KLWBC 2020: Zine - Karim & Jasad
Zainal Rashid Ahmad
Julai 6, 2020 09:11 MYT
Julai 6, 2020 09:11 MYT
SAYA selalu kagum pada anak muda sastera yang berjiwa luar biasa. Sama ada bakat atau semangatnya.
Mencari yang bersemangat dan berbakat agak terbatas. Sebab yang bersepah hanya yang "berkati-kati" bongkak dan bengkak otaknya.
Sastera pada tiap zaman akan sentiasa melahirkan anak muda yang "sombong berkoyan" dan selalu "merayan dan meroyan". Ini memang kluster sumpahan sejak sekian lama.
Apabila melihat anak muda yang berbakat dan bersemangat - kita berasa lega. Ertinya, kita sedang melihat masa depan sastera itu sendiri.
Asas bagi masa depan sastera sepenuhnya tergambar pada sikap dan mentaliti anak muda yang menggelutinya pada hari ini.
Membaca karya bermutu daripada anak muda menyebabkan jiwa berasa bangga; terkesima dan berdebar kerana adrenalin rasa bangga terhadap kebolehan dan kehebatan mereka.
Apabila mendengar pandangan bijak anak muda dalam sastera hari ini - ia turut memberikan kita (yang tua ini) suntikan tenaga dalam menikmati keberadaan dan kewujudan dunia sastera.
*Sengat dan semangat anak muda
Melihat ikhtiar anak muda melakukan usaha berkarya dan menghasilkan yang terbaik untuk sastera - antara yang akan memanjangkan doa kita. Semoga Allah memberkati dan memberikati usaha anak-anak muda.
Sebab jumlahnya hanya sekerat dua saja yang ada. Siapa lagi harapan kita demi masa depan sastera kalau bukan anak muda?
Walaupun dalam banyak hal ada banyak perkara yang kita tidak bersetuju dengan idea dan pandangan mereka, tetapi kita meraikan dengan gembira.
Kita berbangga kerana memiliki caravan anak muda yang berani dan secara semula jadi sedang menuju halaan berbeza.
Itu tanda sastera sedang hidup dan doktrin lapuk akan menemui titik melemah pada setiap dekad baharu.
Keberanian menyatakan perbezaan sangat semakin ketara pagi generasi muda terutama pada dekad terkini ini.
Koloni dan caravan ini bukan saja berani menjadi tidak sama dengan kelapukan mentaliti lama, malah tegar untuk berani melaungkan perbezaan pandangan mereka.
Saya fikir pada sedekad mutakhir ini - antara dekad terbaik dalam melihat kualiti karya dan kualiti minda anak muda kita dalam sastera Malaysia.
Saya masih mengejar bacaan karya Johan Radzi walaupun tiap kali bertemu saya kerap mengkritik karyanya. Tapi hakikatnya, saya menikmati 'filem' dalam cerpen-cerpennya.
Saya kerap memberikan komen itu ini terhadap karya Wan Nor Azriq. Sedangkan saya sangat yakin dia novelis yang sudah menjadi penulis besar dan sangat berpengaruh dalam novel masa kini Malaysia.
Saya selalu "wow" bila membaca karya Roslan Djomel dan selalu menganggap dia 'macan' sastera terbaik bagi kategori cerpen kontemporati Malaysia.
Malah, saya kerap menyindir "kesabahan" Ruhaini Matdarin walaupun saya tahu dia seorang anak muda yang sudah tersenarai sebagai novelis terbaik negara kita.
Selebihnya - saya setiap hari akan menziarahi Facebook Tukang Puisi kerana di sana lubuk terbaik untuk membaca dan mengesan penulis muda yang luar biasa.
Saya kagum pada anak muda, Dr Fahd Razy yang mendedikasikan waktu dan keprihatinannya menjadikan Tukang Puisi sebagai sumber rujukan "menjejak" wajah-wajah penyair muda negara.
Saya mengagumi Hafiz Hamzah dan majalah Svara. Satu pencapaian besar kerana anak muda ini mempelopori agenda "kewartawanan sasterawi". Sejarah akan mengingatinya.
Banyak perkara besar dalam sejarah sastera kontemporari Malaysia hari ini berada di tangan agenda anak muda. Sebagai orang tua kita mengaguminya!
*Munculnya Merekereka
Saya melihat iklan Merekareka di Facebook Tukang Puisi. Hati terasa sangat kagum dan bergetar-getar kerana dua anak muda telah muncul menambah lagi usaha memeriahkan sastera.
Oh - rupanya, Karim Mohd dan Normazni Ayub (Jasad) sudah berkolaborasi menubuhkan Merekareka. Entiti penerbitan zine.
Zine benda baru bagi warga tua macam saya. Walaupun kerap mendengarnya tapi langsung tidak celik mengenainya. Bukan rabun - malah, buta zine.
Zine diterjemah dan ditafsir dalam pelbagai rupanya. Saya hanya faham zine sebagai: cetakan amatur tetapi sangat berestetika!
Karim dan Jasad menubuhkan entiti Merekareka yang menjalan perkhidmatan A hingga Z bagi servis penerbitan zine.
Bagi KLWBC 2020 siri ke-45 ini - saya memilih merakamkan kisah perjuangan mereka dan agenda entiti Merekareka.
*Apa kata Karim dan Jasad mengenai Merekareka
SOALAN: Apakah Zine relevan dalam era cetak modem sekarang dan apa istimewa zine dalam pasaran bahan cetak sekarang?
KARIM & JASAD: Zine mengguna pakai konsep bahawa bahan bacaan perlu murah kerana ia berakar dari tradisi sekitar lingkaran gig suatu masa dahulu, di mana pembikin akan menulis, mereka, mencetak dan mengedarkan sendiri naskhah tersebut.
Semua proses dari awal ke akhir dilakukan secara DIY (do-it-yourself).
Dalam beberapa keadaan, zine malah diberikan secara percuma, dengan tujuan agar bahan tersebut dibaca.
Justeru, mengambil model demikian, zine akan tetap relevan kerana faktor murah pada harga.
Untuk mencapai tujuan ini, dalam gerak kerja yang lebih rapi, zine biasanya sangat nipis dan dijilidkan secara staple-binding sahaja.
Istimewanya zine kerana bersifat bebas. Penghasilnya bebas untuk meletakan apa saja sebagai isi, seperti tulisan, lukisan, foto dan lain-lain.
Begitu juga, dari segi pembuatan, ada yang secara DIY dan ada juga yang menggunakan mesin.
Kebebasan itu membuka ruang untuk pengkarya, lebih kreatif dan menghasilkan sesuatu yang lebih menarik.
SOALAN: Merekareka nama yang unik. Apa keunikan utama Merekareka dan apakah potensi dalam membantu penulis mempromosi budaya zine masa kini?
KARIM & JASAD: Merekareka merupakan satu usaha mengkedepankan gerak kerja penerbitan sama ada buku atau zine yang lebih teratur dan dipercayai.
Kami sepenuhnya bergelumang dalam kerja penghasilan buku sahaja dan ini penting, untuk khalayak tahu bahawa kerja penghasilan buku mempunyai disiplin yang tersendiri.
Ia diharapkan menjadi tempat rujukan untuk para penulis swaterbit atau pembikin zine secara runcitan mempertanyakan dan melanggani khidmat sesuai dengan keperluan mereka.
SOALAN: Anda dan Karim melakukan sesuatu yg ekonomikal pada era daya beli dijangka melemah. Apakah harga murah Zine satu model alternatif berdepan kemelesetan daya beli?
KARIM & JASAD: Benar. Budaya zine akan terus bercambah kerana konsepnya yang menekankan
bahawa bahan bacaan mesti murah.
Kita tak boleh elak tentunya, ke-mahal-an buku, sebab ia melibatkan kumpulan kerja yang pakar dan kos lain seperti percetakan.
Tetapi melalui zine, ia seperti mengecilkan kesemua kos tadi tetapi masih sesuai diterbitkan sebagai naskhah yang bersifat komersial.
SOALAN: Apakah tawaran istimewa Merekareka kepada penulis melalui bisnes model zine?
KARIM & JASAD: Kami menyediakan khidmat menerbitkan zine dan buku tentunya, dari peringkat awal sampai akhir - suntingan kopi, rekaletak halaman, rekaan sampul, permohonan ISBN, bacaan pruf, dan percetakan.
Tiada tawaran istimewa selain kenyataan bahawa kami terdiri daripada dua anak muda yang suka melihat setiap hasil kerja yang kami kerjakan, menjadi naskhah yang berkualiti dari segi rekaan.
SOALAN: Apa harapan anda kepada sambutan pembaca zine?
KARIM & JASAD: Kami harapkan, zine akan lebih dikenali dan tersebar luas kepada semua lapisan lapisan masyarakat. Jika mereka menyatakan buku mahal, maka zine adalah penyelesaian kepada masalah mereka.
Jadi tiada alasan lagi untuk tidak membaca.
SOALAN: Bagaimana anda berdua melihat masa depan zine dlm suasana dunia cetak yang mencabar ini?
KARIM & JASAD: Zine tidak akan mati biarpun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan akan bergerak mengikut zaman.
Dari masa ke semasa zine makin ditambah baik dari segi kualiti penghasil, isi dan penjualan.
Nota: Selamat maju jaya buat Karim & Jasad serta semoga jenama Merekareka akan memiliki
sejarah luar biasa dalam sastera Malaysia.
Penulis merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Jasad
#Karim
#Karim dan Jasad
#klbc
#KLBC2020
#Roslan Djomel
#Ruhaini Matdarin
#Tukang Puisi
#Wan Nor Azriq
#Zine