KMC hentikan semua operasi kecuali untuk haemodialisis

Bernama
September 10, 2020 20:49 MYT
Pada Selasa, dilaporkan 18 kakitangan KMC dan tujuh anggota keluarga mereka telah diuji positif COVID-19. - Gambar fail
Kedah Medical Center (KMC) akan menghentikan kesemua operasinya kecuali untuk perkhidmatan haemodialysis sehingga satu tempoh kelak, bagi tindakan pemantauan, pembersihan dan sanitasi fasilitinya.
Pengarah Perubatan KMC Datuk Dr Kamaruzaman Ali dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, hospital itu membuat keputusan tersebut bagi memastikan keselamatan semua pihak berkepentingan, terutamanya pesakit dan kakitangan.
"Penutupan hospital ini merupakan satu lagi fasa dalam usaha kami untuk melindungi orang ramai," katanya.
Pada Selasa, dilaporkan 18 kakitangan KMC dan tujuh anggota keluarga mereka telah diuji positif COVID-19. Mereka termasuk dalam Kluster Sungai.
Hospital itu telah bertindak menutup perkhidmatan pesakit luar dan dalam selama tiga hari bermula Selasa untuk proses pembersihan dan pensanitasian.
Terdahulu pada Khamis, kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kota Setar bermula 12.01 tengah malam sehingga 25 Sept.
-- BERNAMA
#COVID-19 #kakitangan KMC #Kedah #Kedah Medical Center #keluarga #keselamatan #Kluster Sungai #KMC #koronavirus #operasi #perintah kawalan pergerakan #perubatan #PKPD #sanitasi