Koc tren LRT khas 'Cerita Malaysiaku' rai Hari Malaysia

Madiha Abdullah
September 13, 2023 21:01 MYT
Tren Cerita Malaysiaku dihiasi dengan visual yang memaparkan Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum dan budaya. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengambil inisiatif melancarkan koc khas tren LRT bagi Laluan Kelana Jaya.
Tren ‘Cerita Malaysiaku’ dibalut khas dan dihiasi dengan visual yang memaparkan Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum dan budaya.
"Ini selaras dengan usaha kita sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
"Saya harap di masa depan kita dapat hias lebih banyak koc bagi LRT dan MRT untuk menyemarakkan lagi rasa kasih sayang kepada negara," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran tren khas ‘Cerita Malaysiaku’ dari Stesen Universiti ke Stesen KLCC, pada Rabu.
Inisiatif tren ‘Cerita Malaysiaku’ ini tercetus sebagai penghargaan serta berkongsi fakta dan maklumat berkaitan negara agar ianya sentiasa diperingati.
Laluan Kelana Jaya yang merupakan laluan dengan jumlah penumpang tertinggi serta jajaran yang melalui kawasan berkepadatan tinggi termasuk segitiga emas Kuala Lumpur, dipilih sebagai platform untuk inisiatif ini.
Orang ramai dapat melihat keunikan tema tren yang berbeza bagi setiap koc seperti Rukun Negara, Negaraku, kebudayaan, perayaan, kepelbagaian makanan, tempat-tempat menarik dan juga sejarah pengangkutan awam di Malaysia.
Pengguna yang menaiki tren ‘Cerita Malaysiaku’ akan disajikan dengan pelbagai maklumat yang menarik di sepanjang perjalanan untuk ke destinasi yang ingin ditujui.
#LRT #Hari Malaysia #prasarana #Fahmi Fadzil
;