KM52.4 Lebuhraya KL-Karak dijangka tutup sehingga Sabtu ini - Polis

Bernama
November 12, 2015 13:09 MYT
Semua lorong di KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dijangka ditutup sehingga Sabtu ini bagi kerja-kerja pembersihan banjir lumpur. -Foto Astro AWANI
Semua lorong di KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dijangka ditutup sehingga Sabtu ini bagi kerja-kerja pembersihan banjir lumpur.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan cuaca dan pengesahan pakar cerun.
"Sekiranya berlaku banjir lumpur kali kedua, kami terpaksa lanjutkan tempoh penutupan lebuh raya berkenaan.
Penutupan dibuat sehingga kerja-kerja pembersihan diselesaikan sepenuhnya," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Mansor berharap semua pengguna jalan raya dapat bersabar dan menggunakan laluan alternatif yang disediakan.
Kejadian banjir lumpur berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada 6.30 petang semalam menyebabkan sebahagian lebuh raya dari kedua-dua arah tidak boleh dilalui.
Kejadian itu menyebabkan tiga kenderaan persendirian dan sebuah lori angkut terkandas di kawasan itu.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
#banjir lumpur #Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak #Mansor Mohd Nor