Kod Etika Wartawan tidak akan sekat kebebasan bersuara media - Fahmi
Irwan Muhammad Zain
Februari 20, 2024 12:15 MYT
Februari 20, 2024 12:15 MYT
PUTRAJAYA: Kod Etika Wartawan Malaysia yang dilancarkan hari ini tidak akan mengongkong dan menyekat kebebasan bersuara media, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Sebaliknya, Fahmi berkata, kod etika yang telah diwujudkan sejak 1989 itu ditambah baik untuk menyesuaikan dengan keperluan semasa dunia kewartawan dan seiring dengan perkembangan teknologi.
“Kalau kita tidak mendepani zaman maka kita akan dibelakangi. Dengan ada kod etika ini prinsip kebebasan bersuara itu memang kita akan pertahankan dan ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tapi dalam masa sama perku ada satu peningkatan kesedaran dan kemahiran dalam kalangan wartawan untuk mendepani zaman termasuk media sosial dan AI (Kcederdasan Buatan),” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia.
Sementara itu, dalam ucapannya, Fahmi berkata, Kod Etika Wartawan Malaysia akan terus memacu media di Malaysia sebagai sumber dipercayai rakyat dalam memberi maklumat tepat dan sahih mengenai keadaan semasa negara.
"Pihak media berperanan penting sebagai mata dan telinga yang boleh dipercayai dalam memberikan maklumat tepat dan sahih tentang keadaan semasa negara. Kod etika ini akan terus memacu media di Malaysia sebagai sumber yang dipercayai rakyat," katanya.
Fahmi berkata, Kod Etika Wartawan versi baharu itu sudah dimurnikan dengan pembabitan wakil wartawan serta organisasi media dan mengambil kira peranan pengamal media tanpa mengganggu gugat, mengongkong atau menyekat kebebasan bersuara wartawan dalam membuat pelaporan.
"Namun demikian, tidak ada kebebasan yang mutlak bagi mana-mana individu atau organisasi untuk membuat kenyataan yang tidak benar. Dalam konteks ini, undang-undang sedia ada memadai untuk memastikan ketenteraman awam tidak terancam," katanya.
Beliau dalam masa sama mengingatkan wartawan dan organisasi media untuk bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat yang sahih kerana mereka juga berperanan menyuburkan kemakmuran serta keharmonian yang didukung melalui nilai Malaysia MADANI.
Kod Etika Wartawan Malaysia yang juga inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu menggarap lapan etika utama.
Lapan etika berkenaan adalah wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk; wartawan hendaklah telus dan berintegriti; dan wartawan digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi.
Etika lain adalah pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi; kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.
Selain itu, wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka, dan wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.
JaPen berkata, kod berkenaan turut digunakan sebagai sumber rujukan bagi pengurusan Kad Perakuan Media (KPM) JaPen.
KPM adalah dokumen pengenalan diri pengamal media daripada agensi media yang diperakukan oleh kerajaan bagi memudahkan urusan liputan acara rasmi.
Etika Kewartawanan Malaysia yang diterbitkan oleh Malaysian Press Institute (MPI) pada 1989 menjadi rujukan utama JaPen bagi pengurusan KPM JaPen sebelum ini.