[KOLUMNIS] 365 hari bersama MYJalan
Kolumnis AWANI
Ogos 24, 2024 11:45 MYT
Ogos 24, 2024 11:45 MYT
JANGAN pandang mudah lubang jalan yang mungkin hanya sebesar tapak tangan, kesannya boleh meragut nyawa.
Inilah yang saya tekankan dari awal menjejak kaki ke Kementerian Kerja Raya kepada semua pegawai di sini, sementelah melihat data-data kerosakan jalan raya yang dibentangkan kepada saya. Amat merisaukan.
Diakui, banyak usaha yang telah dibuat semasa pentadbiran terdahulu. Namun saya merasakan usaha memperluaskan gerak kerja membaiki dan menjaga infrastruktur jalan raya dan perabot-perabotnya perlu digempur sehabis baik. Ini bukan soal RM2 juta atau RM2 bilion, ini soal nyawa manusia yang tidak ternilai harganya.
Dari situ, saya dan pasukan kementerian, dibantu oleh agensi-agensi di bawahnya – Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan CIDB) mencetuskan ‘MYJalan’, yang berpaksikan kepada menyemai pemikiran akauntabiliti, mendidik pengguna jalan raya dan meningkatkan sistem pemantauan dan penyenggaraan, seiring aspirasi Kerajaan Madani.
Bulan Ogos 2023, kami bawa MYJalan ke Lebuhraya Timur Barat (LTB) Gerik-Jeli, antara laluan yang paling banyak menerima laporan kerosakan jalan yang membahayakan pengguna jalan raya di situ.
Sedang elok, pelancaran diadakan pada bulan kemerdekaan, maka kami selitkan sejarah pembinaan laluan ini yang menyimpan seribu satu kisah, terselit cerita pengorbanan pasukan JKR yang membina laluan itu di tengah-tengah ancaman komunis yang melanda negara.
Dalam pembinaannya, tiga pekerja JKR terkorban diserang komunis – antara kisah pejuang infrastruktur negara kita yang tidak didendang.
Hari ini setahun yang lalu, kempen MYJalan dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Gerik-Jeli.
Selain mengumumkan peruntukan tambahan membaiki laluan penuh sejarah itu yang berjumlah RM30 juta, 87 keluarga semua pekerja JKR yang berkorban tenaga dan nyawa membina laluan Gerik-Jeli sepanjang 123km yang turut dikenali sebagai laluan ‘benteng negara’ itu, turut menerima sumbangan sebanyak RM1,000 sebagai tanda penghargaan dari YAB Perdana Menteri sendiri.
Dari tarikh pelancarannya pada 24 Ogos 2023, MYJalan telah digerakkan ke seluruh negara oleh semua pasukan kementerian. Ditambah dengan pelancaran aplikasi aduan MYJalan, yang berkonsepkan ‘No Wrong Door Policy’ yang menerima semua aduan berkaitan infrastruktur jalan raya, kesedaran tentang kepentingan menyalurkan laporan ini semakin diperhebat.
Tetapi, tentulah ada pahit manis dalam mengendalikan kempen ini. Dicerca, dicemuh, dan dilempar dengan kata-kata kurang manis semuanya kami telan demi melunaskan tanggung jawab yang diberi. Walaupun usaha ini masih belum sempurna, tetapi kerja keras yang diambil oleh semua pasukan kementerian harus saya berikan pujian.
‘Membantu rakyat janganlah penat, manusia hormat Tuhan pun sayang’.
Itu yang sering saya kongsikan dengan semua pasukan kementerian dan agensi, setiap kali motivasi dijentik dengan cercaan.
Jadi selepas setahun, apa yang berjaya kita hasilkan melalui MYJalan setakat ini?
Selain mendapatkan peruntukan total sebanyak RM75.676 juta bagi kerja-kerja menaik taraf LTB Gerik - Jeli, kempen MYJalan juga berjaya mendapatkan peningkatan peruntukan dalam Belanjawan 2024.
Secara keseluruhan, KKR menerima peruntukan berjumlah RM9.511 bilion bagi 2024, iaitu peningkatan 12.7 peratus berbanding RM8.439 bilion yang diterima tahun lepas.
Dari jumlah ini, sebanyak RM1.907 bilion diperuntukkan untuk penyenggaraan Jalan Persekutuan di seluruh negara. Meskipun masih belum mencukupi bagi menyenggara keseluruhan Jalan Persekutuan yang melebihi 18,000 km, namun kami berusaha sedaya upaya memanfaatkan sepenuhnya peruntukan ini menyenggara infrastruktur jalan raya.
Jadi, apa kesannya kepada rakyat? Tentulah peruntukan yang disalurkan dapat menyediakan jalan raya yang selesa dan selamat kepada semua pengguna jalan raya.
Bukan itu sahaja, melalui MYJalan, peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 kepada setiap 115 jurutera daerah diberikan bagi pelaksanaan kerja-kerja pembaikan kecil yang memerlukan tindakan segera di daerah seliaan masing-masing. Usaha ini dibuat bagi memperkasakan jurutera daerah yang saban hari terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerosakan kecil jalan raya yang tidak memerlukan kos yang tinggi.
Setiap tahun, negara kita tidak terlepas dari berhadapan dengan musim banjir. Tahun ini melalui MYJalan, sebanyak RM113 juta juga disalurkan bagi membaik pulih jalan raya yang rosak dan cerun runtuh akibat banjir.
Tidak terhenti di situ, MYJalan turut memberi perhatian kepada nasib dan keselamatan penunggang motosikal ketika musim hujan. Bersama-sama LLM dan syarikat konsesi lebuh raya, tempat teduhan motosikal giat disediakan di kawasan bersesuaian bagi memberi perlindungan kepada penunggang motosikal semasa hujan.
Kementerian mensasarkan untuk menyediakan 119 tempat teduhan motosikal di lebuh raya dan sehingga kini, 101 telah pun siap dibina.
Sebanyak RM300 juta pula diperuntukkan untuk membantu kontraktor kecil Bumiputera G1 hingga G4 yang berdaftar dengan CIDB, melalui Kerja Undi dan Arahan Kerja yang dilaksanakan bagi memastikan kontraktor-kontraktor kecil ini dapat terus bersaing secara sihat di dalam sektor pembinaan.
Inilah antara usaha yang dibawa oleh MYJalan, selari dengan hasrat Kerajaan Madani dalam mensejahterakan rakyat.
Kalau sebut tentang aduan pula, sejak dilancarkan hingga 31 Julai 2024, aplikasi MYJalan yang semakin digunakan secara meluas telah menerima lebih 17,000 aduan yang melibatkan bidang kuasa KKR dan juga agensi kerajaan yang lain.
Dari jumlah ini, 30.18 peratus atau 5,178 aduan adalah di bawah seliaan KKR. Dari jumlah ini pula, 4,772 aduan telah diselesaikan.
Melangkah ke hadapan, tentunya kementerian mempunyai perancangan yang lebih agresif dalam memastikan objektif pelaksanaan MYJalan ini dapat dicapai.
Antara fokus utama adalah melaksanakan kerjasama erat bersama kementerian dan agensi kerajaan yang lain dalam menangani masalah aduan infrastruktur jalan raya yang dikendalikan oleh kementerian dan jabatan masing-masing.
Selain itu, aplikasi aduan ini juga akan diperkemaskan lagi bagi memberi lebih kemudahan kepada semua pengguna. Saya amat menghargai setiap kritikan dan teguran yang dikongsi oleh semua pengguna aplikasi ini. Namun, pujian harus saya berikan kepada pasukan dari Bahagian Pengurusan Maklumat KKR yang membina aplikasi ini secara in-house atau dalaman, tanpa menggunakan khidmat pihak luar dan mengeluarkan peruntukan tambahan.
Dan tentunya, melalui MYJalan yang kini digerakkan sebagai sebuah program utama kementerian, kementerian berharap peruntukan tambahan dapat diberikan kepada KKR dalam Belanjawan 2025 ini bagi memperluaskan lagi usaha membaiki dan menyenggara segala kerosakan di semua Jalan Persekutuan di seluruh negara.
Dalam kesempitan peruntukan yang dihadapi oleh kementerian, saya dan seluruh pasukan kementerian dan agensi akan terus memberi khidmat bakti dan menggalas tanggung jawab dengan penuh amanah dan berintegriti.
Kesejahteraan rakyat aspirasi Madani,
Aspirasi disemat di dalam hati,
Curah keringat menabur budi,
Jasa yang baik dibawa mati.
* Datuk Seri Alexander Nanta, Menteri Kerja Raya.
**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.