KLWBC 2020: Sekilas fakta pasaran buku dan budaya membaca
Zainal Rashid Ahmad
Jun 19, 2020 09:30 MYT
Jun 19, 2020 09:30 MYT
RAKYAT Malaysia kekal stereotaip dalam budaya memiliki buku terutama pada era ledakan membeli secara dalam talian.
Malangnya, walaupun banyak membeli buku, kajian menunjukkan hanya sedikit waktu digunakan untuk membaca.
Buku kekal sebagai hiasan rak atau kakasan posting di media sosial bertujuan berlagak sebagai ulat buku.
Profil buku sangat relevan sebagai alat meningkatkan ego diri. Selagus alatan "attention seeker" yang mahu berlagak "kononnya berilmu".
Kajian firma Picodi mendapati Malaysia berada dalam ranking antara negara tertinggi berbelanja membeli buku dalam talian.
Kajian yang disiarkan pada 30 April tahun lalu bukan kejutan.
Budaya membeli secara dalam talian elemen yang meluas di negara ini, tetapi lebih cenderung dijadikan sebagai foto-foto perkongsian pemprofilan di media sosial.
Mencipta identiti digitalisasi antara punca kegilaan rakyat Malaysia dalam muatan posting untuk membina karektor diri.
Satu penyakit di Facebook dan Instagram.
Ini bukan tuduhan. Ada faktanya.
Picodi melaporkan Malaysia antara negara yang progresif dalam tabiat pembelian buku secara dalam talian.
Tetapi sifat afresif membeli buku tidak mengimbangi data peningkatan kadar pembacaan!
Survei Picodi dijalankan di 41 negara membabitkan 7,800 responden termasuk rakyat Malaysia.
Dalam laporannya, Picodi mengumumman 76 peratus rakyat Malaysia membeli minimum sebuah buku setahun.
Sama seperti kegilaan mempamer rumah besar, melaram kereta mewah dan destinasi percutian - penyakit posting melarat hingga ke susunan rak buku.
Orang kita rela bergaya untuk dilihat sebagai sosialit hebat di media sosial.
Hakikatnya, trend aktif membeli buku dalam talian tidak menggambarkan sifat suka membaca secara realitinya.
Walaupun menduduki tangga keenam sebagai negara yang aktif membeli buku dalam talian, kajian The World’s Most Literate Nation (Negara Paling Celik Huruf Sejagat) Malaysia berada pada kedudukan ke-53 global.
Berdasarkan kajian Picodi di 41 negara temasuk Turki, Rusia, Sepanyol, Thailand dan Romania - Malaysia berada di tangga keenam teraktif melakukan pembelian buku secara trandaksi dalam talian.
Sekali gus tabiat daya beli buku dalam talian di negara ini, mendepani negara-negara serantau termasuk Singapura, Indonesia, Filipina dan Vietnam.
Apapun, Picodi menjelaskan data belian ini tidak memberikan reflek setara dengan budaya membaca.
Ini yang menyedihkan.
Dapatan Picodi merumuskan tabiat membeli buku dalam talian oleh rakyat negara ini lebih bersifat trend berbelanja dalam talian.
Buku sekali pun dikaitkan dengan ilmu, akhirnya menjadi antara produk yang menerima tempias akibat ledakan berbelanja dan sikap mempamerkan idenditi "konon cerdik" di media sosial.
Karya fiksyen pilihan utama
Berdasarkan genre belian pula, 70 peratus pembeli memilih bahan bacaan fiksyen, seram, cinta dan kisah jenayah.
Statistik Picodi juga menyebut trend pembelian dalam talian dibantu oleh budaya jualan murah, atau dipengaruhi saranan rakan di laman sembang sosial.
Namun, potensi paling unik pula, Picodi mengakui daya beli buku di Malaysia turut dipengaruhi oleh kolum ulasan dan "influencer" yang agresif mempromosi previu buku.
Penjualan secara dalam talian sangat membentu. Picodi melaporkan 78 peratus pembaca wanita dan 74 peratus pembaca lelaki menyatakan mereka membeli minimum sebuah buku setahun.
Pada masa sama, wujud kecenderungan membeli lebih daripada sebuah buku setahun. Namun, angka yang membeli sebuah buku setiap bulan masih sangat kecil jumlahnya.
Selain berita gembira dalam peningkatan tabiat membeli buku dalam talian - data Picodi juga menyenaraikan dapatan yang mengejutkan.
Sejumlah 22 peratus responden tempatan menyatakan mereka langsung tidak berminat dengan buku.
Picodi juga merumuskan - walaupun wujud budaya e-buku yang meluas di peringkat global - majoriti pembaca di Malaysia masih kekal dengan trend mahu memiliki buku fizikal.
Data Kajian Peringkat Sekolah
Pada 2018, Laporan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2018 yang menaksir kajian terhadap 6,111 pelajar berusia 15 tahun dari 191 sekolah di Malaysia mendapati - mereka langsung tidak gemar membaca.
Dalam istilah lain - membaca buku bukan hobi pelajar di negara ini.
Pentaksiran PISA 2018 yang mewakili 388,638 pelajar berumur 15 tahun, mendapati: mereka hanya membaca kerana terpaksa dan bukan berasaskan minat.
PISA menemukan satu dapatan yang serius: perlunya usaha yang konstruktif dilakukan bagi memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar sekolah menengah di negara ini.
Kajian PISA 2018 dalam kalangan pelajar berusia 15 tahun menunjukkan pengurangan signifikan berbanding dapatan kajian PISA 2009.
Dalam tempoh sembilan tahun, angka minat literasi bacaan merosot dan bukan lagi domain utama.
Pada masa sama, apa yang unik ialah kajian PISA menemukan statistik yang sama dengan dapatan Picodi: buku yang digemari pelajar dan masyarakat umum ialah fiksyen, bukan fiksyen dan komik.
Namun, yang negatifnya, kajian PISA 2018 merumuskan: 77 peratus pelajar lelaki dan 58 peratus perempuan hanya membaca untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan.
Sedikit positif pula, PISA 2018 menjelaskan 52 peratus pelajar lelaki dan 73 peratus perempuan memberi respons: mereka membaca sebagai hobi yang digemari.
Laporan itu turut merangkumkan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) melaporkan pengurangan dalam penggunaan bahan bercetak boleh dikaitkan dengan era digital.
Proses bacaan terjejas akibat akses meluas kepada ruang laman sembang sosial. Atau, akibat masyarakat dan pelajar lebih fokus kepada pembacaan rencana dalam laman berita.
Atau, cenderung pada laman web yang menyediakan bahan bacaan ringan dan mudah.
Digitalisasi tidak meningkatkan proses membaca bahan berkualiti selain kecenderungan pelajar untuk sekadar melakukan pencarian maklumat dalam talian.
Kajian Picodi dan PISA satu gambaran jelas, krisis minat membaca di kalangan pelajar dan masyarakat umum di negara ini kini menuju laluan pupus berbanding tradisi ilmu dalam warisan buku.
Manakala, fenomena digital hanya menjadikan penggunanya akrab kepada pembacaan maklumat yang informasi mudah.
Senario ini tidak melazimi tradisi perbukuan konvensional yang berteraskan kepada pengukuhkan identiti kemanusiaan, peluasan rentas budaya, peningkatan kualiti minda dan membina sahsiah menjadi manusia.
Picodi dan PISA menjadikan kita gementar dan tercabar untuk membetulkan naratif digital.
Budaya yang mempengaruhi minda negara bangsa untuk sekadar menjadi pembaca bahan maklumat yang mudah dan selesa.
__________________________________________________________________________________
Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.