Kolam takungan banjir bawah tanah akan dibina tahun depan atasi banjir di KL

Bernama
November 19, 2015 23:28 MYT
Kolam yang bersaiz 110 meter panjang dan 90 meter lebar itu mampu menampung 10,000 meter padu air hujan dalam satu masa, dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2016.
Sebuah kolam takungan banjir bawah tanah akan dibina di Segambut tahun depan dengan kos RM4.5 juta.
Datuk Bandar Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata kolam yang bersaiz 110 meter panjang dan 90 meter lebar itu mampu menampung 10,000 meter padu air hujan dalam satu masa, dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2016.
"Kolam itu akan dibuat di bawah tanah. Ini adalah teknologi baharu ekoran kita kini mengalami masalah kekurangan tanah di ibu kota.
"Sekarang ini kita ada 14 kolam takungan banjir di sekitar ibu kota," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Bajet Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2016 di sini hari ini.
Beliau berkata sebanyak RM670.3 juta diperuntukan dalam bajet itu menerusi Program Penyelenggaran Jalan Raya dan Saliran, yang akan memberi keutamaan bagi melaksanakan projek pembesaran, penyelenggaraan dan pembersihan longkang di sekitar ibu kota.
Mhd Amin berkata antara faktor yang menyebabkan banjir di Kuala Lumpur adalah longkang yang tidak dapat menampung kapasiti air ketika hujan lebat.
Melalui bajet itu, DBKL juga memperuntukan lebih RM500 juta bagi menaik taraf jalan raya untuk mempertingkatkan sistem pengangkutan dan perhubungan di kawasan ibu kota dari semasa ke semasa.
Sebanyak RM2.72 bilion juga diperuntukan bagi menyediakan perkhidmatan perbandaran dan tadbir urus demi kesejahteraan kira-kira 1.7 juta warga kota.
#DBKL #kolam takungan #Mhd Amin Nordin Abd Aziz #Segambut
;