KLWBC 2020: Svara dan perjuangan aktivis kewartawanan sasterawi

Zainal Rashid Ahmad
Jun 8, 2020 09:00 MYT
Svara edisi kedua muncul pada bulan Jun dengan reka letak kulit gelap. -Instagram @jurnalsvara
MENERBITKAN majalah pada zaman migrasi digital bukan kerja mudah. Malah, dianggap langkah degresif ketika persepsi umum menyifatkan bacaan cara manual di atas kertas cetak sebagai budaya lapuk menuju pupus.
Namun, menongkah arus juga satu permainan yang unik dalam menciptakan jenama dalam pasaran.
Keadaan migrasi digital pun sejak sedekad yang lalu tidak berjaya menciptakan nilai komersial pada trafik bacaan atas talian.
Walaupun trafik pembacaan portal atau media sosial meningkat tetapi tanpa kecekapan mencipta
monetization demand, media digital hanya mencipta angka trafik tetapi tidak menyumbangkan pendapatan.
Apabila majalah Svara muncul sebagai madium cetak yang merangkumi kandungan sastera, filem, muzik dan artikel rencam seni - ia mengejutkan saya.
Apa lagi ketika majalah popular terbitan syarikat gergasi seperti Blu Inc Media Sdn Bhd berdepan realiti 'gulung tikar'.
Blu Inc ialah syarikat penerbitan majalah glossy dan paling elegan di negara ini. Tanpa notis awal, gergasi elit ini mengumumkan penutupan operasi dengan notis 24 jam pada 30 April lalu.
Pada 2 Jun pula - industri majalah cetak terus bergelumang 'tanda-tanda kiamat' apabila sembilan kedai buku milik pengedar gergasi MPH akan ditutup hujung bulan ini.
Semua cawangan MPH yang ditutup berada dalam radius bandar raya; demografi yang dianggap sebagai syurga ilmu.
Ini realiti dunia cetak.
Justeru, satu tabik hormat pada operator majalah Svara. Apa lagi muncul sebagai subjek teks yang berseni dan berstail sasterawi.
Svara kini menongkah arus; mendepani suasana real dalam usaha membudayakan 'sisa zaman cetak'.
Apapun Svara secara jenama dilihat sebagai produk niche yang mewakili generasi pemberani.
Svara akan dikenang dalam sejarah era digital sebagai wajah baharu yang tampil selepas dunia majalah lebih 20 produk elit generasi Blu Inc lupus dari realiti.
Svara muncul ketika Glam Deko, Her World, Jelita, Marie Claire, Harper’s Bazaar, EH! dan Glam; yang relatifnya ialah sahabat wanita Malaysia.
Begitulah dinosaur digital menyihir bacaan bentuk fizikal dalam tempoh sedekad ini. Empayar dan legasi yang dibina selama lima dekad lesap dan tumbang dalam sesaat.
Svara dan kisah generasi penongkah arus
Facebook Svara sentiasa dikemas kini dengan nota mudah tapi kritis; satu manifestasi penggerak dan pemainnya melihat hidup ini sebagai opsyen yang kritikal.
Svara mengingatkan memori pada sejarah panjang kekentalan majalah Rolling Stone; bacaan ikonik bagi pemikir dan pencinta muzik kelas A sejak setengah abad lalu.
Majalah Rolling Stone juga dihormati kerana agenda seninya turut bernada politik.
Penske Media Corp melancarkan Rolling Stone pada 9 November 1967. Satu lagi bacaan simbolik dan ikonik dunia muzik dan seni yang berbaur politik.
Pada Disember 2018, data edaran Rolling Stone berada pada 700,622 edaran setiap isu.
Satu tabik hormat pada pengasasnya Jann Wenner dan Ralph J. Gleason yang turut menjadikan Rolling Stone antara jenama hebat New York.
Majalah ini penting sebagai duta suara yang mewakili era bangkitnya generasi 'The Flower Power' pada dekad 60-an dan 70-an.
Rolling Stone hingga hari ini mewakili suara intelek warisan hippie dan woodstock dengan semangat anti perang dan mempromosi keamanan sejagat melalui material seni.
Apakah langkah mula Svara juga bakal setanding legenda Rolling Stone?
Sejarah akan menjawabnya. Sejarah ialah rujukan tanpa dusta bagi naratif yang adil dan merujuk pada faktanya.
Rasa hormat pada Svara menyeru hati saya untuk mewawancara Noor Azam Shairi, aktivis Svara.
Saya sebut aktivis kerana dalam dekad ini segala jawatan glamor dunia penerbitan hanya sampah yang menyakitkan mata apabila dicetak.
Fungsi dan realiti jawatan kerap kali tidak menggambarkan apa-apa prestij pun kalau setakat kerjanya hanya menyusun, semak ejaan dan pastikan dicetak.
Aktivis lebih relevan. Status berdasarkan sebagai nyawa dan nama yang menghidupkan majalah ini. Aktivis yang bekerja tanpa gaji, tanpa untung dan kerapnya pula berdepan kerugian.
Ini kerana kos biaya dan ruang waktu yang dikorbankan bagi menghidupkan perjuangan Svara kerap menipiskan kocek sendiri.
Svara edisi kulit gelap tanda duka
Svara edisi pertama dilancarkan pada Januari dan Mac lalu sebagai terbitan sulung sesuai dengan semangat penerbitan per sukuan tahun.
Kini Svara edisi kedua muncul pada bulan Jun. Edaran edisi ini ditunda dan gagal diedar pada April lalu.
Penundaan cetakan dan edaran ini kerana COVID-19 mencetuskan kebuntuan akibat Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu.
"Banyak hal yang telah berubah sepanjang tempoh lebih dua bulan terakhir ini, yang sedikit sebanyak meninggalkan bekas ke atas kehidupan ramai orang.
"Barangkali tak ada siapa yang pernah menduga, perjalanan kita di tahun 2020 terpaksa mengambil pusingan yang sebegini rupa." - (Petikan catatan status Facebook Svara)
Wawancara bersama Hafiz Hamzah melalui WhatsApp. Satu normal baharu.
Berikut enam soalan dan jawapan:
SOALAN: Svara muncul sebagai Rolling Stone dekad baru bagi katalis sastera. Secara naratif moden ia cuba memecah tradisi editorial yang tipikal dan dimonopoli hal-hal sempit seputar isu sastera.
Apa resipi yang membawa kepada wujudnya konsep editorial multi kandungan?
HAFIZ HAMZAH: Kejujuran terhadap peribadi sendiri. Saya fikir ini hal yang sangat penting tetapi kian memudar nilainya kerana orang — tanpa sedar — selalu berasa khuatir terhadap kemampuan sendiri.
Ini intipati yang cuba kami tunjukkan dari lembar-lembar Svara, yang memang sudah jelas dari awal lagi.
Dan dalam menetapkan jalan yang patut diambil, kami sebenarnya menelaah dan meminjam semangat banyak penerbitan-penerbitan berkualiti yang pernah muncul di Malaysia sendiri.
Satu judul yang wajar disebut ialah Jurnal Tenggara; isu pertamanya terbit 10 tahun selepas Merdeka. Tentang Rolling Stone, kami tak pernah ingin menjadi seperti itu.
Tetapi memang, untuk mereka yang sempat merasakan majalah saiz besar seperti ini, ia datang dengan ulit nostalgia yang sama. Dan kami ok saja dengan apa-apa label yang ingin dijolokkan kepada Svara.
Multi-kandungan; tak ada apa yang aneh tentang hal ini. Ia cerminan kepada hidup kita di Malaysia, yang jika ditilik secara inklusif, tak pernah lekang daripada kepelbagaian — resam, budaya, bahasa, politik, makanan dan sebagainya.
Semua itu ada intrig yang berbeza dan mencapah. Svara adalah cerminan kepada semua itu, dan ingin meraikannya sebagai satu bentuk kekuatan kita bersama.
Agar kita selalu berani melihat diri sendiri dengan rasa yakin dan tidak hanya melulu mengagungkan orang lain/asing.
Sastera juga datang dari lekuk masyarakat yang sama seperti dinyatakan itu. Dalam spektrum kehidupan, sastera bukanlah yang terpenting, tetapi ia perlu ada untuk jadi pengimbang.
Banyak lagi hal-hal di luar yang sepatutnya membentuk sastera dan roh kita sebagai bangsa Malaysia kerap tersisih oleh tangan-tangan kita sendiri.
Maka, kami pertemukan seberapa banyak sisi berkenaan, biar semuanya bergaul dalam Svara.
SOALAN: Apakah ia majalah sastera atau majalah kepelbagaian medium seni dengan konsep kewartawanan yang sasterawi?
HAFIZ HAMZAH: Sastera kerana kami sentiasa cuba meletakkan bahasa Melayu yang segar, lugas dan tersendiri kembali pada tempatnya.
Bukan sastera bentuk (cerpen-sajak-novel dll). Sisi jurnalistik juga memang kami sambut untuk diraikan, kerana itu melambangkan kebertanggungjawaban terhadap tulisan yang dihasilkan.
Kami datang dengan wajah yang terpampang, tak sembunyi tangan. Jika ada pertembungan, sila suarakan dan tulis kepada kami.
Jangan bergosip. Dan semua itu — unsur sastera, medium seni, sisi kewartawanan — berurusan dengan hanya satu hal di dalam lembar Svara; bahasa.
Tak lupa juga, aspek reka letak dan penampilan visual yang ada di dalamnya. Ini juga satu unsur yang sangat penting untuk Svara.
SOALAN: Menjelang terbitan edisi kedua, apakah pengalaman nurani dan fikrawi editor menangani kandungannya?
HAFIZ HAMZAH: Lebih ramai orang yang tidak merasakan diri atau memanggil diri mereka penulis yang lebih faham dan menghormati disiplin editorial, mencuba sedaya upaya untuk menyesuaikan gerak kerja dengan apa yang sudah digariskan, serta lebih mudah untuk berurusan.
Yang memang ingin dikenali sebagai penulis sastera pula, sebahagiannya, agak mengecewakan. Sedangkan, ini padang untuk mereka bermain.
Tetapi, hal-hal seperti ini bukanlah masalah besar; ia membuka kemungkinan lain untuk kami mencari dan mendapatkan bahan-bahan seperti yang diinginkan. Prosesnya menyeronokkan sebenarnya.
Sebab, untuk setiap isu, di belakang tabir, ada tema atau perkara-perkara yang ingin kami persembahkan, tanpa pembaca perlu sedar tentangnya.
Cukup untuk mereka menikmati sahaja pengalaman pembacaan yang dihidangkan.
SOALAN: Dari isu filem tempatan sampai kegilaan ke band heavy metal Iron Maiden, bagaimana Svara melihat pentingnya kandungan yang rencam?
HAFIZ HAMZAH: Selera kita lain-lain. Dan dengan mempertemukan banyak sisi berkaitan sosio-budaya dalam Svara, kami berharap akan dapat juga membuka sisi pengetahuan atau minat yang berbeza dalam diri orang-orang yang membacanya, dan mengajak mereka untuk bertembung dengan pengalaman, pengetahuan, cerita-cerita penting lain yang mungkin sebelum ini tak pernah mereka hiraukan.
SOALAN: Apakah semangat Svara mewakili generasi baharu atau sebenarnya tanpa gap kecuali melihat demografi seni sebagai tanpa jurang umur?
HAFIZ HAMZAH: Svara adalah jambatan untuk jurang tersebut, sekiranya ada. Kami menulis untuk pembaca-pembaca hari ini.
Tetapi disiplin, tumpuan dan cara kerja, kecermatan, ketelitian — semua itu kami cuba mencerapnya dari hal-hal yang menurut kami perlu dipertahankan sejak dulu (dalam konteks penulisan dan penerbitan). Kami tak mahu hanya orang muda yang membaca Svara.
Kami mahu orang berusia, kelompak bangsa selain Melayu, kutu-kutu sengkek, orang kaya Bangsar, menteri-menteri, orang seni, mat smart korporat, tukang sapu sampah dan sesiapa sahajalah untuk menemukan 'ruang' mereka tersendiri dalam Svara.
Harapnya banyak perkara yang boleh direntas seusai membaca setiap isu, yang dapat terus kekal mengganggu fikiran pembaca. Supaya kita boleh saling belajar.
SOALAN: Apa pesan kepada masyarakat pembaca?
HAFIZ HAMZAH: Nikmatilah tulisan-tulisan yang cuba ditampilkan dalam Svara. Kepada yang rajin berfikir, belajar untuk membina cita rasa yang tidak hanya memuaskan hati, sebaliknya kepala juga — belajar untuk yakin diri. Dan, jangan sembang saja; tulislah.
Nota: "Hidup adalah perlawanan. Mulakan perjuangan. Hargai sokongan. Abaikan celaan."

* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Blu Inc Media #Glam #Glam Deko #Her World #Marie Claire #media digital #monetization demand #mph #Rolling Stone #Svara
;