KLWBC2020: Karya Gadis Maraton

Zainal Rashid Ahmad
April 24, 2020 09:50 MYT
Bagi penulis muda Rebecca Ilham (Becky), maraton ialah dunianya yang real. Dunia tempat dia berlari - mencari dan mengejar dirinya sendiri di Tokyo dan Kyoto. - Gambar Ihsan Rebecca Ilham
GADIS Marathon (1981) antara filem arahan Chaerul Umam yang paling berjaya. Namun, yang dikenang tentulah Yenny Rachman - sebagai Bonita - gadis kampung yang memburu cita dan cintanya di trek maraton.
Bonita ketemu cintanya Anton Sudirgo (Roy Marten) dalam kisah cinta yang penuh dengan konflik dan cabaran. Filem ini berlatarkan desa Pajajaran, di Bandung.
Itu kisah cinta Bonita dalam filem.
Bagi penulis muda Rebecca Ilham (Becky), maraton ialah dunianya yang real. Dunia tempat dia berlari - mencari dan mengejar dirinya sendiri di Tokyo dan Kyoto.
Maraton ialah perkara pertama yang saya ingat tentang keanehan hidup cerpenis 'Rumah Baru Firma Besar' (Berita Harian 31 Mei 2015). Becky si gadis maraton ini hidupnya sentiasa berlari dan berlari.
Pertama kali saya bertemu gadis maraton ini ketika menghadiri Siri Kelapan Borak Buku di KL Sentral pada 18 September 2011.
Saya agak kagum kerana gadis ini seorang jurutera yang menulis sastera. Walaupun, saya selalu percaya - penarik beca juga boleh menjadi sasterawan yang hebat kalau mereka berbakat dan mahu menjadi penulis.
Becky lahir 17 Feb 1985. Saban tahun dia akan terbang berkelana dan mengitari kota demi kota di Jepun pada musim maraton.
Dia akan berlari dan berlari; mengejar bayang-bayang diri di Tokyo atau Kyoto; merentas jalanan yang hangat dan menikmati bau kopi yang harum.
Atau, dirinya terhambat pada ketampanan pria barista Jepun yang budiman ketika menyediakan secawan kopi. Gadis ini pecinta tegar kopi. Selain, kaya dengan kerajinan dan komitmen pembacaan.
Saya berhutang budi kerana ketika sudah buta pada perkembangan sastera dunia - Becky memperkenalkan nama Haruka Murakami. Novelis Jepun yang akhirnya menjadi kegilaan saya sekarang.
Sebenarnya, saya selalu prejudis pada maraton; dunia manusia yang sebenarnya hanya berlumba dan terus berlumba kerana ingin mencari diri sendiri.
Pertarungan di jalanraya satu sikap petualang demi menentang rasa kalah. Atau, memenangkan impian dan obsesi. Sebenarnya maraton hanyalah perlumbaan melawan rasa lelah dan putus asa.
Paling tidak itulah paparan filem-filem maraton. Plotnya selalu jahat dan nihil. Maraton sentiasa dijadikan simbolik pertarungan kejiwaan.
Hanya orang yang punya konflik jiwa dan obsesi emosi akan berlari di jalanan dan tega bertarung menentang diri sendiri.
Becky menjawab sinis soalan saya ketika ditanya: Apakah dia gadis galau yang menjadikan maraton sebagai ekskapism?
Saya bukan perempuan pelarian
"Maraton bukan pelarian kerana garis mula dan titik akhirnya bukanlah rahsia.
"Maraton sebuah perjalanan antara dua penanda dan boleh diibaratkan seperti kehidupan yang mempunyai naik turun," jawabnya.
Whatsapp saya yang bernada sengaja mahu mengusiknya. Dijawabnya dengan sinis dan tegas - seterusnya membuatkan saya ketawa.
"Seperti laluan maraton – ada ketikanya landai, ada ketikanya berbukit dan ada detik-detik manis, pahit, kesakitan, keriangan dan akhirnya kejayaan," jawabnya penuh penjelasan.
Sebab komunikasi temubual ini lewat Whatsapp, saya tidak dapat mengusik dengan menyakitkan hatinya seperti selalu.
Apa lagi, ketika saya tahu, beberapa waktu ini, Becky melalui masa-masa yang sukar; menjarakkan diri dari sastera dan menyepi seperti halimunan.
Becky sebenarnya gadis maraton sejati. Dia hidup dan bertarung sebagai pelarian yang nekad mahu mencari jalan menuju destinasi pilihannya.
"Saya berlatih secara tekal selama tiga bulan sebelum acara. Selepas menyertai maraton, saya akan berehat selama sebulan, sebelum kembali dan mengulangi proses yang sama," katanya.
Kata Becky, kehidupan juga serupa maraton; kejayaan tidak akan kekal lama, kita harus segera 'move on'.
"Kita harus memulakan kembali pusingan rutin kehidupan sebagai sesuatu yang normal," tulisnya.
Saya cuba bertanya mengenai 'masa-masa sukar' yang pernah dikatakan pada satu masa dulu. Betapa dia bertarung dengan segala macam kesukaran untuk kembali menulis.
Cuma, soalan saya tidak ke situ.
Saya berasa lega apabila melihat cerpen terbarunya 'Hati' tersiar di Berita Harian Ahad pada 15 September 2019 lalu.
Pada saya, itu tanda gadis pelarian maraton yang hilang di tikungan jalan, kini sudah kembali berkarya.
Dia bukan lagi halimunan yang hilang tiba-tiba.
Sukar memahami Becky, sesekali cengeng dan sesekali sangat cerdas akalnya. Sesekali menyepi, namun ada kalanya sangat ramah dan bertenaga.
Dunia seorang Becky tidak mudah diteroka. Cuma kita boleh menemukan susunan 'puzzle' yang mencantum sifat dan sikap gadis ini melalui cerpen-cerpennya.
Antologi 'Kimono Ungu Bersulam Bunga' (Ameen Book 2010) memperkenalkan Becky - ketika hari-hari awal gadis ini memulakan maratonnya dalam dunia sastera.
Namun, saya lebih obses pada kumpulan cerpen 'Hujan Hujung Januari' (2013 ITBM). Seterusnya kematangan Becky semakin menyerlah melalui antologi 'Perempuan Paling Sunyi' (2018, Nusa Centre).
Penggemar cerpen Becky akan lebih memahami personaliti kreatif dan proses fikirnya apabila membaca karya-karyanya. Kompleksiti cerpennya adakala refleksi dirinya sendiri.
Becky berpendidikan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kejuruteraan Petroleum) dari Colorado School of Mines. Maka, secara lateral dia jurutera.
Namun, jatuh cinta dalam sastera mengheretnya untuk lulus Sarjana Sastera (Kesusasteraan Melayu) dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Penulis yang hebat bukan sekadar batang cemara yang tegap dan tegak. Kata pepatah Cina - sebatang pokok bukan tanda itu hutan.
Becky, sekalipun bersimpang siur antara keberanian dan sikap ekskapismenya, sentiasa kekal tumbuh matang. Malah, sangat berkembang pencapaian kreatifnya.
Melihat rias buku 'Kimono Ungu Bersulam Bunga' - dengan mood yang suram dan misterius, serta sepuluh tahun kemudian apabila muncul kulit buku 'Perempuan Paling Sunyi' - perbezaan naratif dan idea kreatif Becky ternyata sangat berbeza.
Mood buku barunya lebih romantis dan fotogenik. Memberikan kita isyarat mengenai kesan keceriaan dalam jarak sedekad pengembaraannya sebagai penulis.
Terutama skop proses kreatifnya sebagai cerpenis. Walaupun, dirinya pengembara fizikal, dunia cerpennya statik dalam kembara emosi. Sesuai dengan imehnya sebagai Perempuan Paling Sunyi.
Sebagai gadis maraton - Becky menjelaskan pendirian hidupnya lewat karyanya. Sesuatu yang konsisten dan mempengaruhi komitmennya sebagai penulis.
"Berlari maraton adalah langkah bagi proses lain yang lebih besar, kerana saya mencari jaminan bahawa kehidupan saya tidaklah 'screw up', dan sekiranya tidak mengalah, saya pasti menyudahkannya," kata Becky.
Semangat maraton terserap dalam refleksi sikap sasteranya. Sesekali, isi cerpennya terkait dengan masa-masa sukar yang pernah diluahkannya.
Pada waktu yang lain pula, karyanya memaparkan semangat gadis maraton yang tekal mengharungi pendakian naik turun kehidupan yang mencabar.
Becky gadis maraton dan ulat buku. Dia mewakili generasinya yang mabuk dan ghairah membaca.
Malah, sentiasa optimis meneroka galeri dan rak karya sastera kontemporari. Hebatnya, dunia
pembacaan Becky tanpa sempadan.
Generasi Becky tidak lagi bergulat dengan tema dan idea klasik. Karya kuno yang percaya pada tema yang muluk-muluk.
Becky mewakili generasi yang tidak senang dengan metod berbau doktrin dan ideologi. Idea atau tema yang memperlekehkan generasi pembaca masa kini
Mereka tidak lagi ditepukan karya Kafka atau falsafah bingung Jean Paul Satre atau Betrand Russel.
Becky sudah melepasi ketaasuban pada cedukan dan pencerapan pemikir-pemikir lampau. Sindrom yang selalu dialami penulis muda yang mengalami krisis keyakinan diri.
Becky tidak betah bersembunyi di balik tempelan hujah-hujah pemikir besar untuk sekadar menampakkan dirinya pintar.
Tiga buku pilihan Becky
Becky! Apa tiga buku paling mempesonakan anda sebagai pembaca?
"Buku pertama paling mempengaruhi tentunya 'Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu' tulisan Syed Muhammad Naquib Al-Attas," jawab Berky.
Katanya, dalam konteks kepengarangan, buku Syed Naquib menjawab pelbagai persoalan dan mengukuhkan keyakinannya terhadap Bahasa dan Kesusasteraan Melayu.
Buku kedua paling mempengaruhi Becky, ialah 'Naratif Ogonshoto' karya Sasterawan Negara, Datuk Anwar Ridhwan.
"Naratif Ogonshoto ringkas, bahasanya ekonomis, tetapi pengisiannya mendalam," kata Becky.
Kata Becky, Naratif Ogonshoto menepati kata-kata Jack Keroauc, pengarang Beat Generation dari Amerika Syarikat: “One day I will find the right words, and they will be simple.”
Anwar Ridhwan, kata Becky, berjaya membina pengucapan yang disarankan Keroauc.
"Buku ketiga ialah 'The Unbearable Lightness of Being' karya Milan Kundera.
"Novel ini mengajar saya bahawa pemikiran tidak perlu disyarahkan, tetapi diceritakan. Namun, kemahiran itu tentunya tidak hadir dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan pembacaan pengalaman, pengamatan, dan proses praktikal," jelasnya.
Becky tidak suka politik!
Saya bertanya mengenai siri cerpennya yang bertajuk 'Rumah'.
Apakah Becky memprotes isu politik?
"Saya sebenarnya tidak mahu menulis siri Rumah. Saya tidak suka politik dan tidak pernah melihat diri saya mampu menulis mengenainya.
"Namun, pengarang juga tidak boleh menolak desakan dari dalam yang mendorongnya menghasilkan sesuatu yang pada mulanya tidak ingin disentuh," balasnya.
Pada Becky, sastera cerminan kebenaran dan aspek sosial antara pancaran realitinya. Sastera itu indah dan ciri keindahan utamanya adalah menyatakan kebenaran.
"Saya menulis siri Rumah sebagai protes apabila kebenaran sering dimanipulasikan oleh politik," jawab Becky.
Mengenai karya kontemporari dunia, Becky melihat, aspek eksperimental masih satu kecenderungan utama penulis.
"Terdapat keghairahan bereksperimen pada bentuk dan pengucapan, tetapi pengisian masih tetap sama," jelasnya.
Semua realiti ini, kata Becky, berkaitan dengan perkembangan yang merakamkan 'zeitgeist' zaman.
Namun pengucapan itu, katanya, masih perlu puitis dan memberi makna yang tepat kepada pengisian yang dibawa.
Saya sarankan anda membaca tiga kumpulan cerpen Becky.
1. Kimono Ungu Bersulam Bunga (Ameen Book 2010)
2. Hujan Hujung Januari' (ITBM 2013)
3. 'Perempuan Paling Sunyi' (Nusa Centre 2018).
Pasti anda ketemu pelbagai konflik diri, nuansa kemarahan, zon kelembutan dan radius kasih-sayang.
Ini kerana penulisnya adalah gadis maraton bernama Rebecca Ilham.
Becky menerima pelbagai hadiah kesusasteraan nasional. Dipilih mewakili Malaysia ke Bengkel Penulisan Cerpen Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) di Bandung, Indonesia pada 2013.
Becky kini bertugas sebagai pembantu kurator di sebuah galeri seni Kuala Lumpur.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Bonita #Buku #Hujan Hujung Januari #Kimono Ungu Bersulam Bunga #KLWBC2020 #Kolumnis AWANI #maraton #penulis #Perempuan Paling Sunyi #Rebecca Ilham
;