Kod QR di BSI dilaksana dua minggu lagi

Sinar Harian
Jun 3, 2024 12:10 MYT
Pemeriksaan imigresen menggunakan kod QR di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dijangka mula beroperasi dalam tempoh dua minggu lagi. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Pemeriksaan imigresen menggunakan kod QR bagi aplikasi MyRentas di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dekat sini, dijangka mula beroperasi dalam tempoh dua minggu akan datang.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, buat masa ini, penggunaan kod QR bagi pemeriksaan Jabatan Imigresen hanya digunakan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bagi Laluan Kedua Malaysia-Singapura.
"Kod QR bermula di KSAB pada 1 Jun, warganegara Malaysia menaiki bas dan motosikal melakukan pendaftaran MyTRIP yang terdapat dalam aplikasi MySejahtera.
"Namun begitu, di BSI membabitkan laluan Tambak Johor, vendor masih lagi melengkapkan aplikasi MyRentas dan dijangka akan dapat digunakan dua minggu lagi," katanya ketika ditemui di Jalan Sultan Abdul Samad di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Mohamad Fazli berharap pengembara antara dua negara Malaysia dan Singapura dapat mencuba dan memuat naik aplikasi yang dibangunkan bagi penggunaan kod QR.
"Setakat ini, berjalan lancar di KSAB, belum ada apa-apa masalah termasuk isu teknikal yang ketara.
"Kita harapkan semua pengembara dapat mencuba dan memberikan maklum balas terhadap inisiatif terbabit yang merupakan usaha kerajaan dalam menangani kesesakan di dua pintu masuk iaitu BSI dan KSAB," ujarnya.
Sebelum itu, pelaksanaan pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen Johor menggunakan kod QR di pintu masuk KSAB yang bermula pada Sabtu dilaporkan berjalan lancar dan mendapat maklum balas positif.
Pada 28 Mei lalu, kerajaan dilaporkan memuktamadkan penggunaan Kod Respons Pantas (QR) bagi pelepasan imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin BSI dan KSAB Johor selepas tempoh tiga bulan percubaan fasa pertama selesai dilaksana.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, fasa pertama Sistem Kod QR itu yang melibatkan warganegara Malaysia di BSI dan KSAB bagi mod perjalanan bas dan motosikal mula dilaksana bermula 1 Jun. - Sinar Harian
#kod QR #sempadan Singapura #Tambak Johor #Sempadan Negara
;