Kolam Biru ikon baharu Kuala Lumpur
Irwan Muhammad Zain
Ogos 28, 2017 07:46 MYT
Ogos 28, 2017 07:46 MYT
Projek 'River Of Life ' (ROL) dan 'Kolam Biru' mampu menjadi daya penarik baharu bandaraya Kuala Lumpur, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Berucap merasmikan projek berkenaan malam tadi, Perdana Menteri berkata ROL dan Kolam Biru juga mampu menjadikan Kuala Lumpur setanding bandar terkemuka dunia yang lain.
"Ini adalah hasrat peribadi saya dan juga kerajaan untuk menjadikan ibu negara kita bertaraf dunia & liveability.
"Sedikit demi sedikit kita tukar wajah bandaraya Kuala Lumpur. Kalau dahulunya sesak, kini ada pengangkutan bertaraf dunia seperti MRT, LRT, High Speed Rail, TRX Bandar Malaysia.
"Cuba bayangkan dalam tempoh lima hingga enam tahun, bandaraya Kuala Lumpur akan sebaris dengan bandar terkemuka lain."
Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata ROL dan Kolam Biru yang bakal mengubah kualiti air sungai utama di Lembah Klang daripada tahap tidak selamat kepada tahap selamat untuk kegunaan rekreasi.
Najib menjelaskan, idea ROL tercetus apabila beliau tertarik melihat kebersihan dan projek pengindahan sungai ketika lawatan ke Stockholm, Sweden.
"Bayangkan, ikan trout pun boleh hidup dalam sungai di situ. Kita pun boleh buat, ia tidak mustahil jika kita mampu membersihkan dan mengindahkan lapan sungai sepanjang 110km yang dijangka siap pada 2020.
"Harus diingat, kawasan ini adalah kawasan kelahiran untuk segala-galanya yang berada di Kuala Lumpur. Ia sangat bersejarah. Kerana itu kita perlukan ROL, katanya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata usaha untuk mengekalkan keindahan kawasan ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk penguatkuasaan yang tegas dan berterusan serta penglibatan orang ramai dan pemilik bangunan persekitaran.
Jelasnya, kawasan ini juga mampu menarik pelancong dan menjadi ikon baharu industri pelancongan dilengkapi kemudahan tempat makan, istirehat, kebudayaan, kesenian dan lain-lain lagi.
"Jika ada tarikan lain, ada buskers, pelukis, kafe, kita boleh menikmati spaghetti atau char kue tiow untuk supper. Saya percaya ini semua boleh menjadi produk pelancongan, " tambahnya.
ROL yang dilancarkan pada 2011 itu adalah projek permulaan di bawah Greater Kuala Lumpur dan bakal mengangkat martabat Kuala Lumpur sebagai bandar bertaraf dunia.
Ia bertujuan menghidupkan semula sungai Klang dan Gombak dalam bandar, mengubahnya sebagai kawasan yang berkembang maju dengan nilai ekonomi dan komersial melalui pembersihan sungai, pengindahan sungai dan pembangunan tanah.