KLWBC2020: Lima kumpulan cerpen terbaik perlu dibaca
Zainal Rashid Ahmad
April 3, 2020 09:09 MYT
April 3, 2020 09:09 MYT
KLWBC2020 mempromosi kempen #dudukrumahbacabuku.
Kempen ini sebagai respons membantu masyarakat mengisi waktu ketika berada di rumah.
Ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa mulai 18 Mac lalu hingga 14 April ini.
KLWBC 2020 ingin berkongsi berita baik kepada semua peminat buku.
Urusan jualan buku di ITBM berjalan seperti biasa secara maya di www.itbm.com.my.
ITBM sentiasa komited untuk membekalkan bahan bacaan terbaik kepada rakyat Malaysia.
Anda duduk di rumah, tapi tidak tahu buku apa yang terbaik untuk dibaca? Jangan risau, ITBM merumuskan lima kumpulan cerpen terbaik dan boleh dibeli secara dalam talian.
Kenapa cerita pendek?
Tentunya kerana cerpen lebih santai dan menghiburkan.
Berikut disenaraikan lima kumpulan cerpen saranan ITBM.
(1) “20 Cerita Tentang Tuhan” karya S.M Zakir
S.M Zakir sentiasa berjaya memaparkan jalan cerita yang sangat sukar diduga. Selain Ikarus, 20 Cerita Tentang Tuhan juga antara karya terbaru yang mempunyai satu ikatan tema dan makna, iaitu mencari Tuhan.
Setiap daripada kita mempunyai pengalaman dan perjalanan tersendiri dalam mencari Tuhan, dan 20 Cerita Tentang Tuhan ini telah meneroka satu relung kehambaan yang luas dan dalam.
2) “Pascasejarah” karya Fahd Razy
Minat karya fiksyen yang berlatarbelakangkan sejarah?
Pascasejarah ialah pilihan yang terbaik. Sebanyak 12 cereka di dalamnya disusun mengikut kronologi masa menjadi seminovel yang merumuskan sebuah zaman: Pascasejarah.
Buku ini mencitakan tentang bangsa homocivilis yang membina istana peradaban di atas puing-puing silam. Lalu bangsa itu jugalah yang meruntuhkannya kembali menjadi debu sejarah.
Mesejnya berputar antara pertelingkahan, keangkuhan, dan ketamakan yang telah sekian lama merosakkan tamadun kemanusiaan.
3) “Narasi, Gua dan Raqim” karya Mawar Safei
Buku ini mengandungi 10 cerpen. Ia merentasi antaranya hati anak kecil, lelaki bisu, perempuan pikun dan latar pengembaraan hujjaj di Muzdalifah dan Jamrah.
Membaca buku ini akan membuatkan kita merasa asyik sekali menikmati perjalanan cinta hamba yang membuak-buak mencari maksud dan tujuan bertuhan.
4) “Lela Rentaka” karya Syahidatul Munirah
Lela Rentaka ialah nama kepada meriam kecil yang sangat signifikan dalam dunia kepahlawanan Melayu, khususnya dalam sejarah Langkasuka.
Begitu banyak babak perit dan getir yang telah diteroka oleh penulis yang mana selama ini jarang kita ambil tahu dan peduli.
Sejarah menawarkan makna, rasa dan pengalaman berbeza. Membaca sejarah mungkin membosankan, tetapi apabila sejarah difiksyenkan, ia boleh menjadi cerita yang penuh aksi dan dramatik.
5) "Selamat Datang ke Malaywood" karya Roslan Djomel
Selamat Datang ke Malaywood menghimpunkan 18 buah cerpen yang penuh dengan magis-magis kritikan budaya, sosial dan politik.
Semua cerpennya menghapuskan sempadan antara fiksyen dan realiti, tergelincir daripada hukum logik, menjungkarbalikkan plot dan persoalan, malah bebas daripada ikatan ruang serta waktu.
Ini stail dan 'signature' unik penulis muda Roslan Jomel.
Semua buku ini boleh dibeli di gedung maya ITBM.
Pecinta buku hanya perlu klik www.itbm.com.my dan merujuk katalog.
Inilah masanya kita #dudukrumahbaca buku.
Kenali karya cerpenis hebat yang mengisi puncak sastera mutakhir Malaysia.
Selamat membaca dan patuhi arahan pihak berkuasa.
#2020
#baca
#Buku
#duduk rumah
#KLWBC
#Kuala Lumpur
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#S M Zakir
#World Book Capital