KLWBC 2020: Melihat sisi kasual bekas budak punk
Zainal Rashid Ahmad
Julai 27, 2020 09:30 MYT
Julai 27, 2020 09:30 MYT
SM ZAKIR secara peribadi lebih sebagai kawan, walaupun saya menghormatinya sebagai guru.
Personaliti yang pemurah ilmu, sentiasa bersikap kasual ketika memberikan teguran dan tidak skema dalam perbincangan menjadikan kecerdikan SM Zakir terasa enak dan berfungsi 360°.
Walaupun kasual, cara berfikir SM Zakir sentiasa tajam.
Lebih menarik, wataknya mesra sekalipun diajak bercakap soal yang serius mengenai sastera Melayu di meja kopi.
Saya memilih SM Zakir sebagai subjek "real" sastera. Sekadar mempelbagaikan kolum ini supaya tidak skematik dan statik.
Sastera tidak selalu dalam babak real akademik atau real polemik yang sudah terasa klisenya.
Ada kala tema yang lebih kasual, sedikit "happening" dan bersifat anti skematik membuatkan sastera terasa lebih hidup sebagai dan subjek yang real dan ada nilai organik.
Malah, dalam banyak keadaan, kita perlu menyedari suasana skema dan terlalu akademik sudah menjadikan sastera terasa basi.
Forum dan seminar tidak lagi boleh selamanya dipalsukan dengan kehadiran pelajar-pelajar yang diusung dengan bas.
Dipenuhkan dewan secara hipokrit dan pelajar diatur sebagai bidak memenuhi kerusi dewan.
Sedangkan secara realnya - konsep seminar dan forum yang skematik dan statik sudah ditolak.
Cuma, kita teruskan juga cara konservatif kerana bersikap "indenial".
SM Zakir yang 'real'
Mengenali SM Zakir hanya secara kebetulan sekitar tahun 2000 ketika berkunjung ke rumah Pena - berubah menjadi rakan.
Malah, kami tidak banyak berbual soal sastera kalau bertemu. Politik dan mitos Melayu masih topik pilihan.
Atau, saya memilih menjadi murid; mengumpannya mensyarahkan dengan tutorial sastera. SM Zakir aset terbaik bagi membuka fikiran dan kesedaran.
Visi dan opsyen sasteranya lebih pelbagai berbanding mentaliti saya yang tradisonal dan bergaya lama.
Bezanya, SM Zakir boleh mengubah mod intelek ke diagram kasual.
Pemikiran kreatifnya pula tidak dipacu delusi seni kerana SM Zakir terasuh menulis, berfikir dan berkarektor dalam sastera berasaskan acuan ilmu.
Saya menggelarnya sebagai sebilah pedang Melayu kontemporari. Bilahnya ditajamkan asahan ilmu dari dua sisi yang berbeza.
Pertama, ketajamannya pada karya-karya falsafah Islam dari Timur. Kedua, mindanya tekun menelaah falsafah moden dari Barat.
Ini melengkapkan sifat ilmu dalam karya-karyanya sebagai mata pedang yang tajam dan memiliki kehalusan ilmu Timur dan Barat.
Saya membaca kumpulan puisi terbaharunya (terbit April 2019); ditulis dari Baozang Yan.
Cerpennya sudah meruji dalam bacaan saya. Cuma, puisinya memerlukan pembacaan lebih berfokus.
"Rumah Yang Tumbuh Dari Bukit (LYTDB)" adalah buah tangan perjalanannya ke Taiwan pada 2018. Walaupun, secara lisan telah acap kali disyarahkan ketika kami berbual di meja kopi.
LYTDB satu bahan baru bagi menyelami lelaki yang pendiam ini, suka tersenyum, pandai menikam dalam bergurau dan boleh menjadi hiper riang serta banyak berbual kalau kena "gu".
Mencari SM Zakir yang intrique dan "jaz" tidak mudah. Itu bahagian dirinya yang paling tersembunyi.
Sifatnya yang tidak mudah memberi komen, tidak gemar bergosip dan mengkritik secara mengumpat dan melulu menjadikan SM Zakir tidak mudah "dibedah" di meja kopi.
Apa lagi SM Zakir punya prinsip: "Pengkritik tanpa risiko dan bercakap sekadar berasa pandai ialah sifat orang tidak berguna."
Sifat yang selalunya diperinya sebagai "nothing to lose" bagi mereka yang bercakap sekadar bersifat heroik. Atau cuba menjadi "attention seeker" secara murahan.
Membaca LYTDB terasa menemui SM Zakir dalam puisinya "Matahari di Mata Pagi".
Matahari hari ini bangkit
di mata pagi yang berpinar
setelah hujan merendamnya
berhari-hari tanpa henti
kehidupan seperti bangun
jaga dari tidur yang dingin
setelah terperangkap
di kamar-kamar bisu
(Petikan puisi)
Begitu cara SM Zakir melihat hidup; kasual dan lembut tetapi pada masa sama tajam menafsir dunia. Puisi ini satu sisi mantan budak punk ini menikmati sepi dan bisunya sebuah Baozang Yan yang asing baginya.
Ketajaman mata rasa mantan punk
SM Zakir memiliki deria luar biasa dalam mengulas dan mencari isi karya yang dibaca. Satu bakat alami yang diperkukuhkan minat membacanya yang tegar, meluas dan tiada sempadan.
"Istilah "urband legend" ialah naratif baharu yang menjadikan masyarakat kosmopolitan menciptakan mitos dan magisnya berdasarkan akar-umbi kehidupan moden yang terlepas daripada ikatan konvensional," katanya.
Kenyataan mengenai sisi baru "urband legend" dalam mitos sastera moden jadi lebih memikat apabila SM Zakir menyebut:
"Ia berlaku sendiri hasil urbanisasi dan muncul generasi baharu yang membina koloni magis berasaskan nilai mitos daripada lanskap kosmopolitan," katanya lagi.
Itu dua para cakapnya yang mengubah seluruh karya saya selepas pertemuan kasual di serambi Rumah Pena pada 2013.
Berbual sambil berdiri, SM Zakir menjawab soalan Rebecca Ilham ketika kami bersembang basa-basi.
Namun, itu momen yang mengubah karya saya kerana SM Zakir bercakap mengenai realisme baharu yang mencipta magis moden.
Serta naratif baharu "urband legend" yang lebih bersesuaian dengan epik magis masa kini.
SM Zakir dan persepsi hari ini
SM Zakir kekal kasual ketika saya bertanyakan mengenai masa depan sastera tempatan.
Terutama keprihatinannya untuk melihat generasi muda terus tumbuh dan kekal mapan.
"Sastera Malaysia berkembang dengan caranya sendiri. Ia terus melahirkan generasi muda yang menjanjikan," katanya.
Sastera Malaysia juga, katanya, kekal kuat. Peredaran waktu terus mematangkan runut sastera Melayu tanpa perlu ada sikap curiga.
"Bagi saya sastera kita kuat. Masa telah mengukuhkan karya-karya lama dan melahirkan karya-karya baru yang lebih hebat," katanya.
SM Zakir selalu kekal optimis. Perjalanan dan kembaranya di seluruh tanahair dan pendedahan pada banyak sesi sastera di rantau Nusantara dan Asia menjadikan "belahan pisau" pendapatnya relevan.
SM Zakir kekal komited melihat secara "insight" mengenai sastera tempatan.
Sifat anehnya yang suka membaca tiap karya dan menyimpan keratan akhbar cerpen hujung minggu sejak 30 tahun lalu - satu bukti dirinya komited.
SM Zakir prihatin meneliti dan menilai perkembangan menyeluruh sastera Melayu.
SM Zakir tidak obses pada karya sendiri. Malah, lebih obses membaca ruang keseluruhan karya sastera tempatan.
Satu lagi kelebihan uniknya ialah, SM Zakir tidak dibunuh "kelalokan akademik". Sebagai aktivis yang berada dalam "real scene", dia mampu melihat realiti sastera.
"Sastera dunia seimbang dengan sastera tempatan dalam mempengaruhi penulisan saya," katanya.
Satu pengakuan yang boleh dijangka kerana komitmennya pada pembacaan karya kreatif dan ruang bacaan ilmiah yang setiasa kompeten.
"Saya belajar di Penang Free School dan mula diperkenalkan dengan sastera Inggeris karya Edgar Allan Poe, R. L. Stevenson, Rider Haggard sebelum membaca karya-karya Ernest Hemingway, Nikolai Gogol dan berlanjutan pada yang lain," katanya.
SM Zakir sangat obses pada karya tempatan. Ini ketara selama 30 tahun apabila dia menulis dan menyampaikan pandangan sasteranya.
"Pada masa yang sama saya banyak membaca karya sastera Melayu terutama Shahnon Ahmad, A Samad Said, S Othman Kelantan, Azizi Abdullah dan Anwar Ridhwan," katanya.
Semua itu kata SM Zakir, memberikan dirinya pengaruh yang sangat seimbang.
SM Zakir sentiasa prihatin pada bakat muda. Satu sikap sastera yang diwarisi daripada senior yang rapat dengannya terutama Sutung Umar RS dan Dr. Othman Puteh.
Penulis muda pilihan SM Zakir
Puisi
Ainul Muaiyanah, Karim Mohd dan Quratul Ain.
Cerpen
Azrin Fawzi, Shafiq Ghazali, Rebecca Ilham, Muziru Idham dan Maslina Ngadiman.
Novel
Wan Nor Azriq, Ruhaini Matdarin dan Lokman Hakim.
Nota: Saya tidak boleh membayangkan pada usia remajanya SM Zakir pemuzik punk yang aktif mengadakan persembahan "underground" di bawah dan di atas bumbung bangunan.
Saya tidak ketawa. Inilah perjalanan kasualnya.
________________________________________________________________________________
* Penulis merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.