KM Sarawak dan isteri hadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina secara maya
Astro Awani
Februari 12, 2021 14:32 MYT
Februari 12, 2021 14:32 MYT
KUCHING: Prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang tidak membenarkan penganjuran rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina bukan penghalang untuk sambutan itu diraikan secara maya.
Tidak terkecuali, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang berkesempatan menyertai rumah terbuka perayaaan itu.
Beliau dan isteri, Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang beramah mesra dalam keadaan norma baharu bersama masyarakat Tiong Hua di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina dianjurkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pagi ini.
Dalam ucapannya ringkasnya, Abang Johari menyeru agar rakyat Sarawak dan masyarakat Tiong Hua menjaga perpaduan dan bersama-sama mengekang penularan COVID-19.
"Apa yang paling penting adalah untuk menitikberatkan nilai perpaduan antara kita, dan kita memiliki sebuah polisi yang baik untuk berdepan pandemik ini.
"Ini juga bermakna polisi ekonomi kita mempunyai struktur yang sangat stabil dan berupaya mengembalikan serta memacu ekonomi selepas pandemik berakhir," katanya.
Selain itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinannya sentiasa menjaga kebajikan rakyat dari aspek ekonomi dan kesihatan.
Mengambil contoh Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS), katanya, ia adalah usaha kerajaan untuk membantu rakyat terkesan akibat pandemik itu.
"Malah Sarawak turut menggunakan secara optimum kuasa negeri dalam menentukan keputusan berkaitan kesihatan awam menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sepanjang tempoh pandemik," tambahnya.
Sementara itu, Abang Johari dan Juma'ani turut melakukan Yee Sang secara maya sebagai simbolik perayaan tersebut.
Yang hadir sama dalam sambutan secara virtual itu adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk Wee Hong Seng.
#Tahun Baharu Cina
#Abang Johari Tun Openg
#Jumaani Tuanku Bujang
#rumah terbuka secara maya
#Sarawak
#Rumah Terbuka SUPP
#Rumah terbuka Tahun Baharu Cina
#Kuching
#Parti Rakyat Bersatu Sarawak