KM Pulau Pinang nasihat pelancong patuhi SOP
Bernama
Januari 28, 2022 04:00 MYT
Januari 28, 2022 04:00 MYT
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menasihati orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apaila berkunjung ke pusat tarikan pelancong dan rumah sanak-saudara terutama ketika perayaan Tahun Baharu Cina di negeri itu.
Beliau berkata susulan penularan varian Omicron dan jumlah kes yang disahkan terus meningkat, semua orang perlu mematuhi SOP, menjaga penjarakan fizikal, melakukan ujian kendiri dan isolasi jika perlu.
"Kami berharap pelbagai sektor termasuk pelancongan dapat dibuka secara beransur-ansur supaya pelancong asing turut menghayati keindahan Pulau Pinang.
"Apapun, segala-galanya bergantung kepada usaha semua orang," katanya pada Upacara Menyalakan Lampu di Tokong Kek Lok Si di sini pada Jumaat.
Chow juga berkata meskipun Malaysia telah memasuki fasa keempat Pelan Pemulihan Negara, dengan majoriti penduduk telah divaksinasi, orang ramai mesti terus berwaspada.
-- BERNAMA