KLWBC 2020: Pak Malim yang tak terlupakan
Zainal Rashid Ahmad
Jun 21, 2020 05:42 MYT
Jun 21, 2020 05:42 MYT
KEMBALINYA Mohamed Ghazali Abdul Rashid: 4 Mac 1949 – 18 Jun 2020.
Pada era budak jalanan memenuhi meja dan kehidupan warung kopi - adalah tidak wajar ia menjadi dunia gaul seorang penjawat awam yang kanan dan berkedudukan.
Terutama seperti Malim Ghazali Pk yang waktu itu sudah berjawatan tinggi dalam perkhidmatan awam.
Namun, anak Perak ini tidak mempedulikan semua jurang status yang ada.
Malah, Pak Malim sangat akrab dengan anak seni yang berpeleseran di Pasar Budaya pada akhir dekad 80-an.
Pak Malim memang tidak memilih status rakan mengopi.
Pada waktu itu juga - Pak Malim sudah mula melangkah ke penerbitan sitkom TV dan memiliki syarikat penerbitan sendiri.
Walaupun sudah terkenal dalam dunia sastera, Pak Malim gigih berusaha memulakan langkah menuju ke penerbitan TV.
Malah, waktu itu, impian utamanya ialah menerbitkan filem layar lebar. Itu cita-citanya yang tidak kesampaian.
Malah, kisah yang ditutur dan ditulisnya dalam skrip pada 1988 masih dibualkan apabila kami bertemu semula dan mengopi pada 2018.
"Aku masih nak filemkan kisah ini. Orang perlu melihat uniknya kehidupan masyarakat Orang Asli dalam filem cinta yang penuh dengan budaya," kata Pak Malim.
Kami berdua berbual di warung Jalan Tallala, Kuala Lumpur. Fokusnya tetap menerbitkan filem, sama seperti yang diungkapkan hampir tiga dekad lalu.
Pak Malim tetap menyimpan impian menerbitkan filem kisah cinta seorang pemuda Melayu dan gadis Orang Asli.
Ini juga skrip filemnya yang saya baca pada 1988. Waktu itu, Pak Malim menumpangkan saya di pejabatnya.
"Kau baca dan buat pecahan babak, dan nanti kita tengok kosnya."
Saya budak yang hanya ada pengalaman kecil menjadi kru drama Nasir Jani. Menerima skrip filem yang siap dengan lakon layar sesuatu yang "besar" untuk ditangani.
Di pejabatnya, Pak Malim menyediakan saya tempat tidur yang selesa, sebuah gitar dan buku-buku untuk dibaca.
"Saya rasa Pak Malim kena bincang dengan orang yang dah level pengarah filem sebab skrip ini besar," kata saya.
Kami berbual setiap hari apabila Pak Malim datang ke pejabat filemnya dan memberikan wang saku untuk belanja makan.
Waktu itu, dia sangat berusaha untuk mencari dana memulakan filemnya.
"Kau rasa cerita itu bagus tak?" Tanya Pak Malim.
"Kisah ini banyak penggambaran dalam hutan dan pemilihan pelakon akan menjadi isu besar," jawab saya.
Waktu itu, selepas membaca skrip dan lakon layar yang ditulisnya, saya tidak boleh bayangkan siapakah aktres yang mampu memikul watak gadis Orang Asli yang sangat luar biasa itu.
Skrip filemnya penuh dengan momen romantik dan senario lokasi di hutan dengan sinematografi yang luar biasa.
Pada saya, ia bukan skrip untuk tilikan budak hingusan yang baru terdedah pada pembikinan tiga buah drama macam saya.
Walaupun filem "Medicine Man" arahan John McTiernan (1992) belum dihasilkan pada waktu itu - tetapi sekarang saya boleh gambarkan - itulah standard filem yang mahu dihasilkan Pak Malim.
Selepas seminggu menelaah dan menyusun pecahan babak dan lokasi di pejabatnya - scene perbualan 30 tahun lalu terasa berulang lagi.
Sesuatu yang amat deja vu. Momen di pejabatnya pada 1988 hidup kembali di warung mamak Jalan Tallala pada 2018.
"Aku masih nak buat filem itu. Tetapi lebih kemas skripnya sekarang kalau ditulis semula. Aku yakin ada potensi untuk pawagam," katanya.
Kami berbual lama; dia masih seorang Malim Ghazali Pk yang tegar dan obses pada dunia Orang Asli. Dia tetap penulis senior yang saya hormati seperti seorang bapa.
Sisi buku dan ilmu
Pak Malim dilahirkan pada 4 Mac 1949 dan membesar dengan pengalaman akrab dengan masyarakat Orang Asli di Perak.
Bapanya, Abdul Rashid sangat bersikap terbuka pada sikap anaknya yang ketika masih kecil sangat mendekati masyarakat Orang Asli.
Itu proses pembesaran yang mempengaruhi fikiran dan expose Pak Malim pada "alam hutan" dan Orang Asli.
Lahir di Malim Nawar dan bersekolah di Gunung Panjang mempengaruhi dunia masa kecil Pak Malim terhadap pergaulan dan pemerhatian pada masyarakat Orang Asli.
Itu kesan yang tak terlupakan dan hidup segar dalam ingatannya. Sesiapa yang akrab pada karya Pak Malim juga pasti dapat melihat cerapan yang luas dan dekat mengenai pengaruh alam hutan ini.
Apa pun, pada saya, Pak Malim meninggalkan cerapan kenangan yang lain.
Saya melihatnya sebagai individu biasa, sebagai lelaki perenung yang menyimpan banyak impian. Malah, sentiasa berusaha memenuhkan impiannya.
Saya memilih bahagian ini sebagai rakaman tribut mengenang penulis hebat ini.
Sisi paling tidak dilupakan ialah buku-buku yang diberikannya.
"Ambillah, kalau kau suka tapi kenalah baca," katanya.
Di meja pejabat 'filemnya' 30 tahun lalu, saya melihat dua buah buku edisi mewah dan sangat eksklusif -- novel "The Resurrection" karya Leo Tolstoy dengan edisi kulit tebal dan kumpulan puisi "The Song of the Stormy Petrel" karya Maxim Gorky.
Menariknya novel "The Resurreruction" ini bergerak dari tangan ke tangan dan turut dibaca Johari Hamid dan Loloq. Manakala penyanyi To'ki membaca "The Song of the Stormy Petrel".
"Terima kasih bang...," saya terus mengambilnya.
Pada usia 21 tahun - itulah buku terhebat dan termewah pernah saya miliki. Saya sangat bangga menunjukkan buku itu pada pelukis terkenal, Aris Aziz.
"Apa benda yang Malim tak bagi orang?" tanya Aris.
Aris antara rakan kopi Pak Malim dalam korum bagi orang dewasa. Saya tidak akan berani duduk semeja di Restoran Hameed Pasar Seni kalau korumnya senior. Ada adat yang mengaturnya. Kecuali kalau anda dijemput duduk bersama.
"Makanlah," pelawa Pak Malim.
"Apa saja yang kau nak...."
Selalunya kalau saya segan atau hanya senyum, Pak Malim akan bangun sendiri dan berjalan ke kaunter. Dia akan memilih lauk dan hidangan. Itu akhlaknya yang luar biasa dalam meladeni anak muda.
Saya boleh menangis kalau mengingatkan perkara ini. Peristiwa yang selama tiga dekad kuat melekat dalam ingatan dan tak pernah terlupakan.
Seorang Pak Malim yang berkedudukan, punya wang, reputasi, senior dan sohor - tetapi sangat berbudi bahasa.
Pada usia tua sekarang, setiap kali bertemu orang lebih muda, saya akan berusaha menghormati mereka, mencontohi pekerti Pak Malim.
Ini pengalaman "ilmu" yang tidak boleh dipelajari daripada penulis melalui bukunya. Kita belajar melalui akhlak yang tercatat pada perlakuan mereka.
Apabila khabar pemergian Pak Malim dikongsi di laman WhatApps grup wartawan veteran pada 18 Jun lalu, saya terkedu.
Saya melihat kelibat seorang lelaki berkemeja kemas, bertali leher dan sepatu hitam berkilat.
Lelaki budiman yang bangun ke kaunter dan memesan makanan terbaik untuk seorang budak muda yang tidak memiliki apa-apa.
Itu Pak Malim yang tak terlupakan.
Al Fatihah.