Kolaborasi NGO, anak muda mampu tingkatkan jumlah pelancong

Bernama
Oktober 13, 2019 04:36 MYT
Syed Saddiq berkata Peta Teroka Muar yang menjadi inisiatif Kelab Belia Sahabat Muar itu memaparkan warisan, makanan dan lokasi menarik di Muar. - Gambar fail
Kolaborasi antara Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan golongan anak muda yang terus dipertingkatkan dalam usaha menambah baik aktiviti dan program di sesebuah kawasan mampu menyerlahkan keunikan dan merancakkan lagi kedatangan pelancong.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, melalui kolaborasi itu, idea-idea segar, kreatif dan baharu dapat dihasilkan bersama sekali gus memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk setempat, malah kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
"Misalnya di Muar, banyak tempat menarik dan berpotensi untuk diterokai pengunjung meliputi bangunan bersejarah, alam semulajadi dan kawasan riadah, manakala golongan muda gemar menggunakan QR Code untuk mendapatkan maklumat dengan pantas dan NGO berkaitan pula boleh berkongsi pandangan.
"Dengan kerjasama ini saya yakin idea yang bernas dan bermanfaat untuk masyarakat dalam menarik pelancong ke kawasan itu akan dapat dihasilkan," katanya kepada Bernama selepas melancarkan Peta Teroka Muar di sini, pada Ahad.
Syed Saddiq, yang juga Ahli Parlimen Muar, berkata Peta Teroka Muar yang menjadi inisiatif Kelab Belia Sahabat Muar itu memaparkan warisan, makanan dan lokasi menarik di Muar yang turut dikenali sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja.
Antara lokasi menarik yang terdapat di peta berkenaan ialah Bukit Mor, Pantai Leka, Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Dataran Tanjung Emas dan Jambatan Sultan Ismail.
"Melalui Peta Teroka Muar ini ia dapat memudahkan pelancong dalam membantu mencari destinasi atau tempat makan yang sesuai kepada mereka kerana peta ini mengumpulkan lokasi popular yang menjadi tumpuan pelancong ke Muar dari dalam dan luar negara.
"Kita berterima kasih kepada Kelab Belia Sahabat Muar atas usaha ini yang dapat menyerlahkan keunikan Muar kepada semua dan akhirnya mereka dapat lihat sekali gus berkongsikan kisah-kisah menarik kawasan ini kepada orang ramai," katanya.
-- BERNAMA
#Belia #kedatangan pelancong #lokasi menarik #makanan #Muar #NGO #orang muda #pelancong #Peta Teroka Muar #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #tarikan setempat #Warisan
;