KLWBC 2020: Tony Fernandes sang pemberani
Zainal Rashid Ahmad
November 16, 2020 13:02 MYT
November 16, 2020 13:02 MYT
ANTHONY FRANCIS FERNANDES lahir 30 April 1964 dan dikenali dunia sebagai "Raja Tambang Murah". Malah, pelopor kepada tagline "Everybody Can Fly". Satu ideologi menjadikan penerbangan sebagai pengangkutan marhean.
Melalui syarikat Tune Air Sdn Bhd, Tony memperkenalkan konsep pengurangan kos operasi penerbangan dan menjadikan destinasi kota ke kota sebagai perjalanan komersil dan pelancongan berkos rendah.
Itu nama dan Tony sebagai pengasas jenama AirAsia.
Tapi Tony ada sisi lain yang menarik; kreativiti bisnes dan sikap tegarnya dalam mendapani cabaran peniagaan.
Pada Januari lalu, Tony Fernandes muncul dengan bersut hitam dan bertali leher merah. Tenang dan tersenyum memasuki bilik tamu sebelum acara bermula.
Tony muncul 30 minit lebih awal; tetapi sibuk dengan telefon bimbit kerana ketika itu pandemik Covid-19 mula merebak dan memberikan impak pada industri penerbangan serantau.
Pastinya banyak "keributan bisnes" perlu diberikan perhatian. Saya yakin, Tony sibuk berkomunikasi dengan pasukan AirAsia meneliti dan bertindak terhadap impak yang mula melanda industri penerbangan.
Tony nampak berkerut dahi dan matanya tajam membaca dan menulis sesuatu secara teks.
Melihatkan saya mendiamkan diri dan memberikan ruang kepada menyelesaikan komunikasi di telefon bimbit, akhirnya Tony bersuara.
"Saya fikir keadaan COVID-19 menjadikan semua orang mulai panik sekarang. Bukan saja di China, seluruh dunia mula terkesan. Banyak sektor penerbangan ke China dan Asia mulai terjejas," kata Tony.
Kami duduk berdua di bilik tamu hotel mewah sebelum acara promosi bagi mendapatkan penajaan pembangunan perbukuan di negara ini bermula.
Saya menemani Tony yang hadir sebagai tamu VIP sebelum semua 45 tamu yang mewakili pelbagai sektor korporat tampil sebagai tetamu khas.
Sesi penajaan yang bakal yang bentangkan kepada pemimpin sektor korporat agak sukar; iaitu meyakinkan pemain industri komersil untuk melabur dalam dunia perbukuan.
Tony mewakili AirAsia; satu daripada 200 jenama hebat yang dihubungi bagi mendapatkan komitmen tajaan bagi memastikan industri perbukuan negara kembali hidup.
Sehari sebelum acara pembentangan, 45 syarikat menyatakan kesudian menghantar wakil. Majoritinya syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dan bukan dikuasai bumiputera.
"Saya gembira Tan Sri sudi hadir dan tidak menghantar wakil," kata saya.
Tony tersenyum: "Buku sesuatu yang lama saya tidak dengar khabar berita. Saya datang untuk mendengar apa sedang berlaku dalam dunia buku Malaysia," jawab Tony.
Seterusnya kami meneruskan perbualan mengenai industri pelancongan.
*Ramalan Tony benar belaka
Apa yang dibualkan 10 bulan lalu bersama Tony ialah apa yang telah terjadi sejak lapan bulan lalu.
"Industri pelancongan sedang terjejas dan akan jadi lebih teruk selepas ini," kata Tony pada Januari lalu.
Dua bulan selepas bertemu Tony, pandemik Covid 19 melanda lebih 100 negara dan Eropah melancarkan lockdown.
Malaysia mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac.
Semua projek dan pelan kerja bagi memajukan industri buku seperti yang dibentangkan pada sesi bertemu Tony dan lebih 40 pemain industri komersil jadi terkucil.
Detak jantung bagi menghidupan harapan memajukan industri perbukuan terhenti.
Semua 45 wakil yang hadir mendengar pembentangan mengenai potensi dan masa depan industri perbukuan kini menyepikan diri.
Semua ini berlaku akibat pandemik Covid-19 telah melemahkan ekonomi domestik akibat terputusnya rantaian ekonomi global.
Pontensi sektor korporat untuk membantu merancakkan dunia buku turut tersentap jantung hayatnya.
Majoriti penaja yang hadir ialah wakil industri hartanah, perbankan, petroleum, gergasi peruncitan, insuran dan penerbangan.
Semua sektor ini terjejas teruk sekarang. Logiknya; Covid-19 menyebabkan semua fail penajaan sektor korporat diletakkan di bawah meja kerja.
Semua penaja yang kelihatan berminat membantu industri perbukuan pada sesi pembentangan itu, kini bertukar menjadi syarikat yang berjuang menyelamatkan perniagaan sendiri.
Malah, ada yang sudah karam dipusar poseidon Covid-19.
*Tony dan jenama AirAsia penghantar makanan
Tony adalah AirAsia. AirAsia hanya jenama tetapi Tony adalah nyawa bagi jenama ini.
Sikap enggan mengalah dan keberanian menentang cabaran menjadikan Tony lebih gagah berbanding AirAsia itu sendiri.
Tony berusia 56 tahun ketika mengumumkan pada 12 November lalu untuk memulakan jenama AirAsia sebagai operator penghantar makanan.
Jenama AirAsia tahun ini sudah 20 tahun dibangunkan Tony sejak 2001.
Bermula sebagai syarikat yang dibebani hutang RM40 juta sejak ditubuhkan pada 1996 - Tony menerbangkan AirAsia sebagai syarikat tambang murah yang menguasai ruang angkasa ASEAN.
Malah, menguasai operasi tambang murah di benua Asia serta merentas Eropah dan Amerika Syarikat.
Apabila Covid-19 melanda, Tony sebagai orang ke 28 paling kaya di negara ini - berdepan cabaran getir. Namun, yang menjadikan Tony sangat istimewa - tentulah semangatnya yang kental.
Pelancaran AirAsia Food pada Disember nanti menjadikan helang angkasa AirAsia bakal terbang di jalanraya. Jenama merah ini tidak akan sesekali mengalah.
AirAsia akan terus ada. Bukan kerana merah warnanya - tetapi dipacu semangat Tony yang selalu inovatif dan mahu berubah dan terus berjuang.
20 tahun lalu, Tony mengambil alih AirAsia sebagai syarikat lapuk yang dibebani hutang RM40 juta.
Hari ini, sekali lagi Tony mengambil langkah berani. Air Asia yang pernah menjadi jenama hebat nombor satu dunia bagi sektor penerbangan murah akan kembali bangkit.
Percayalah. Semangat Tony akan menjalarkan bendera AirAsia di jalanraya Malaysia pada Disember nanti.
Pastinya AirAsia juga akan kembali menakluk ruang udara dunia apabila tiba masanya nanti.
Selamat berjaya tuan. Orang yang berjuang tidak pernah mati menghambat peluang.
Orang yang mati ialah mereka yang hidup tanpa pernah mengejar peluang.
Alangkah hebat kalau dunia perbukuan memiliki seorang Tony.
Sedihnya, industri buku selama ini dihidupkan oleh orang yang lebih dulu mati; berbanding kematian industri buku itu sendiri.
Paling tidak - mati semangat untuk berani melakukan pembaharuan!
*Penulis merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Tony Fernandes
#AirAsia
#COVID-19
#pandemik
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Malaysia
#Tune Air Sdn Bhd
#KLWBC