Kod etika Pemilihan UMNO tidak munasabah - Shahrir

Bernama
Oktober 5, 2013 18:26 MYT
Penyandang Ketua UMNO Bahagian Johor Baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad hari ini menyifatkan kod etika pemilihan UMNO kali ini sebagai tidak munasabah kerana menyukarkan calon untuk berkempen.
Anggota Parlimen Johor Baharu itu berkata sebagai orang yang menawarkan diri, maka, setiap calon yang bertanding perlu diberi ruang seluasnya supaya mereka berpeluang menyuarakan hasrat dan bukan sekadar terbatas pada sesi pengenalan calon.
"Saya berasa pelik dan tidak munasabah kerana pada pandangan saya peluang berkempen harus dibuka seluas-luasnya.
"Ini kerana sesi pengenalan calon hanya sebagai acara rasmi untuk memperkenalkan diri kepada perwakilan," katanya selepas menghadiri sesi taklimat dan pengenalan calon UMNO Bahagian Johor Baharu, di sini, hari ini.
Shahrir berkata beliau yakin masalah politik wang juga tidak akan timbul sekiranya calon diberikan peluang berkempen memandangkan bukan mudah menyogok wang kepada perwakilan yang begitu ramai pada pemilihan kali ini.
"Kita mahu pertandingan yang sihat. Tidak perlu takut soal politik wang kerana kita ada Lembaga Disiplin parti yang boleh mengambil tindakan dan saya ingat bukan mudah juga hendak jumpa kira-kira 150,000 perwakilan yang ada," katanya.
Beliau mengulas beberapa larangan ketika berkempen termasuk semua calon di peringkat bahagian atau pusat dilarang berkempen bersendirian sebaliknya hanya dibenarkan memperkenalkan diri pada majlis rasmi anjuran Badan Perhubungan UMNO negeri.
Shahrir akan ditentang Ketua UMNO Cawangan Jalan Utama, Kampung Melayu Zulkifli Ismail dan Ketua UMNO Cawangan Taman Suria Datuk Ahmad Kemin pada pemilihan kali ini.
Mengenai pemilihan di Bahagian Johor Baharu, beliau berkata seramai 646 perwakilan daripada 83 cawangan dalam bahagian terbabit akan membuat pemilihan bagi menentukan kepimpinan parti.
Katanya pemilihan pada peringkat cawangan sebelum ini menyaksikan hampir 30 peratus berlaku peralihan kepimpinan yang sekaligus membuktikan UMNO sebagai masih 'sihat' dan 'kuat' serta terus mendapat sambutan golongan muda.
#Johor Baharu #Pemilihan UMNO #Shahrir Abdul Samad #UMNO
;