Kolej Komuniti Chenderoh dinobat Best Culinary Establishment di Hanoi
Aida Aziz
November 25, 2023 08:20 MYT
November 25, 2023 08:20 MYT
IPOH: Kolej Komuniti Chenderoh Perak (KKCP) berjaya mengharumkan nama negara apabila dinobatkan anugerah Best Culinary Establishment dalam pertandingan The 2nd Hanoi Salon Culinaire 2023.
Pertandingan yang bertempat di Hanoi International Center for Exhibition, Vietnam itu berlangsung selama tiga hari dengan penyertaan sebanyak tiga buah negara termasuk Malaysia.
KKCP dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, mereka berjaya merangkul 14 pingat keseluruhan dalam 16 acara yang dipertandingkan, serta membawa pulang wang tunai VND22,000,000.
Ujarnya, pasukan kulinari KKCP diterajui oleh seorang pensyarah, Khairul Ashikhin Abdullah Suhami dan lima orang pelajar dari Program Diploma in Culinary Arts.
"Muhammad Nabil Hadzrin Hassanudin, Muhammad Hanif Abdul Halim, Muhammad Fikri Kamaruzaman, Muhammad Syafiq Daniel Shaharudin, dan Muhammad Amirul Hakim Rahimudin memperoleh tiga pingat emas, enam perak, lima gangsa, dan dua diploma.
"Pertandingan itu diadili barisan juri professional dari Singapura, Malaysia, Vietnam, Taiwan, China, Switzerland, Australia, Hong Kong, Maldives, Britain dan Sri Lanka dengan diketuai oleh Chef Otto Weibel," katanya.
Sementara itu, jelasnya lagi, layanan dan hospitaliti yang diberikan kepada pasukan KKCP memberi kesan mendalam sekali gus meningkatkan semangat dan motivasi mereka untuk berusaha lebih gigih dalam pertandingan.
"Pengalaman indah semasa berada di sini, para peserta begitu teruja apabila diberi peluang untuk memilih sendiri pinggan mangkuk di Warehoouse Vhoreca bagi kegunaan pertandingan yang ditaja oleh Vhoreca Ceramic dan Stoneware.
"Selain itu, para peserta diberikan Halal Angus Tenderloin Beef, Wagyu Sirloin Steak dan Lamb Cutlets Australia yang dihantar terus ke hotel tajaan khas oleh MLA di bawah syarikat butcher Dinh Vong meat dan seafood untuk kegunaan pertandingan.
"Penyertaan KKCP ini menerima sokongan dan tajaan utama daripada Syarikat Salmi Hj. Tamin Sdn. Bhd," katanya lagi.
Sebelum ini KKCP telah meraih 10 pingat keseluruhan dalam pertandingan La Cuisine 5th Edition Interfood Indonesia 2023 yang diadakan pada 8 hingga 11 November lalu di Jakarta International Exhibition and Arena (JIEXPO).
Tambahnya, Khairul Ashikhin yang merupakan Pensyarah Utama KKCP telah dilantik sebagai Duta Malaysia Lambassador selama setahun oleh Meat & Livestock Australia di bawah kerajaan Victoria, Australia.
"Kejayaan ini membuktikan Kolej Komuniti berupaya melahirkan pelajar yang berbakat serta pensyarah yang cemerlang.
"Sekali gus mengubah stigma masyarakat terhadap Kolej Komuniti yang merupakan salah sebuah institusi TVET yang berkualiti dan menjadi pilihan utama kerjaya," katanya.