Kod Kandungan ditambah baik libatkan lapan isu utama - CMCF
Bernama
Jun 14, 2022 08:17 MYT
Jun 14, 2022 08:17 MYT
KUALA LUMPUR: Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) telah menambah baik Kod Kandungan, meliputi semakan piawaian dan amalan terbaik berkaitan kandungan elektronik khususnya berhubung pengiklanan serta implikasi lebih luas untuk pelbagai lapisan masyarakat.
CMCF dalam kenyataan semalam memaklumkan penambahbaikan itu melibatkan lapan isu utama iaitu hak kanak-kanak dalam pengiklanan; hak Orang Kurang Upaya (OKU), dan pelaporan beretika bagi kes bunuh diri.
Isu lain adalah menangani penyalahgunaan agama dalam iklan; larangan terhadap penyalahgunaan dalam talian dan keganasan berasaskan jantina; menangani kandungan palsu dan kesannya kepada masyarakat; memastikan pempengaruh dan e-dagang merujuk kepada garis panduan pengiklanan dan memastikan iklan dikenal pasti oleh pempengaruh dan ruang berbayar dalam berita.
Pengarah Eksekutif CMCF Mediha Mahmood dalam kenyataan berkenaan berkata kod yang diubah suai itu atau Kod Kandungan 2022, terhasil melalui maklum balas daripada orang ramai yang membantu CMCF untuk mengenal pasti beberapa isu baharu yang perlu diketengahkan.
"Ini termasuk keperluan untuk meningkatkan kebolehcapaian kandungan untuk OKU, mengekang penyalahgunaan agama dalam pengiklanan dan memastikan bahawa pempengaruh mematuhi piawaian yang sama seperti pengiklan yang lain," katanya.
Sementara itu Pengerusi CMCF Kenny Ong dalam kenyataan yang sama berkata Kod Kandungan baharu yang dikemas kini itu tepat pada masanya kerana semua pencipta kandungan mendapat manfaat besar daripada mengawal selia kendiri kandungan mereka berpandukan Kod Kandungan 2022 yang lebih komprehensif.
Kod Kandungan ditubuhkan pada 2004 dan merupakan satu set garis panduan menggariskan amalan terbaik dan piawaian etika untuk penciptaan dan penyusunan kandungan disediakan CMCF di bawah naungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Dalam kenyataan sama, MCMC memuji inisiatif CMCF dalam melaksanakan peranannya sebagai organisasi kawal selia kendiri dan forum industri yang ditetapkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM98).
"Ini selaras dengan visi MCMC untuk mewujudkan industri yang berdaya saing, cekap dan lebih cenderung untuk mengamalkan kawal selia kendiri agar sentiasa berada di hadapan perubahan zaman.
"MCMC berharap terdapat kesedaran yang lebih tinggi tentang kawal selia kendiri melalui Kod Kandungan kerana ia juga digunakan sebagai rujukan untuk tafsiran kesalahan di bawah Seksyen 211 dan Seksyen 233 AKM98," menurut suruhanjaya itu.
AKM98 merujuk kepada kandungan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dan Kod Kandungan memberikan pemahaman lebih baik tentang maksud unsur-unsur ini.
Sebagai contoh di bawah Kod Kandungan 2022, perkongsian berita yang tidak bertanggungjawab dan tidak beretika berkaitan kes bunuh diri akan dianggap sebagai 'mengancam' kerana ia menimbulkan risiko penularan bunuh diri.
Kod Kandungan 2022 telah didaftarkan secara rasmi dan berkuat kuasa pada 9 Jun lepas dan boleh didapati di https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/registers/Content-Code-2022.pdf .
-- BERNAMA
#CMCF
#Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia
#Kod Kandungan
#semakan piawaian dan amalan terbaik