[KOLUMNIS] Abad Turkiye, hubungan lebih erat dengan Malaysia
Emir Salim Yuksel
Oktober 29, 2024 10:50 MYT
Oktober 29, 2024 10:50 MYT
HARI ini merupakan ulang tahun ke-101 pengisytiharan Republik Türkiye, manakala tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik diantara Turkiye dengan Malaysia.
Sebagai Duta Turkiye ke Malaysia, saya berbesar hati untuk menyaksikan peristiwa penting ini dalam sejarah kita.
Ketika negara saya berusia lebih dari satu abad, saya berasa sangat bertuah untuk mewakili Turkiye di negara bersaudara seperti Malaysia.
Tahun lepas kami telah menyambut sambutan ulang tahun ke-100 Republik Turkiye, yang diasaskan oleh Mustafa Kemal Atatürk selepas pembubaran Empayar Uthmaniyyah dan peperangan berpanjangan menentang tentera penjajah.
Republik Turkiye adalah salah satu contoh yang paling menonjol tentang bagaimana sebuah negara yang bersatu boleh berjaya dalam mengekalkan kewujudan dan perpaduannya walaupun dalam keadaan yang paling sukar.
Presiden kami, TYT Recep Tayyip Erdoğan, telah mentransformasikan ulang tahun keseratus itu kepada pelancaran visi baharu yang dikenali sebagai "Abad Turkiye," yang bertujuan untuk mentakrif abad yang akan datang.
Visi ini menggariskan dedikasi yang menyeluruh untuk memartabatkan negara kita mengatasi piawaian tamadun kontemporari.
“Abad Turkiye” melambangkan komitmen untuk merealisasikan matlamat lama negara kami dan untuk mencapai pencapaian yang lebih besar.
Dalam masa kami mencapai matlamat ini, saya yakin bahawa hubungan yang sedia teguh dengan negara sahabat kita Malaysia akan dipertingkatkan lagi dalam pelbagai bidang.
Kami, Turkiye dan Malaysia, berkongsi hubungan dua hala yang berakar umbi, dengan sejarah persaudaraan sejak hubungan antara Empayar Uthmaniyyah dan Kepulauan Melayu pada abad ke-16.
Hubungan diplomatik pula telah terjalin pada tahun 1964. Kita adalah pewaris kepada hubungan erat dan mesra yang dijalinkan oleh rakyat masing-masing selama beberapa abad.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan dua hala antara kedua-dua negara kita telah menyaksikan perkembangan yang ketara.
Pada tahun 2014, yang menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik, kami mewujudkan "Perkongsian Strategik" antara negara dan pada tahun 2022, ia telah maju ke tahap "Perkongsian Strategik Komprehensif."
Negara kita juga bekerjasama rapat dalam forum pelbagai hala, khususnya dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Islam, dan D-8. Tambahan juga, Türkiye ialah “Rakan Dialog Sektoral” ASEAN.
Lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara memainkan peranan penting dalam memupuk hubungan politik.
Pada Julai 2023, Menteri Luar Turkye, Hakan Fidan telah melawat Pulau Pinang, Malaysia, manakala Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat dua lawatan ke Turkiye.
Menteri-Menteri Pertahanan kedua-dua negara saling melawat antara satu sama lain melalui lawatan timbal balik tahun ini.
Dalam mengukuhkan ikatan persahabatan yang berkekalan antara negara, kerjasama komersial dan ekonomi memainkan peranan yang penting.
Dalam konteks ini, Turkiye dan Malaysia mengambil langkah penting untuk meningkatkan hubungan komersial mereka melalui perjanjian perdagangan bebas yang ditandatangani pada 2015.
Jumlah dagangan telah meningkat dengan ketara, meningkat daripada AS$3.5 bilion pada 2021 kepada AS$4.6 bilion pada 2023.
Sehubungan dengan itu, Malaysia kekal sebagai rakan dagang ASEAN terbesar kami.
Walaupun terdapat jarak fizikal antara Turkiye dan Malaysia, kerajaan Turkiye bersedia untuk membangunkan kerjasama ekonomi, komersial dan teknikal dengan Malaysia dalam bidang-bidang yang bersesuaian untuk manfaat bersama kedua-dua negara.
Industri pertahanan Turkiye sudah pun menjadi sebahagian daripada pesaing global dan sektor ini merupakan salah satu bahagian terpenting kerjasama dengan Malaysia.
Dalam rangka kerjasama ketenteraan, kapal perang korvet TCG Kınalıada telah melawat Pelabuhan Klang pada Mei 2024.
Kami juga ingin meningkatkan hubungan dalam bidang kebudayaan dan pendidikan. “Pusat Kebudayaan Turkiye Yunus Emre” di Kuala Lumpur ialah pusat bahasa Turkiye terbesar di rantau ini.
Kami amat berbesar hati dengan minat rakyat Malaysia yang ingin mempelajari bahasa Turkiye.
Selain itu, kami mahu lebih ramai pelajar Malaysia mendapat manfaat daripada biasiswa pendidikan tinggi negara kami seperti Biasiswa Turkiye.
Terdapat juga potensi besar dalam sektor pelancongan. Tahun lepas, kami telah menjadi tuan rumah kepada hampir seratus ribu pelancong Malaysia.
Terdapat dua penerbangan setiap hari antara Kuala Lumpur dan Istanbul oleh syarikat penerbangan Turkish Airlines.
Terdapat banyak bidang kerjasama yang boleh kita dalami dan kehendak politik timbal balik di kedua-dua negara di bawah pimpinan TYT Presiden Recep Tayyip Erdoğan dan TYT Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Persaudaraan ini mendapat kekuatannya daripada sejarah, agama bersama yang dihargai dan tradisi yang serupa.
Sebagai dua sayap dunia Islam, kami bersedia dan bersemangat untuk mengeratkan hubungan kami.
Sempena Hari Kebangsaan Republik Turkiye ke-101 dan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kita, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana meraikan pengisytiharan Republik Turkiye dan menggariskan bahawa saya amat yakin bahawa kedua-dua negara kita akan terus maju dan makmur seiring di tahun-tahun mendatang.
* Emir Salim Yuksel ialah Duta Besar Turkiye ke Malaysia.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.