KLWBC 2020: Histeris Jack Malik & Aliff Awan

Zainal Rashid Ahmad
Februari 17, 2020 10:10 MYT
Bakat dan stail baca puisi Jack Malik sangat segar dan penuh dengan elemen pembaharuan dan relatif "pecah tabu."
PERTAMA sekali apabila berfikir mengenai KLWBC 2020 - ia bukan semata-mata berkisar pada penyusunan acara dan jenama program sahaja.
Kalau sekadar berheboh dengan publisiti mengenai acara dan jenama - ia sikap lama yang sudah dianggap skema dan stereotaip.
Dalam dimensi KLWBC 2020, nilai kejayaan juga perlu diukur dengan potensi mendapatkan "sumber aset masa depan."
Aset yang berpotensi sebagai nilai tambah bagi merancakkan dunia perbukuan dan pembacaan.
Ertinya - kita berfikir: Bagaimana KLWBC 2020 yang akan dilancarkan pada 23 April nanti, mampu menghasilkan "sumber manusia" yang mampu meletupkan dunia buku.
Dalam teori pengurusan disebut: "Tanam dan tuai. Anda menyemai benih pada hari yang tepat dan tahu bila musim menuai hasil bermanfaat."
Selain acara dan jenama, apa yang kerap terlintas dan terasa lebih perlu diburu dalam KLWBC 2020 - ialah wajah-wajah hero baharu demi masa depan perbukuan dan pembacaan.
Mencari watak dan hero KLWBC 2020 tidak mudah seperti membayangkan Gore Verbinski menemukan Johnny Depp sebagai Jack Sparrow.
Sekali gus menjadikan francais filem "Pirates Of The Caribbean" sebagai antara titralogi paling berjaya di dunia.
Atau kembali memikirkan: Betapa tajam mata Francis Ford Capolla ketika membayangkan keupayaan Andy Garcia sebagai wajah akhir "The Godfather III" (1990).
Siapa watak hero pasca KLWBC 2020
Istilah hero dalam konteks ini janganlah sampai dilatahkan pula.
Hero atau "orang muda" dalam istilah ini bukan ke tahap melobi bakal Sasterawan Negara.
Hero dalam konteks KLWBC 2020 satu usaha meluaskan platform mencungkil dan mempromosi bakat muda.
KLWBC 2020 mempunyai banyak acara berdaya promosi. Cuma, dalam konteks mencari hero - kita berharap dapat menemukan bintang yang mampu menerangi minat khalayak awam.
Seseorang atau beberapa orang yang keterampilan kreatifnya mampu menjadi jambatan untuk menarik minat khalayak mendekati buku.
Imej atau figura atau hero baharu ini mesti mampu menarik respon umum agar melihat perbukuan dan pembacaan sebagai unik dan sensasi.
Heronya juga mesti ada karismatik mempromosikan dunia perbukuan secara cool dan seronok.
Budaya buku dan baca tidak mampu merentas garisan awam sekiranya diberatkan seminar atau sesi diskusi dengan topik bombastik.
Ketika berlegar-legar dan berfikir untuk mencari wajah-wajah baharu hero muda KLWBC 2020 bagi tujuan aset promosi - muncul nama Jack Malik dan Aliff Awan.
Siapa Jack Malik?
Oh! Orangnya sangat unik. Imej keterampilan nampak aneh dan selekeh serta "pecah pintu" (maaf bro Jack Malik... hahaha).
Namun, bakat dan stail baca puisi Jack Malik sangat segar dan penuh dengan elemen pembaharuan dan relatif "pecah tabu."
Jack Malik seperti miniatur James Dean dalam bobot rebel era "The Angry Young Men."
Jack Malik anak muda yang berani dan dedikasi. Setelah tiga dekad dunia baca puisi Malaysia terasa sebal dan tepu, Jack Malik muncul mewakili koloni baharu.
Puak "spoken word" koloni Jack Malik mengekspresikan eksperimen baca puisi yang lebih dinamik dan agresif.
"Cara ini bukan baru.
"Spoken words" dalam sastera Barat sudah lama berkembang. Serentak dengan munculnya koloni muzik rap di Amerika Syarikat," kata Jack Malik.
Segera saya teringat Eminem dan Tupac Shakur - dua penyanyi yang menakluk suara rebel muzik non pop pada dekad 90-an.
Eminem atau Marshall Bruce Mathers III berusia 16 tahun ketika muncul di pentas rap pada tahun 1988.
Ketika muzik ballad dan pop rock masih menguasai carta 100 Billboard, Eminem menggemparkan dunia muzik sebagai rapper kulit putih yang dinamik dan kontroversi.
Bakat dan ideologi "spoken word" Eminem berkembang pantas di genre rap.
Rap "spoken word" Eminem keras dan anarkis. Namun, mewakili generasi Y yang berjuang mencari semula nilai-nilai kekeluargaan dan kemanusiaan.
Sejarah muzik dunia tidak boleh mengabaikan kehadiran Eminem sebagai penyanyi, penulis lirik, komposer dan pelakon sohor.
Malah, tanda dagang Eminem ialah keberaniannya melakukan pembaharuan.
Budak ganas kelahiran Misouri ini muncul dengan tema lirik rap yang merubah konvensi idea gengsterism dan sensasi seksual ala rapper Afrika Amerika.
Eminem menyeret dunia untuk melihat rap secara serius. Walaupun penyanyi kulit putih pada waktu itu dianggap makhluk asing dalam dunia rap.
Dua budak asing dalam pentas sastera Malaysia
Begitu juga Jack Malik dan Aliff Awan. Dua budak mentah ini dianggap makhluk asing dunia sastera konvensional.
Puak konservatif menganggap - bakat dan stail dua budak aneh ini tidak mewakili "mood" baca puisi Malaysia yang bernada melankolik dan dramatik.
Padahal, kita sudah lama berasa loya menghadiri majlis baca puisi tempatan.
Walaupun 100 nama naik turun pentas, persembahannya stereotaip. Terasa seperti menyaksikan seorang deklamator yang muncul dengan 100 kostium berbeza saja.
Baca puisi sangat tipikal dan membosankan. Kita seperti berdiri di tepi rel dan mendengar dengung keretapi yang sama sejak tiga dekad yang lalu.
Jack Malik dan Aliff Awan DNA baharu
Jack Malik dan Alif Awan melepaskan diri dari rantai ikatan baca puisi warisan lama.
Stail melankolik atau emosi picisan gaya patriotik sudah menjadikan pentas baca puisi seperti siaran ulangan.
Melihat sekilas stail Jack Malik dan Aliff Awan - paling tidak dua anak muda ini mengubah gaya kebangkitan 80-an yang dibawa Marzuki Ali dan Puzi Hadi dan Marsli NO.
Jack Malik dan Aliff Awan bebas daripada pengaruh ingin menjadi WS Rendra, Remy Sylado, Sutardji Calzum Bachri atau Hose Rizal Manua.
Dua anak muda dan sisi wajah KLWBC 2020
Selain buku dan baca, KLWBC 2020 diwarnai acara fizikal. Pelbagai acara lapangan yang dijadikan strategi bagi mempromosikan buku dan baca kepada khalayak awam.
Tetapi, tanpa aset fizikal yang hidup, tentulah sukar mempromosi tarikan yang terisi di dalam sebuah buku.
Istilah menjuruskan khalayak kepada KL Baca, harus memiliki tarikan awam. Trendnya mesti memikat nilai dalam buku. Ertinya, buku dipromosi melalui aksi persembahan fizikal.
Dari situ timbul idea menjadikan Jack Malik dan Aliff Awan sebagai suara muda KLWBC 2020.
Gaya baca puisi dua anak muda ini wajar dipromosi, diperhebah dan diangkat ke khalayak sebagai tarikan nilai KL Baca.
Kalau sesi bacanya menawan, kita harap sesi bukunya juga memberikan pesona pada khalayak awam.
Jack Malik dan Aliff Awan adalah aset untuk komunikasi popular. Sisi yang memberi ruang kepada masyarakat melihat elemen fizikal dalam spiritual pembacaan.
Remaja akan suka stail Jack Malik dan Aliff Awan. Dua nama ini akan mewakili DNA baru baca puisi.
Sekali gus memberikan isyarat baca puisi di negara ini sedang membebaskan diri daripada ikatan gaya konvensional yang terlalu lama membeku dan menepu.
Menonton Jack Malik di Youtube agak melucukan. Fenomena warna pakaiannya sudah cukup memberikan gambaran elemen berani yang kontras dan kasual.
Jack Malik betul-betul anti skematik dan melankolik. Gayanya rebel dan kontras dengan cara baca puisi selama ini.
Jack Malik mencairkan glasier kutub utara yang membekukan pentas baca puisi Malaysia.
Teaterikal masih elemen Jack Malik. Namun, pembaharuan ketara ialah kreativiti anak muda ini manipulasikan set dan prop.
Malah, kemunculan membaca puisi di Pasar Karat Loken di Jalan Harley, Ipoh sudah cukup menggambarkan satu kemahuan yang berbeza.
Pasar Karat Loken terkenal sebagai tempat peniaga dan pembeli berurus niaga barangan antik, barangan lama dan barangan terbuang.
"Saya mula aktif 2015 dan banyak sertai open-mic dan acara puisi di sekitar KL, antaranya Rantai Art dan If Walls Could Talk," kata Jack Malik.
Di pentas dan di Youtube, anak muda berusia 26 tahun ini nampak ganas. Realitinya berbeza ketika bertemu empat mata di Akademi Anai-anai.
Jack Malik sangat sopan dan tertib.
Mengenai prmbaharuan dan stail baca puisinya yang aneh, Jack Malik menjawab dengan nada mudah.
"Deklamasi tidaklah perlu berubah per se. Cuma, cara pengucapan mungkin boleh ditunjukkan bahawa pembacaan puisi boleh dilakukan tanpa menggunakan ‘suara pemuisi’ atau secara mudahnya pendeklamasian puisi boleh sahaja lenggoknya santai dan seperti percakapan harian," kata Jack Malik.
(Jawapan Jack Malik bunyinya mudah. Hahaha. Sebenarnya tanpa pengetahuan seni pentas, payah juga nak menghadam interpretasi ini).
Jack Malik mula aktif pada 2015 dan menyertai pasukan Malaysia yang memenangi Causeway Exchange Poetry Slam 2016.
Acara yang menyaksikan penyajak Malaysia dan Singapura berlaga antara satu sama lain. Konsep laga puisi ala koloni sekarang.
Selain itu, Jack Malik aktif dalam kolektif artis Projek Rabak dan Ipoh City of Love.
Jack Malik muncul secara persendirian dengan buku Wannabe Sasau (2019) diterbitkan Rabak-Lit.
"Walaupun KLWBC 2020 di Kuala Lumpur, saya ingin ke Perlis, Kedah, Kelantan, Sabah, dan Sarawak untuk melengkapkan jelajah puisi," kata Jack Malik.
Saya cuba menghubungi Aliff Awan. Cuma, budak retro afro ini tidak sihat setelah pulang bercuti dari India.
Inshaallah. Moga segera sembuh. Nantikan wawancara dengan Alif Awan.
(Saya hairan kenapa budak ini suka memukul kepalanya ketika membaca puisi. Hahaha.)

Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain. Zainal Rashid Ahmad juga pernah memenangi 38 hadiah sastera.

Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#Aliff Awan #Gore Verbinski #Jack Sparrow #jenama program #Johnny Depp #KLWBC 2020 #penyusunan acara #Pirates Of The Caribbean #Tanam dan tuai
;