KLWBC2020: Muzik perpaduan Andy Flop Poppy

Zainal Rashid Ahmad
September 21, 2020 10:30 MYT
Andy percaya, muzik memiliki aura bagi membina personaliti yang positif. - Gambar Andy Floppy
*(CATATAN Mei 2019 di Garasi Republik).
Melepak dengan Andy (Megat Effendy Zakaria) pada malam minggu pada Mei/Ramadan 2019, antara momen menyeronokkan.
Kami bergebang lepas tengah malam sambil menanti detik bersahur; berbual naratif baharu muzik kontemporari.
Andy sudah 25 tahun melalui kehidupan havoc dalam dunia muzik sebagai bintang pop bersama band Flop Poppy.
Cuma, sejak sedekad lalu, anak jati Cheras ini memilih tidak terlalu berdiri dalam limelight dunia glamor.
Pada usia 48 tahun, Andy lebih komited dengan elemen religus dan muzik marhaen.
Mengisi naratif seni baharunya, pada tahun 2018 - Andy aktif mengendalikan projek muzik multi bangsa dan agama di Kota Damansara.
Aktiviti sosial ini dilakukan secara eksperimental. Niatnya, untuk mencari formula menjadikan kelas muzik sebagai medium perpaduan kaum.
"Kelas muzik ini disertai remaja pelbagai agama. Tujuannya membina komunikasi tanpa prasangka kaum dan agama.
"Aku risau sekarang, politik kaum bakal jadi masalah besar pada remaja," katanya.
Andy sudah lama tidak muncul di pentas kelas A. Minatnya cenderung menjadikan gitar dan muzik sebagai 'happy hour' membangunkan nilai insan dan keharmonian berinteraksi dalam kalangan remaja.
Di kota Damansara pada waktu itu, kelas muziknya menyatukan remaja dengan nuansa penyatuan kaum.
Selain memilih remaja berbeza agama, kelas ini turut menerima remaja bermasalah dalam perhubungan sosial.
"Ada yang degil dan sudah nampak ciri keganasan. Ada pelajar nakal yang main tampar saja kepala remaja lain. Membuli sesuka jati. Aku dah nampak, kalau tak jaga, budak ini boleh jadi gengster," kata Andy.
Menangani remaja bermasalah terutama yang berwatak ganas dan 'daring' pastilah tidak mudah.
Andy percaya, muzik memiliki aura bagi membina personaliti yang positif. Andy memilih menerima kehadiran remaja jenis ini.
Malah, melayan remaja "nakal" dengan pendekatan lebih berhemah.
"Apabila bersalam, merendahkan diri supaya mereka berasa dihormati. Apabila mereka bertanya, aku jawab: itu tanda kebaikan. Kita semua suka kalau dihormati," kata Andy.
Andy bercerita; kami berbual di depan kedai bundle Garasi Republik, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru.
Itu tempat melepak kalau bertemu. Korum yang lengkap dengan rakan-rakan kasual dan marhaen. Meja plastik dan teh O menjadikan korum yang melepak berasa setaraf.
Tidak peduli sama ada artis popular sampai penjual ikan di pasar Chow Kit, status sama kerana nilainya diratakan konsep meja plastik dan teh O.
Selalunya, kalau melepak, tema perbualan hanya hal kehidupan yang iseng-iseng. Pastinya, cakap-cakap politik sangat dielakkan.
Bahaya ancaman perkauman
"Penat hidup sekarang. Isu kebencian antara kaum dan agama jadi fenomena. Malas aku nak mengadap media sosial yang jenuh dengan 'posting' politik yang menyakitkan kepala," katanya.
Andy aktif dengan jemaah tabligh. Itu bukan baru kerana sudah lebih sedekad berada dalam persekitaran usaha dakwah.
Malah, kalau memetik gitar dan menyanyi pun, Andy lebih selesa hadir di program berunsur religus. Atau, mereliguskan program nyanyiannya melalui cara persembahan.
Apabila Andy bercerita soal kelas muziknya di Kota Damansara yang bertemakan eksperimen seni demi keharmonian remaja pelbagai agama dan bangsa.
Mengapa merendah diri?
Saya bertanya semula mengenai perbuatan bersalam dan merendahkan diri di kalangan tangan pelajar nakal. Apa perlunya guru muzik bersikap begitu?
"Ada kalanya Kita kena jadi murid. Hormati remaja sebagai guru. Itu antara cara buat mereka menghargai budaya menghormati orang lain," jawabnya selamba.
Sekitar 30 tahun yang lalu, Andy memulakan kerjaya muzik pop dan menubuhkan Flop Poppy.
Tahun 1992, band pop grunge itu merakamkan single Circle of Friends.
Nama Andy, Rijie dan Megat terus meledak dalam carta muzik popular apabila lagu Cinta direlis pada 2002.
Sejak itu Flop Poppy punya legasi dan radius peminat yang tersendiri dalam industri muzik.
Andy melalui dunia glamor agak lama menerusi lagu-lagu top yang seterusnya. Flop Poppy terus mencanak popular melalui lagu "Aku & Kamu" dan "Masih".
Malah, Andy berduet dengan Misha Omar pada 2008 melalui lagu Sembunyi.
Semua itu antara pencapaian hebat Andy sebagai penyanyi. Cuma, ketika melepak dan berbual soal remaja masa kini - Andy tidak lagi bercakap mengenainya masa lalu.
Malam minggu dalam bulan Ramadan 2018 - setelah terlajak bertanya khabar mutakhirnya, saya terpaku dan mendengar mengenai projek muzik sebagai alat perpaduan.
Malah, idea Andy sangat releven; muzik dijadikan terapi sosial untuk mendidik dan melatih jiwa
berontak remaja agar menolak keganasan.
Saya juga berasa kagum kerana projek ini dilancarkan seorang bintang pop@pendakwah yang rungsing melihat benih kebencian antara kaum dan agama dibiarkan menular tanpa batas.
"Remaja akan menjadi mangsa kalau orang politik terus menyemarakkan isu kaum dan agama dengan menyemai kebencian," katanya.
Kami bersahur nasi minang. Naratif mengenai muzik padat mengisi perbualan. Topik yang sesuai kerana kawan-kawan korum penjual bundle, drebar lori, pomen kereta dan pembantu hospital semuanya sukakan muzik.
Pastinya di meja plastik dengan cawan teh o serta sambil makan nasi bungkus - soal politik dan
kerakusan kuasa tidak releven.
Korum marhaen akan mencebik bibir mendengar cerita politik, politik dan politik.
_________________________________________________________________________
* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#2020 #Andy Flop Poppy #Buku #dakwah #Dunia #Ibu Kota #KLWBC #Kuala Lumpur #muzik #penyanyi
;