KLWBC 2020: Loloq si narator lirik seribu cerita

Zainal Rashid Ahmad
Mei 25, 2020 09:30 MYT
Loloq mengumpulkan ribuan buku merentas bacaan sastera, agama, ekonomi, pengurusan, politik, falsafah, perfileman, muzik dan majalah hiburan. - Gambar Facebook
(21 Mei 1958 - 30 Januari 2008)
PADA tahun 1987, ketika berusia 29 tahun - Rosli Khamis memulakan jejak sebagai penulis lirik. Waktu belum popular, anak muda bermata bakup dan berkaca mata tebal ini antara kaki debat di meja kopi Restoran Hameed, Pasar Seni Kuala Lumpur.
Itu "nature" biasa fasa awal anak-anak muda tumbuh menjadi seniman pada dekad 80-an hingga awal 90-an.
Pada era ini, forum sastera dan pentas bicara yang formal dikuasa para pemikir, sarjana dan seniman elitis.
Anak muda yang datang dengan idea-idea baharu dianggap sebagai pemikiran "kutu" hanya berforum di meja kopi.
Ini pilihan terbaik untuk berkembang dan mengejar cita-cita; kolaborasi dan berformasi serta saling bertukar idea dibiarkan berlaku di meja kopi.
Anak muda, tanpa nama tetapi muncul dengan filsuf seni yang rebel dan ambisi luar biasa, jarang diberikan ruang di pentas elit.
Pada era tanpa media sosial dan pemikiran media cetak dikawal oleh establishment, meja kopi satu-satunya pilihan yang ada sebagai forum terbuka untuk berdebat idea-idea aneh dan rebelious.
Antara yang paling rebel tentulah Loloq. Sebagai budak yang sukakan muzik.
Pada masa sama, dunia pop menolak sebarang bentuk kompromi dengan lirik-lirik lagu yang aneh dan terlalu "advance".
Seniman boleh ditindas, tetapi tidak mungkin dibunuh semangatnya.
"Aku heran kenapa orang masih anggap benda-benda pelik tak boleh ada dalam lirik sedangkan hidup ini beratus kali pelik dari yang boleh kita bayangkan," katanya.
Saya berusia 20 tahun ketika Pasar Seni dibuka pada 1987 dan menjadi tempat anak-anak muda pemburu kerjaya seni bertemu dan bersembang.
Kuala Lumpur kota seni dan anak-anak muda dari seluruh negara bertemu dan duduk berbincang soal idea-idea baru, sekali gus mengatur langkah memulakan kerjaya.
Mengenali Loloq itu sendiri pun sudah dikira menepati kata-kata sendiri. Dia bergulat dengan idea-idea aneh dan sukar diterima.
Loloq budak Singapura dan datang ke Kuala Lumpur dengan fikiran yang sangat jenuh dengan keriuhan mahukan pembaharuan.
Pada era itu, lirik lagu masih kekal puitis, skema, populis dan tidak terbeban dengan budaya berfikir. Malah, lagu-lagu rock kapak pun hanya keras pada muziknya. Lirik-lirik lagu masih kekal dengan royanan cinta.
"Hang Tuah boleh bercakap 10 bahasa dan itu 500 tahun lalu. Kita celik dua bahasa saja dan berlagak benar dengan sastera Inggeris," katanya selalu.
Itu hujah pertama apabila lirik-lirik yang mengangkat tema berat dan kata-kita klasik teks Melayu dianggap bombastik.
Sebagai "ulat buku", Loloq terdedah pada tema berat dan bahasa yang sangat sastera. Malah, idea terlalu dipengaruhi opsyen rebel John Lennon dan Jim Morrison.
Pada era itu, Pasar Budaya tempat bertembung pemikiran silang pengaruh. Cuma, majoritinya ialah anak muda yang aneh-aneh.
Antaranya Loloq yang versatil, Johari Hamid yang pakar dalam aliran sosialis, Zaen Kasturi yang pendiam tetapi cerdas sastera klasik serta Rahimi Harun pengumpul lukisan yang elit tapi sukakan anak-anak muda yang obses.
Loloq sangat "impress" dengan Zaen Kasturi yang sudah menulis puisi-puisi dan cerpen eksperimental.
Pada masa sama dengan akrab Johari Hamid penggila filem Francis Ford Capolla, Oliver Stone dan Guiseppe Tornatore.
Manakala Wan Hamidi Hamid, pakar sosialis dan perkembangan muzik rock klasik Barat.
Apabila terdedah pada sastera, antara 1987-1990, Loloq melanggan akhbar Melayu pada hujung minggu dan membeli akhbar Watan pada hari Rabu.
Semuanya kerana dipengaruhi sifat obses membaca cerpen dan puisi Melayu. Pada era itu, editor puisi dan cerpen lebih jauh keterhadapan dalam menerbitkan karya eksperimental.
Loloq lebih sukar menembusi dunia muzik pop dengan lirik-liriknya yang tidak cenderung pada nahu cinta.
Suasana bergebang di Pasar Seni berlarutan sampai 1990 dan sedikit mendingin pada 1995. Anak-anak muda datang dan pergi.
Sahabat yang mula melepak pada 1987 mulai pergi satu demi satu. Semuanya mula berjaya.
Rashdan Baharom yang selalu melepak sudah jarang muncul sejak menjadi vokalis Bloodshed dan popular dengan lagu "Srikandi Cintaku."
Aru Peruzza juga sudah jarang muncul sejak memimpin band Klaustafobia dan berjaya menjejak studio rakaman dengan irama black metal.
Aru beralih lebih jauh apabila nekad fokus dalam dunia indie melalui band Koffin Kanser dan Republic of Brickfield.
Wan Hamidi Hamid, guru sosialis kami dan abang besar dalam pustaka sejarah muzik rock juga jarang muncul kerana mulai sibuk sebagai wartawan Berita Harian dan aktivis Parti Sosial Rakyat Malaysia.
Kami mulai terasa kehilangan ramai penyumbang korum pada hujung minggu pertengahan dekad 90-an.
Kawan-kawan "debat meja kopi" yang memiliki pelbagai latar belakang mulai menanjak sukses dan berjaya dalam kerjaya.
Loloq juga mulai menghilang apabila cita-citanya tercapai pada 1990. Namun, sesekali tetap muncul hingga akhir dekad 90-an.
Tahun 1990 menjadi tahun keramat apabila budak aneh ini mendapat kontrak lumayan sebagai eksekutif lirik di Luncai Emas Sdn Bhd milik M. Nasir.
Siapa Loloq?
Namanya Rosli Khamis.
Sebut saja Loloq orang tahu itu nama legenda penulis lirik Malaysia.
Budak asal Singapura ini menjadi "game changer" dalam industri muzik tempatan apabila bergabung dengan M. Nasir di Luncai Emas.
Loloq selama hayat kerjaya seninya (1990-2008) menulis lebih 500 lirik dan 'killer' di sebalik lagu-lagu hebat M. Nasir.
Dia juga tukang naratif yang mengisi penceritaan aneh melalui lagu-lagu artis terkenal termasuk Ella, Search, Wing, Spider dan Hattan.
Paling hebat, hampir semua album dan lagu meletup M. Nasir, lirik-liriknya ditulis Loloq.
Budak mata bakup yang pernah mengisi zaman debat meja kopi di Pasar Budaya, kekal terkenal sebagai anak muda yang 'hyper' dalam perbualan.
Sampai akhir hayatnya, Loloq selalu provakatif dan debatnya menyiksa otak dan fikiran kawan-kawan.
Kalau berbual, pandangan yang dikemukakannya selalu aneh, liar dan enggan berpijak pada titik yang terlalu pasti.
Loloq pengagum teks klasik Melayu dan pada masa yang sama mengakui sumbangan John Lennon sebagai tokoh pemoden penting dalam eskpresi seni muzik kontemporari.
Dia taksub pada bakat Hang Tuah yang mahir 10 bahasa, tetapi mengaku idea Karl Marx mengenai ekonomi sosialis sangat relevan bagi negara yang buta hak asasi.
Itulah Loloq. Walaupun sudah popular pada dekad 2000-an, dalam sesi temu bual terakhir dengan Harian Metro sebelum meninggal dunia (wawancara disiarkan selepas Loloq meninggal), budak 1,000 fikir ini menyebut Zaen Kasturi sebagai guru bahasanya.
Zaen Kasturi dalam perbualannya banyak membantu Loloq mengaplikasikan segala kecintaannya pada sejarah Melayu.
Loloq menyintai kamus bahasa dan teks klasik dalam premis lirik kerana tips Zaen Kasturi. Bahawa menguasai cerita dan kosa kata adalah keutamaan sebelum menyerapkan kata-kata pelik dalam puisi dan cerpen.
Setiap kali berbual, Loloq akan mengumpan Zaen Kasturi untuk bercerita.
Ini proses perbualan meja kopi yang 20 tahun kemudian, Loloq menceritakannya sebagai proses "berguru" kepada Zaen Kasturi.
Loloq selalu obses dan ingin tahu pada model yang digunakan Zaen Kasturi. Satu teknik dalam menghidupkan semula simbol dan naratif klasik dalam cerpen dan puisi moden.
Membaca siaran wawancara yang disiarkan pada Februari 2008 itu, membuatkan saya sedar dan faham. Betapa tekun Loloq dalam proses pembelajaran di meja kopi.
Malah, dia sentiasa belajar dan belajar hingga ke akhir hayat.
Kami bertemu kali terakhir di warung Selangor Mansion. Dia masih agresif berdebat soal Islam dan sejarah Asia Tengah ketika saya baru pulang mengembara di Pakistan, Afghanistan, Uzbekistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Turkimenistan.
"Aku kecewa setelah melihat Afghanistan dan Asia Tengah musnah selepas 1,200 tahun menjadi empayar Islam," kata saya.
"Kecewa kau lagi teruk berbanding realiti. Sebab kita kecewalah keadaan musnah dan terus musnah," balasnya.
Kami berbual lama antara jam 11 malam hingga 3 pagi. Sebelum Loloq pulang menumpangi kereta temannya.
Loloq pada dekad awal kerjaya
Pada 1987 hingga 2004, selepas melepak di Pasar Seni, saya selalu menemaninya berjalan kaki menuju Hentian Puduraya.
Sepanjang jalan, Loloq masih berhujah mengenai Marxisme.
"Bukan semua ideologi komunis jahat. Kau tengok nasib orang jalanan ini, nasib kaum marhaen inilah yang membuat Marxist jadi simpatisan sosial," katanya.
Saya tidak ingat tarikh perjalanan itu. Cuma, sampai ke awal 2000-an ketika kami masih kerap bertemu, walaupun masing-masing sudah sibuk bekerja, saya akan menemaninya berjalan kaki ke Hentian Puduraya.
Uniknya Loloq ini, ketika sudah berduit dan glamor pun, bas di Puduraya masih menjadi kenderaan utama untuk berulang-alik dari KL ke rumahnya di Sungai Buluh.
Barangkali kerana kami sama-sama membenarkan beberapa idea sosialis, dia menumpukan perbualan pada tema tersebut.
Apa lagi ketika menyusur jalan ke Hentian Puduraya. Kami akan melihat imej tukang kasut, penjaja makanan, pengemis dan gelandangan di sepanjang laluan.
Kami bertukar jalan antara merentasi Hentian Bas Kelang, atau Komplek Kotaraya, atau Jalan Petaling.
"Aku kena cepat. Bas terakhir 11 malam," katanya.
Loloq: melihat hidup, buku dan kamus
(Catatan Ku Seman Ku Hussain pada 3 Februari 2008: Loloq antara Andalusia dan Sup Selipar)
Lagu Andalusia diciptakan M. Nasir, liriknya oleh Loloq dan dinyanyikan M. Nasir sendiri.
Andalusia membawa kita menjejaki mimpi-mimpi silam era kegemilangan kerajaan Islam di Andalusia (kini Sepanyol).
Tetapi kini kegemilangan itu telah hilang dan Loloq menulis, “Biarkan warna kubah-kubahmu kian pudar, untukmu setanggi ini kubakar.”
Sehari selepas Juara Lagu 1999, saya menghubungi Loloq dan berkata, “Tahniah, lirik masterpiece kau berjaya.”
Loloq membalas, “Kita jangan jadi Andalusia.”
(Petikan siaran Ahad, 3 Februari 2008)
Setelah Loloq meninggal, rakan-rakan wartawan termasuk Zainuri Misfar dan Rodzan Mazalan turut menulis:
Apabila menghayati seni kata yang ditulis oleh Loloq, sering kali kita akan menemui perkataan baru yang kadang-kadang tidak pernah kita dengar.
Itulah kelebihan dan keistimewaan Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis ketika berkarya yang agak 'gila-gila' apabila menggunakan bahasa.
Penulis lirik ini juga pernah mengaku mempunyai minat mendalam terhadap bahasa Melayu yang dianggapnya sebagai satu bahasa agung pada zaman kegemilangan raja Melayu.
"Saya kagum dengan Hang Tuah yang boleh bertutur 10 bahasa. Begitu juga dengan nama Tun Sri Lanang.
"Setiap perkataan itu ada maknanya sendiri. Tun bermakna tuan, Sri bermakna bercahaya dan Lanang adalah lelaki. Begitulah tingginya orang Melayu dulu apabila berkias."
(Petikan Belasungkawa Loloq: Hilangnya penulis kreatif. Siaran Berita Harian 31 Januari 2008).
Begitulah Loloq dikenang rakan wartawan. Malah, puluhan nota tribut ditulis rakan karib di blog dan media sosial tiap kali mengenang hari kematiannya pada tiap 30 Januari.
Loloq unik kerana sifat obsesnya pada pembaharuan dan kepelbagaian tema dalam naratif liriknya. Semua proses ini tercanai melalui pergaulan yang luas serta desakan mahu melihat pembaharuan.
Dia bukan armchair writer.
Selain minatnya pada buku sejarah serta kecintaan pada teks klasik, Loloq sentiasa berpegang pada prinsip: tiap lirik mesti ada pembaharuan.
Dia suka provokasi dan gemar berdebat. Sentiasa bersikap setuju untuk tidak bersetuju dengan banyak pendapat.
Loloq percaya: berkongsi sudut pandangan kehidupan ialah buku terbaik. Manakala, buku bacaan pula sebagai alat meluaskan lagi seni naratif mengenai kehidupan.
Bukan aneh kalau Loloq menggemari Leo Tolstoy dan Buya Hamka. Bukan aneh juga kalau dia suka sejarah Roman Greek dan empayar Islam Andalusia.
Dia gemar bicara soal Rabindranath Tagore dan Raja Ali Haji. Malah, dia gemar pada kedua-dua teks penulis religus ini.
Narator lirik seribu cerita
Loloq hidup dalam seribu cerita. Keberaniannya bergaul menjadikan dirinya sentiasa tekad dan nekad mencuba banyak perkara.
Loloq juga pelopor yang memulakan kumpulan penterjemah drama asing pada 1996.
Loloq mencuba semua medium dengan pembaharuan dan sebagai peluang meluaskan pergaulan. Dia menulis skrip filem "Merah" pada 1997.
Loloq turut berlakon sebagai peluang menjadi cepat celik dalam bidang perfileman yang juga antara minat utamanya.
Dia berlakon filem "Sara" (2001), "Embun" (2002), "Lang Buana" (2003), "Man Laksa" (2006) dan "Zombi Kampung Pisang" (2007).
Loloq merentas multi pergaulan kerana mahu membeli pengalaman. Dia bergaul dengan sesiapa saja dan menjadikan dirinya kaya dengan kawan-kawan di mana saja.
Dunianya bukan selingkar pergaulan dengan artis famous seperti M. Nasir, Search, Wing, Spider, Ella dan Hattan.
Loloq punya ramai kawan di Pasar Seni dan warung mamak Selangor Mansion.
Dia mesra dan prihatin melihat manusia marginal di Hentian Bas Kelang, Hentian Puduraya, Kompleks Kotaraya dan pusaran Jalan Petaling.
Loloq melihat naratif seni sebagai subjek yang real dan diperluaskan lagi dengan kegilaan membaca yang tidak dibina dengan batas dan sempadan.
Loloq mengumpulkan ribuan buku merentas bacaan sastera, agama, ekonomi, pengurusan, politik, falsafah, perfileman, muzik dan majalah hiburan.
Walaupun suka bertekak dan sangat provokatif, dia akan ketawa besar apabila ideanya disanggah dengan munasabah.
Dia hyper dan sentiasa obses untuk selalu merentas pergaulan dalam hidup. Tiada manusia yang diabaikan dan tidak digaulinya.
Watak-watak real dalam hidup dan idea jelmaan hasil pembacaan, memberikan kekayaan luar biasa dalam caravan karyanya.
Koleksi liriknya jadi bukti. Lihat pengembaraan rebelnya dalam lirik "Kau Bukan Brader" dan "Awang Trasher" (Wings).
Kelembutannya dalam "Nur Nilam Sari" (Awie & Search), "Di Ambang Wati" (Wings), "Asli Dan Tulus" (Search), "Laila Namamu Teratas" (Search) dan "Ratu Sanubari" (Saleem).
Rebelnya berulang lagi dalam "Neo Romantik" (Search), "Zen-Bikin Wilayah" (Search), "Gemuruh" (Search & Wings) dan "Melastik ke Bintang" (Search).
Dia tradisionalis dalam "Mantera Semerah Padi" (M. Nasir), "Kias Fansuri" (M. Nasir), "Langgam Pak Dogo" (M. Nasir) dan "Tanya Sama Itu Hud Hud" (M. Nasir).
Luasnya pergaualan Loloq ketara dalam dalam lirik "Kita Peng-Yu" (XPDC), "Tak Nak Jadi Soh Chai" (Spider), "Laukku Cukup Masin" (Spider), "Kasih Latifah" (Spider), "Cinta Dewa-Dewi" (Spider), "Aladin" (Spider), "Kacap Terlabik" (Spider) dan "Cinta Tak Keruan" (Amigos).
Tiga lirik terbaiknya pada saya ialah:
Raikan Cinta
"Berapa dalam harus kugali tanah ini, harus kugali
Untuk bertemu permata nilai sejati, nilai sejati
Baru kupulang ke kampung sentosaku
Baru tercapai segala maksudku
Perahuku menghala ke hulu kuala jua kusua, jua kusua
Kau lihat aku, aku pula lihat dia samakah kita
Ke sana ke sini lari-lari kecil
Bagai Siti Hajar mencari air
Terpancur sinar di kering pasir
Bekas hentakan kudus kaki Ismail"
(Petikan lirik Raikan Cinta 2001)
Walaupun dia tidak nasionalis dalam banyak perkara kerana sifatnya jelasnya yang humanis dan pro sosialis, Loloq kekal kaya dalam naratif Melayunya.
Mantera Semerah Padi
"Hei! kersani mengalir lah dikau
Menjadi raksa
Mengisi belikat punggungku
Agar aku bisa berdiri
Tegap dan segak
Bagaikan laksamana Melayu
Hei! Sepuluh helai daun sirih
Ku gentas bersama
Bunga cengkih jadilah dikau
Darah merah pekat mengisi uratku
Agar bisa ku berlangkah
Gagah dan tampan
Bagaikan si jantan yang berkokok"
(Petikan lirik Mantera Semerah Padi 1993)
Sebagai pencari hidup yang galau 1987-2000, Loloq mula dipengaruhi nilai Islami yang menjadi pegangannya sejak tahun 2001.
Loloq menulis Kias Fansuri.
"Jangan sesekali kau ceritakan
Pengalamanmu Yusuf
Takut-takut mengundang bencana
Siapa tahu
Betapa berat cinta yang ditanggung
Sehingga dia sanggup lakukan
Biar apa saja demi mendapatkan
Restu Sultan cahaya hatinya
Tak sia-sia azam Zulaikha
Bisa jadi cermin mengintai jiwa
Tak sia-sia mimpi Zulaikha
Bisa jadi lorong insan bercinta"
(Petikan lirik Kias Fansuri 2001)
Sebagai bonus, saya lebih meminati lagu Langgam Pak Dogo, liriknya yang kurang popular.
"Rindu menikam dek cinta Sita
Hilang bekas hilang sisa amarah
Bongkar akar bongkar mimpi Suralaya
Datang bingung berpaulan diambang yuda
Ajak menung bawah panji wilmana
Apa hikmah tersemat di balik perintah!
Temu hulu hilir menyusur
Adat hidup temukan mati
Jangan tuan terus masygul (duk nengu sugul)
Adat wira harus tahan uji"
(Petikan lirik Langgam Pak Dogo 2001)
*Pergi sudah sahabat tercinta
Pada saya hanya ada tiga penulis lirik terhebat. Bob Dylan di Amerika Syarikat dan Iwan Fals di Indonesia.
Dua nama ini masih hidup dan kekal berjuang sebagai seniman naratif sosial yang berpengaruh dalam muzik moden.
Seorang lagi ialah Loloq. Dia sudah tiada tetapi karya-karyanya terus membugar dalam rak muzik dan lirik Malaysia.

* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

#2020 #Buku #Dunia #Ibu Kota #KLWBC #Kuala Lumpur #lirik #Loloq #Mentera Semerah Padi #Nurbisa #penulis #Raikan Cinta #Rosli Khamis
;