabil dengan ketersediaan sekurang-kurangnya 95 peratus hingga 2028, menggantikan teknologi lama dengan sistem yang lebih moden dan efisien.
Motivasi kepada anggota tentera
Berdasarkan pemerhatian ke atas penekanan terhadap keperluan akses terhadap Internet dalam kehidupan warga tentera ini, inisiatif Perajurit Broadband oleh Mindef dan SKMM ini boleh dilihat sebagai suatu permulaan yang baik.
Penyediaan infrastruktur fiber optik di kawasan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) - meliputi 59,420 kediaman keluarga tentera – akan menjadi satu lonjakan baharu kepada usaha meningkatkan kualiti hidup di dalam kem-kem tentera.
Dan bagi menjawab isu akses yang baik, pakej Internet mampu milik serendah RM49 dengan kelajuan 100 Mbps yang ditawarkan di bawah program ini diharap berupaya mengurangkan jurang digital yang selama ini menjadi cabaran utama kepada anggota tentera di kem-kem seluruh negara.
Kita sedia maklum, akses Internet yang lebih baik akan membuka lebih banyak ruang untuk perkembangan diri dan peningkatan motivasi anggota tentera.
Ia bukan sahaja memudahkan komunikasi, tetapi turut memberi peluang kepada pembelajaran jarak jauh, latihan dalam talian, dan menjana pendapatan sampingan melalui perniagaan digital.
Memastikan perkhidmatan berkualiti
Walaupun inisiatif ini secara asasnya merupakan langkah ke hadapan yang signifikan, namun, masih terdapat cabaran yang perlu diatasi.
Salah satunya adalah memastikan infrastruktur yang dibangunkan benar-benar memenuhi piawaian kualiti dan liputan yang diharapkan, terutamanya di kawasan yang selama ini mengalami masalah capaian dan kelajuan Internet yang tidak memuaskan.
Kita tidak mahu ia menjadi satu lagi projek gajah putih yang hanya lunak diumumkan namun pelaksanaannya tidak berjalan dengan baik.
Inisiatif Perajurit Broadband mesti dilaksanakan dengan serius tanpa membiarkannya menjadi satu medan syarikat-syarikat besar menabur janji tanpa pelaksanaan yang memberi impak yang bermakna kepada kumpulan sasar.
Usaha mengubah landskap kehidupan anggota ATM - dengan menjadikan mereka lebih terhubung dengan dunia luar dan membuka lebih banyak peluang ekonomi dan sosial – mesti dilihat sebagai satu agenda nasional yang penting dan tidak boleh diambil mudah.
Akses dan kualiti perkhidmatan Internet akan memberi impak positif bukan sahaja kepada kehidupan harian anggota tentera dan keluarga mereka.
Tetapi sangat berupaya meningkatkan kualiti persediaan dan motivasi perajurit kita dalam menjalankan tugas mempertahankan negara.
Selain menjadi pengiktirafan jelas terhadap pengorbanan mereka, usaha sebegini mencerminkan kefahaman kerajaan bahawa akses kepada maklumat adalah suatu keperluan asas yang sangat kritikal dalam memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup pada zaman moden.
* Fahmiza Mohamad Stephen merupakan penuntut pengajian Doktor Falsafah di Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran (SEEDS), Universiti Kebangsaan Malaysia. Penulis juga seorang penganalisis bebas dasar awam.
** ** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.