Koleksi mata wang bijih timah kurun ke-14 di Ipoh World

Bernama
Julai 27, 2024 06:00 MYT
Antara koleksi mata wang berbentuk haiwan yang disimpan rapi di Galeri Ipoh World. - Gambar/ Bernama
IPOH: Koleksi mata wang berbentuk haiwan bernilai kira-kira RM35,000 yang diperbuat daripada bijih timah sekitar kurun ke-14 hingga ke-18 merupakan antara 2,500 barangan antik tidak ternilai harganya tersimpan rapi di sebuah galeri milik Ipoh World.
Mata wang haiwan yang dikumpul sejak tahun 2005 itu terdiri daripada pelbagai bentuk, dengan rekaan dipengaruhi kepercayaan dan pemujaan masyarakat pada zaman tersebut.
Ia digunakan juga dalam sistem barter (amalan pertukaran barang tanpa menggunakan wang) di beberapa buah negeri seperti Perak, Selangor serta Joho, suatu ketika dahulu.
Pengurus Ipoh World Leong Meng Fai berkata, mengikut kajian yang dibuat, mata wang haiwan seperti gajah direka dan diletakkan di bawah rumah kongsi di kawasan perlombongon bijih timah kerana mereka percaya bahawa ia akan membawa keuntungan menerusi sifat haiwan itu yang kuat dan gagah.
"Kita juga mempunyai beberapa koleksi lain seperti peralatan melombong bijih timah seperti dulang, topi dan sarung guni bijih timah di simpan di sini, selain barangan yang digunakan untuk memproses getah dan emas.
"Koleksi barangan antik tersebut dikumpul hasil daripada kajian yang dilakukan oleh Ipoh World, pemberian orang awam serta pembelian daripada indvidu-individu tertentu." katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Leong berkata, inisiatif itu dibuat bagi memelihara serta memulihara barangan antik itu untuk menjadi tatapan serta rujukan generasi akan datang kerana kebanyakan koleksi merupakan barangan daripada abad ke-18 hingga ke-20.
"Di sini kita mempunyai tiga galeri yang menempatkan kira-kira lebih 2,500 barangan antik. Sebuah bilik menempatkan peralatan dan barang berkaitan bijih timah, getah dan emas sementara bilik kedua pula disimpan beberapa alat pengangkutan seperti basikal Penny-farthing yang dibawa masuk sewaktu pemerintahan British.
"Menariknya di bilik ini juga kita ada menempatkan dua bahagian yang menggambarkan keadaan klinik gigi dan kedai gunting rambut sekitar tahun 90an. Peralatan ini pemberian pemilik kedai berkenaan," katanya.
Menurut Leong, di galeri ketiga pula terdapat barangan bersejarah seperti bendera Malaya yang mempunyai 11 jalur, surat khabar The Straits Times keluaran dua hari sebelum Hari Kemerdekaan 1957 serta beberapa barangan antik yang belum pernah diusik lagi.
"Kalau tengok di sini kita ada mesin cetak sekitar tahun 90an, telefon dan kamera daripada awal ciptaanya serta barangan makanan yang belum dibuka lagi namun masih elok tersimpan rapi di galeri ini
"Semua barangan ini diharap dapat menjadi tatapan untuk generasi akan datang selain membantu mana-mana pihak yang ingin mendapatkan ilham bagi menghasilkan sesuatu produk atau karya kerana baru-baru ini kita ada buat kerjasama dengan sebuah restoran dalam menghasilkan rekaan kedai mereka," katanya.
Beliau turut memaklumkan, setakat ini pihaknya masih belum membuka galeri-galeri tersebut untuk kunjungan orang awam kerana terdapat barang antik yang masih memerlukan jagaan rapi dan kawasan galeri itu sangat terhad untuk jumlah pengunjung yang ramai.
"Bagaimanapun, kita sememangnya mempunyai perancangan untuk membukanya kepada orang awam, namun memerlukan perancangan yang teliti serta persediaan daripada aspek keselamatan, ruang dan lain-lain bagi memudahkan orang awam apabila ia dibuka nanti," katanya.
-- BERNAMA
#mata wang #haiwan #bijih timah #Ipoh World