Kolam lumpur sebabkan gajah mati di Tawau bekas kuari lama
Bernama
September 15, 2016 07:54 MYT
September 15, 2016 07:54 MYT
Kolam lumpur yang memerangkap sembilan ekor gajah dan menyebabkan lima mati berdekatan Kem Pembalakan Berkat Saga di Rinukut, Tawau adalah bekas kuari lama.
Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Sam Mannan turut mengesahkan kawasan itu merupakan tempat Penanaman Semula Hutan di bawah program pembangunan hutan yang dilaksanakan oleh jabatan itu.
Katanya bekas kuari itu memang sudah sedia ada di kawasan itu ketika program penanaman semula hutan dilaksanakan.
Menurutnya, syarikat yang dilantik oleh jabatan itu mengendalikan program penanaman semula hutan itu meninggalkan kawasan itu sejak 15 tahun lepas selepas kerja selesai.
"Kewujudan kuari itu kemudian menjadi sumber air jika berlaku kebakaran di kawasan itu. Disebabkan terlalu lama, paras kedalaman kuari itu menjadi dalam dan berlumpur.
"Ia menyebabkan gajah tersebut masuk ke dalam kuari lama itu hanya sekadar untuk menyejukkan diri dan mandi, namun tidak dapat naik semula," katanya pada Khamis.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian Festival Burung Borneo Kelapan yang disempurnakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Pang Nyuk Ming di Rainforest Discovery Centre di Sepilok dekat sini.
Beliau diminta mengulas lima daripada sembilan ekor gajah ditemukan mati setelah terperangkap di dalam kolam lumpur berdekatan kem pembalakan tersebut iaitu sebuah perusahaan kayu balak, Sabtu lalu.
Dua ekor lagi terpaksa di'eutanasia' (dimatikan) bagi mengelakkan terus sengsara ekoran terlalu lemah, kekurangan air serta buta.
Dalam pada itu, Pang berkata Jabatan Hidupan Liar Sabah diarah untuk membuat siasatan mendalam berhubung perkara itu.
Katanya jabatan itu akan mengemukakan laporan lengkap hasil siasatan kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun.
Menurutnya laporan itu turut mengandungi faktor kejadian berkenaan dan tindakan yang perlu diambil untuk memastikan ia tidak berulang. -- BERNAMA