Kod Etika Wartawan Malaysia tegakkan hak masyarakat dapat maklumat sahih - MPI

Bernama
Februari 20, 2024 16:05 MYT
Kod Etika Wartawan Malaysia menetapkan prinsip-prinsip asas yang seharusnya membimbing perlakuan semua pengamal media tanpa mengira platform selain memerihalkan tanggungjawab wartawan sebagai suara rakyat. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Kod Etika Wartawan Malaysia tidak hanya memelihara kredibiliti dan integriti media, malah menegakkan hak masyarakat mendapat maklumat yang dipercayai dan sahih, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Mustapa Omar.
Beliau berkata Kod Etika Wartawan Malaysia menetapkan prinsip-prinsip asas yang seharusnya membimbing perlakuan semua pengamal media tanpa mengira platform selain memerihalkan tanggungjawab wartawan sebagai suara rakyat.
Selari dengan perkembangan teknologi semasa, Kod Etika Wartawan Malaysia turut dilihat sebagai satu panduan kepada wartawan untuk mendepani cabaran teknologi dalam kerjaya mereka.
"Antara tanggungjawab yang diutamakan oleh wartawan ialah laporan berita secara seimbang, adil, berkredibiliti, jujur serta menghormati kerahsiaan sumber," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kod Etika Wartawan Malaysia oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di sini hari ini.
Kod etika berkenaan menggarap lapan etika utama iaitu wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk, wartawan hendaklah telus dan berintegriti, dan wartawan digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi.
Etika lain adalah pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi, kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.
Selain itu, wartawan perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka dan wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.
Sementara itu, Mustapa berkata wartawan juga hendaklah memegang nilai-nilai tinggi iaitu ketelusan, integriti dan keadilan dalam melaksanakan tugas mereka.
"Kepentingan awam harus dikedepankan dalam setiap pemberitaan, dan kepatuhan terhadap undang-undang harus diutamakan.
"Dengan memegang teguh nilai-nilai ini, wartawan dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan telus dan seimbang," katanya.
-- BERNAMA
#kod etika wartawan malaysia #Mustapa Omar #Fahmi Fadzil #berita palsu
;