Kolaborasi DNB-Shopee promosi manfaat 5G, digitalisasi dalam sektor PMKS

Pia Ernadya
Jun 7, 2024 18:00 MYT
Gobind berkata, penggunaan 5G membawa kepada pengalaman jualan dan pembelian yang lebih baik bagi komuniti dan penggiat PMKS. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) memainkan peranan penting khususnya dalam ekonomi negara, dengan menyerap 7.6 juta pekerja dan menyumbang kepada 38 peratus, atau kira-kira RM580 billion, kepada produk domestik kasar (GDP) negara, menurut Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Jelas beliau, seiring kemajuan teknologi yang pantas dan perubahan landskap pasaran, perusahaan runcit negara perlu berdaya saing dengan memanfaatkan kelebihan 5G dan digitalisasi.
"Seperti yang disebutkan oleh DBN sebelum ini, rangkaian 5G Malaysia kini meliputi 81.5% kawasan berpenduduk. Rangkaian kita diiktiraf secara global sebagai salah satu yang terbaik di rantau ini dan di persada dunia. Malah, 5G juga membantuk meningkatkan pengalaman internet mudah alih secara keseluruhan bagi rakyat Malaysia.
"Bagi PMKS, penggunaan 5G membawa kepada pengalaman jualan dan pembelian yang lebih baik. Sebagai balasan, ia memastikan kepuasan pelanggan yang lebih baik dan pulangan kewangan yang lebih besar bagi penjual," ujar beliau.
Gobind berkata demikian sewaktu melancarkan kolaborasi antara Digital Nasional Bhd (DNB) dan Shopee Malaysia, di ibu negara, hari ini.
Menurut beliau, kolaborasi itu akan melihat penjual dalam sektor PMKS memanfaatkan keupayaan 5G dan membolehkan pengalaman membeli-belah yang lebih lancar.
Tambahnya, usahawan e-dagang di Malaysia tidak kira besar atau kecil harus mengambil kesempatan dari trend berkenaan dan sentiasa kekal kompetitif terutamanya dengan teknologi yang semakin pesat dalam pasaran.
Ujarnya lagi, platform e-dagang dan penjual menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang corak pembelian pelanggan dan dengan menggunakan algoritma yang canggih, AI membantu perniagaan memahami tingkah laku pembelian pelanggan, menetapkan ramalan permintaan, mengoptimumkan strategi penetapan harga, dan meningkatkan pengurusan inventori, katanya.
#DNB #Shopee #pengusaha #perusahaan #PMKS #digital #5G
;