KLWBC 2020: Shahnon sasterawan yang melawan

Zainal Rashid Ahmad
Mei 1, 2020 11:37 MYT
Shahnon Ahmad meninggal dunia pada 26 Disember 2017.
TIDAK perlu memperkenalkan siapa Shahnon Ahmad (12 Januari 1933 - 26 Disember 2017). Google dan Wikipedia akan menyelesaikan semua fakta dan perinciannya.
Artikel ini khusus melihat Shahnon sebagai sasterawan yang melawan.
Shahnon sohor dalam dua dimensi. Pertama, isi dalam karya-karyanya yang kritis tapi merakyat. Kedua, personaliti tegarnya sebagai penulis keras melawan.
Shahnon satu institusi secara peribadi. Figura sasterawan yang tidak dilekakan gelaran, pingat dan pangkat. Apa lagi menjaga kepentingan diri untuk sekadar popular dan kekal selesa. Anak jati Sik, Kedah ini katalis sasterawan yang punya rekod perlawanan terhadap persekitaran sosial dan politik.
Shahnon melangkah keluar jauh dari zon selesa sebagai penulis - iaitu bukan hanya sekadar menulis. Shahnon bertegas dengan idealisme rakyatnya.
Falsafah 'melawan' ini menyebabkan diri dan kerjayanya dalam risiko. Malah, risiko itu terjadi dan merampas banyak keselesaan miliknya.
Apabila suara komuniti sastera kecut dan lembam serta tidak berani menyatakan kebenaran pada waktu yang kritikal - Shahnon tidak mengalah. Malah, dia memilih melawan secara sendirian.
Perjuangan rakyatnya menyebabkan dia nekad melangkah ke platform politik. Shahnon bertanding pilihanraya 1999 dan menang sebagai calon Pas di parlimen Sik dengan majoriti 478 undi.
Ini antara tindakan daring yang meletakkan nama Shahnon setakah lebih tinggi dan berada dalam kelasnya yang tersendiri.
Masyarakat umum akan mengingati Shahnon kerana novel hebatnya Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ 1966).
Novel ini meletakkan nama Shahnon sebagai sasterawan yang memperjuangkan nasib kaum tani.
Sejarah, di tangan penjahat mana pun, tidak akan dapat memadamkan hakikat ini.
RSJ novel perjuangan Shahnon. Catatan sebagai anak desa yang membesar bersama pesawah di Banggol Derdap. Shahnon kenal dan akrab dengan derita petani.
Secara jujur, perjuangan Shahnon wajar diperkatakan dengan naratif yang benar. Walaupun kebenaran mengenai kehebatan Shahnon tidak disukai musuh ideologinya.
Namun, untuk memelihara kebenaran, kita perlu menerima dan menyatakan kebenaran. Walaupun Shahnon figura kontroversi, dia sasterawan tulen yang berjuang demi rakyat. Shahnon spesis akhir DNA ideologi 'sastera untuk masyarakat'. Apabila nama besar ini pergi, sastera Malaysia menuju dunia kelam.
Lampu paling terang dalam perjuangan rakyat terpadam dan suara pembelaan marhean pun mati dalam dunia sastera Melayu.
Shahnon menulis RSJ sebagai protes terhadap Rancangan Malaya Pertama (1956-1960) dan Rancangan Malaya Kedua (1961-1965).
RSJ adalah protes terhadap kegagalan kerajaan Tunku Abdul Rahman dalam memodenkan sektor pertanian di pedalaman. Sekaligus menyebabkan hidup petani dibelanggu kepapaan.
Shahnon yang kontroversi
Bagi yang sukakan kontroversi, pasti sosok Shahnon dikaitkan dengan novel 'Shit'. Novel keras dan kasar yang diterbitkan pada 1998.
Shit lahir ketika negara sedang berkemelut dengan ketegangan politik dan gerakan reformasi jalanan.
Selain kejatuhan ekonomi, rusuhan jalanan ini mencetuskan ketegangan terburuk dalam negara -tiga dekad selepas kekacauan 13 Mei 1969.
Tidak ada novel Melayu yang merakamkan period itu dengan nada marah dan rebelius pada suhu sepanas novel 'Shit'.
Secara karya sastera, Shit ialah termometer yang tepat, merakamkan suhu krisis perebutan kuasa pada September 1998.
Shahnon pada waktu itu mengkritik Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad. Tidak dinafikan, Shahnon antara sepuluh seteru utama yang sangat menggugat imej Dr Mahathir.
Sekali pun pada dekad 90-an, sasterawan sudah lama dianggap tidak relevan - Shahnon berjaya menjadikan novel “Shit” sebagai senarai bahan sastera yang bernilai.
Paling tidak sebagai alat perlawanan.
Isinya bernada politik dan menyuarakan protes rakyat pada waktu itu. Walaupun, Shit mewakili naratif kepentingan kelompok politik yang disokong Shahnon.
Sasterawan besar dunia, George Orwell (1903-1950), Alan Paton (1903-1988), Gabriel Garcia Marquez (1927-2014) dan Pramoedya Ananta Toer (1925-2006) antara sasterawan yang memilih menjadi pelawan politik dalam karya sekaligus aktivis rakyat.
Shahnon menempuh detik sukar akibat Shit. Kedudukan sebagai sasterawan besar dan akademis elit turut ditindas dan dinafikan.
“Shit” diharamkan dan dituduh berbahaya. Pemilikan novel itu pada period ketegangan politik 1998 dianggap satu jenayah.
Kewujudan dan suaranya cuba dipadamkan bagi mengawal naratif politik yang menentang pusat kuasa pada waktu itu.
Hanya sekitar 2015, karya itu kembali ke pasaran. Itu pun dijual secara bersepah di pasar malam. Malah, muncul sebagai novel dalam kualiti fotokopi.
Shit muncul semula selepas 15 tahun diharamkan. Itu pun diperguna oleh musuh Dr Mahathir sebagai alat perang saraf.
Novel itu dijadikan senjata meniupkan kebencian bagi memusnahkan kemunculan semula Dr Mahathir ke pentas politik.
Shahnon institusi teguh peribadi
Shahnon memang personaliti institusi; sasterawan dengan prinsip diri yang mapan. Karektor hebat yang diwarisi bersama dengan Usman Awang dan A Samad Said.
Itu bahagian diri Shahnon yang brutal dan tegas. Dia melawan secara karya serta tindakan politik terhadap apa yang ditakrifkan sebagai musuh rakyat.
Tindakan Shahnon menentang Dr Mahathir, seniornya di Kolej Sultan Abdul Hamid menjadikan nama Shahnon menghero dan merakyat.
Hebatnya, sejarah selalu adil. Dr Mahathir tetap dikenang sebagai negarawan terhebat. Shahnon kekal sebagai sasterawan rakyat.
Begitulah pergelutan antara sasterawan dan negarawan. Semuanya bermula dan berakhir sebagai sebahagian sejarah bangsa.
Shahnon berjuang dengan senjata sastera dan politik. Dr Mahathir teguh berdiri melaksanakan tanggungjawab kepimpinan dan reputasi hebat sebagai negarawan.
Sejarah bertindak adil kepada dua tokoh ini. Walaupun secara real, Shahnon lebih menderita kerana pemulauan dan penyisihan terhadapnya.
Shahnon menulis 18 buah novel. Antaranya Rentong (1965), Terdedah (1965), RSJ (1966) dan Menteri (1967).
Srengenge (1973), Kemelut (1977), Seluang Menodak Baung (1978), Al-Syiqaq (1985) dan Tunggul-tunggul Gerigis (1989).
Seterusnya Tunggul-tunggul Gerigis (1989), Patriarch (1991), Ummi & Abang Syeikhul (1992), TIVI (1995) dan Sutan Baginda (1997).
Shahnon menerima Anugerah Sasterawan Negara kedua pada 1982.
Shahnon sebagai manusia biasa
Shahnon pada sisi manusiawinya ialah seorang yang baik hati. Penuh ihsan dan gemar menyampaikan kata-kata pesanan yang mengindahkan pemahaman kita terhadap hidup. “Cikgu suka nasihatkan kamu… kalau nak berjaya kena ada dua benda. Pertama kemahuan dan kedua usaha,” katanya.
Shahnon berpegang pada nilai sastera yang mengakar pada isu rakyat. Itu asas kesusasteraannya. Tetapi dia terbuka pada pembaharuan.
“Cikgu bagi A+ untuk cerpen kamu, walaupun tekniknya terlalu monolog, dan itu bukan stail Cikgu. Tapi kredit sebab ada pembaharuan”.
Atau pada karya yang lain Shahnon mengulas: “Cikgu tak faham apa idea sebenar yang mahu disampaikan. Tetapi cikgu suka pembaharuan.”
Itulah keterbukaan Shahnon sebagai guru sastera.
Shahnon akan terus dikenang sebagai tokoh sastera sejati yang berani. Sesiapa pun tidak akan dapat memadamkan pengaruhnya sebagai lampu terakhir perjuangan 'sastera untuk masyarakat'.
Shahnon terus hidup
Walaupun pernah dipinggirkan kerana politik real dan politik kampus, Shahnon tetap cekal dan tegar menulis tanpa membiarkan dirinya “dibunuh”.
Dia terus melahirkan novel-novel hebat pada dekad 90-an. Sekali pun setelah meraih gelaran sasterawan negara dan profesor emeritus.
Shahnon meletakkan tanda aras yang tinggi pada status sasterawan negara. Gelar ini hanya layak buat penulis yang hebat. Bukan sekadar disedekahkan pada yang rajin atau berbakat. Pastinya, walaupun sudah tiada – dunia sastera Melayu tidak akan melupakan Shahnon Ahmad. Dia bukan sekadar nama, tetapi susuknya ialah institusi yang menggambarkan: sasterawan sejati ialah pelawan yang berani.

* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

#calon #ekonomi #Google #guru #idealisme rakyat #jenayah #kerajaan #Kolumnis AWANI #Mahathir Mohamad #melawan #Melayu #Parlimen #PAS #penulis #Perdana Menteri #politik #protes #sasterawan #Shahnon Ahmad
;