KLWBC 2020: Facebooker sastera Dr Fahd Razy
Zainal Rashid Ahmad
Jun 12, 2020 09:30 MYT
Jun 12, 2020 09:30 MYT
TUKANG puisi nama yang "catchy", mengembalikan istilah tukang atau "pandai" yang sinonim dengan gelar kepada seorang yang ahli dan mahir dalam bidangnya.
Apabila nama ini dipilih sebagai Fanpage Facebook yang mempromosi perkongsian karya sastera terutama puisi dan artikel yang berkaitan dengannya, ia menimbulkan pesona luar biasa.
Strategi pengasas Tukang Puisi, Dr Fahd Razy sangat unik dan memiliki jenamanya yang tersendiri.
Aplikasi Facebook dalam konteks perkongsian karya dan penyebarluasan bahannya lebih efisien berbanding model portal.
Facebook menyediakan rentas cantum yang lebih luas, jangkauan cara mudah serta respons pembaca yang interaktif.
Dr Fahd menjadi Facebooker yang membina khalayak penulis dan pembaca dalam satu komuniti netizen yang boleh berinteraksi secara "real time".
Menikmati puisi secara interaksi maya
Tukang Puisi memang "penjejak bakat" kerana sifat utamanya yang memberikan fokus kepada karya penulis muda. Malah, membina armada penulis dan khalayak pembaca yang berfokuskan karya puisi.
Facebook ini satu fenomena apabila membina 30,000 khalayak maya yang aktif berinteraksi antara muatan karya penulis dan respon pembaca.
Istilah aktif yang dimaksudnya ialah, komitmen dan keupayaan editor/operator Tukang Puisi memuat naik secara konsisten antara 2 hingga 5 hantaran bahan setiap hari.
Dalam teori dan panduan strategi pengasas dan CEO Amazon, Jeff Bezos - elemen konsistensi dalam muat naik bahan adalah strategi kedua terpenting.
Selain komitmen memberikan kepuasan dan keselesaan kepada pelanggan/khalayak - muatan karya yang berjadual dan aktif adalah syarat utama membina budaya peluasan khalayak digital.
Memandangkan Fanpage Tukang Puisi ialah khalayak puisi - ia berkesan kerana majoriti penulis dan pembaca awam di platform media sosial lebih akrab dengan puisi.
Malah, tanpa kawalan rigid serta sifat peribadi Dr Fahd yang menjadikan jenama Tukang Puisi sebagai "simple dan kasual", ringan dan awami - Tukang Puisi memenuhi kriteria membina pencarian bakat penulis baru dan peluasan khalayak pembaca muda.
Selain kelebihan strategi demografi cara Dr Fahd, aplikasi Facebook turut menyediakan sistem paling mudah untuk mengukur interaksi dan perkongsian sesebuah karya.
Tentulah mengejutkan apabila seorang penulis muda yang baru pertama kali dicungkil bakatnya di Tukang Puisi - mampu mencapai rentas melebihi 5,000 kali bacaan di dalam talian
Kaedah aplikasi sukaan dan kemudahan rangkaian perkongsian yang menjadi kekuatan Facebook satu bonus.
Aplikasi data algoritma sangat penting sebagai katalis objektif untuk melihat respons khalayak secara faktual.
Sebuah puisi Sasterawan Negara belum tentu mampu memcapai 13,000 bacaan secara rentas puisi selama hayat bukunya dicetak.
Tetapi di Tukang Puisi - itu angka rentas bacaan yang menjadi tanda aras sekarang.
Menjengok Tukang Puisi setiap hari adalah tabiat saya sejak mengenali page ini pada pertengahan Mei lalu.
Terperap dalam kurungan Perintah Kawalan Terhad (PKP) menjadi waktu xplorasi di platform digital semakin meluas.
Selain kekal menonton kandungan Youtuber Deddy Corbuzier, Merry Riana, Gremlin dan Najwa Shihab - saya memilih meninjau persekitaran sastera di media sosial.
Apa lagi pada Ramadan lalu, Facebook Tukang Puisi bergerak selangkah ke depan dengan format "TV"; melalui segmen Moreh Puisi.
Pengunaan aplikasi Stream Yard yang dimuat turun ke Facebook dan tersebar bagi mengisi program bual bicara rentas lokasi, Moreh Puisi sangat berjaya meluaskan genre puisi secara langsung di Facebook.
Minggu ini, saya memilih Dr Fahd - seorang doktor perubatan, penulis, penerbit dan pengasas/editor Tukang Puisi sebagai subjek ke 39 bagi kolumn KLWBC 2020.
Berikut adalah enam soalan dan enam jawaban melalui Whatapps.
SOALAN: Saudara menyediakan platform atas talian melalui media sosial Facebook sebagai majalah digital yang komprehensif untuk genre puisi. Bagaimana idea ini lahir?
DR FAHD: Tukang Puisi dilahirkan oleh evolusi tabiat membaca masyarakat sendiri yang semakin menumpu ke arah platform digital dan media sosial.
Wujud trend penulis untuk menyiarkan tulisan sama ada berbentuk puisi, cerita pendek, atau status dan ulasan bersifat semi-kritikan tentang hal buku, sastera, dan penulisan di Facebook dan platform yang lain.
Cuma kontranya berbanding platform bercetak konvensional adalah tidak wujud saringan atau penilaian oleh pihak kedua seperti editor menjadikan mutu karya yang disiarkan sangat rencam.
Sesiapa saja boleh menyiarkan tulisan di Facebook. Tulisan-tulisan ini juga berselerak di pelbagai tempat, khalayak pembacanya terpecah-pecah.
Dari sini datang idea ‘Tukang Puisi’ yang memanfaatkan perubahan budaya membaca semasa dan dalam masa yang sama berfungsi seperti sebuah majalah - iaitu kompilasi bahan khasnya puisi yang melalui penilaian dan saringan oleh editor dalam satu halaman khusus.
Berbanding genre penulisan lain, niche puisi agak kecil menjadikan ia sangat penting untuk mengumpulkan para pembacanya secara berkesan dalam satu platform yang khusus.
SOALAN: Facebook Tukang Puisi dilihat sebagai paling berjaya dalam memberikan akses meluas kepada penulis baru berkarya. Apa pendekatan saudara gunakan sebagai editor yang mengendalikan kandungan?
DR FAHD: Sebenarnya penyertaan ‘Tukang Puisi’ terbuka kepada semua, bahkan ada puisi dari penulis Singapura dan Indonesia. Tiada had umur.
Mungkin platform serta pendekatan yang digunakan ini lebih mesra penulis muda (dan baru) berbanding penulis senior yang masih memilih ruang konvensional, maka majoriti karya diterima adalah dari generasi baharu ini.
Untuk menjadi relevan dan credible, pertama, ‘Tukang Puisi’ perlu mengekalkan kualiti puisi yang disiarkan.
Peranan editorial kritikal. Selain saya, ada beberapa rakan penulis yang turut membantu dalam pemilihan puisi.
Cuma cabarannya, kadangkala dalam tempoh masa tertentu, kami ‘kekeringan’ hantaran puisi yang melepasi keperluan aras kualiti yang diharapkan ini.
Kedua, sebagai alternatif kepada penerbitan sastera konvensional maka kandungan, bentuk,dan tema puisi yang disiarkan lebih bebas.
Tidak kira konvensional atau eksperimental, karya yang bersifat peribadi atau dritikan sosial, yang mana jika dihantar ke akhbar atau majalah kemungkinan besar akan ditolak.
Ketiga, selain kompilasi puisi yang berkualiti, ‘Tukang Puisi’ diharap menjadi ruang belajar dan kritik kepada peminat puisi. Sebahagian puisi akan diberi ulasan langsung oleh penilai.
Tip penulisan serta tulisan berkaitan sastera dan isu semasa turut dimuatnaik. Sebagai pedoman,segmen ‘Puisi Pilihan’ turut memuatkan puisi yang majoritinya pernah tersiar oleh penulis mapan dan terbukti kekuatan karyanya.
Keempat, satu strategi untuk meningkatkan interaksi pembaca adalah dengan mewujudkan ‘mini-sayembara’ bulanan yang dipanggil ‘PisauPuisi’.
Pembaca boleh menulis puisi mengikut tema yang ditetapkan pada tempoh tertentu di ruang komen.
Hadiahnya kecil, tapi jangan terkejut dengan jumlah dan kualiti penyertaannya.
Kelima, puisi tersiar tidak hanya kekal dalam skrin, sebaliknya diterbitkan dan mempunyai kelebihan yang sama (mungkin lebih) dengan karya yang diterbitkan melalui media konvensional lain.
Melalui kerjasama KataPilar Books, naskhah antologi puisi bercetak diterbitkan secara bersiri yang sehingga kini sudah masuk siri keempat.
SOALAN: Selain formula siaran, medium Facebook menyediakan komunikasi likes dan share. Apakah ini alatan tambahan dalam membantu penilaian dan penyebar luasan karya?
DR FAHD: Puisi yang tersiar di akhbar dan majalah mungkin tidak dibaca (walaupun dibeli dan dibelek) tetapi ‘Tukang Puisi’ mempunyai sasaran audiens yang sangat khusus iaitu: pembaca puisi (follower Tukang Puisi).
Ini antara kelebihan utama ‘Tukang Puisi’. Statistik siaran setiap puisi juga boleh dianalisis dengan terperinci.
Contohnya puisi Zurinah Ismail berjudul Apabila Kukatakan: Emak, Aku Hanya Mahu Membaca Buku (yang mencatat rekod tertinggi ‘Tukang Puisi’) telah dilihat sebanyak 48,326 kali dengan 1,535 likes, dan 342 shares.
Dalam lingo semasa, puisi itu telah: ‘viral di Facebook!’ Ada beberapa puisi lain yang turut mencapai engagement pada skala viral.
Secara purata puisi yang disiarkan di Tukang Puisi melebihi 150 likes serta melebihi 3,000 capaian sekali gus menjadi antara tarikan penulis untuk menghantar karya.
Sekurang-kurangnya Tukang Puisi boleh berbangga kerana memviralkan tulisan yang selayaknya kepada masyarakat.
Data sebegini memberi gambaran tentang saiz, reaksi, dan kecenderungan pembaca sekali gus
membantu perancangan dalam penyiaran karya-karya seterusnya.
Ia juga memberi indikator terhadap perkembangan dan sambutan pembaca terhadap puisi dan ‘Tukang Puisi’.
Fungsi shares dan likes juga dimanfaatkan oleh pembaca sebagai ruang apresiasi terhadap sesuatu karya dan bersifat dua hala iaitu boleh dilihat oleh penulis karya tersebut.
Ruang komen pula membolehkan interaksi langsung pembaca terhadap teks dan penulis. Kritik, suka, menyampah, pertanyaan, dan seumpamanya.
Satu perkara yang perlu disebutkan, betapa agak mengejutkan apabila melalui ‘Tukang Puisi’ saya menemukan beberapa orang penulis yang belum pernah karyanya tersiar di media konvensional (cetak arus perdana)tetapi mempunyai kekuatan jauh mengatasi penulis senior yang lain.
Berbeza dengan 20 tahun dahulu, penulis hari ini punya ruang banyak ruang lain untuk menajamkan kemahiran mengarang masing-masing.
SOALAN: Kata Pilar jenama penerbitan yang besar dalam konteks buku penulis baru dan penulis mediks. Apa perkembangan bisnes mengenai kandungan/buku yang boleh dikongsikan?
DR FAHD: Secara kasarnya terbitan Kata-Pilar Books boleh dikelompokkan dalam tiga kumpulan utama. Pertama buku berasaskan perubatan yang merupakan pasaran terbesar kami.
Kerja hakiki saya sebagai pegawai perubatan banyak membantu dalam merancang kandungan dan bentuk buku perubatan yang sesuai dan ‘diperlukan’ dalam masyarakat.
Kedua buku-buku sastera. Walaupun pasaran buku sastera paling kecil, tetapi ia membentuk sejumlah pembaca setia yang agak signifikan selain mewujudkan reputasi yang kuat terutama dalam kalangan pembaca sastera.
Ketiga adalah buku-buku dengan tema yang rencam. Ini adalah usaha eksplorasi dan variasi KataPilar dalam mencari ruang dan peluang baru dalam penerbitan buku agar tidak terlalu bergantung kepada pasaran buku berasaskan perubatan semata-mata. Kumpulan ketiga ini menunjukkan hasil jualan yang pelbagai.
Ada yang ulang cetak (satu cetakan 2000 naskhah) dalam masa dua minggu, ada yang cukup dengan sekali cetak.
SOALAN: Tidakkah saudara melihat penerbitan dan pemasaran buku fizikal sangat membebankan sekarang? Bagaimana saudara menangani dan menyusun strategi jangka pendek dan panjang dalam menguruskan flipflop jualan?
DR FAHD: Apabila bercakap buku sebagai komoditi perniagaan, semestinya segala faktor yang mempengaruhi naik-turun pasaran akan memberi kesan terhadap jualan termasuk keadaan ekonomi, permintaan atau trend semasa, serta kaedah pemasaran.
Apabila penerbit (termasuk yang menerima dana kerajaan) gagal menyesuaikan diri dalam ‘permainan’ ini, kesan akhirnya sudah boleh dijangka.
Jika melihat dari perspektif yang lain, merudum jualan sebahagian penerbit turut diimbangi peningkatan penerbit yang lain.
Satu ketika penerbit seperti Karangkraf, PTS, Galeri Ilmu, Jemari Seni dan novel-novel pop seperti Kaki Novel mendominasi carta jualan. Kemudian muncul Dubook, Lejen, Fixi dan seumpamanya.
Kemudian muncul pula White Coat, Inspirasee, Tarbiah Sentap dan sekarang ini Iman Publication dan The Patriots pula yang mendominasi. Ia seperti baton yang diserahkan dari satu penerbit ke penerbit yang lain (malangnya, Kata-Pilar belum merasa memegang baton tersebut).
Jika bercakap secara umum, saya cenderung bersetuju bahawa pasaran buku sedang mengecil. Tetapi kita jangan lupa, lonjakan jualan buku sebelum ini juga sebenarnya agak mendadak dan luar biasa.
Sekitar tahun 2012 hingga 2018 (ini anggaran, mungkin kurang tepat) buku tiba-tiba menjadi trend, pasaran meledak dan penerbit lahir macam cendawan selepas hujan. Jumlah pengunjung pesta buku meroket.
Seperti kebanyakan trend yang lain, sekiranya tidak cukup kuat untuk menjadi akar dan bertahan, ia akan cepat berubah dan merosot.
Di sinilah letaknya cabaran penerbit dan penulis mengatur strategi untuk mengubah trend menjadi sesuatu yang lebih tahan lama.
Secara jujurnya, saya (atau KataPilar) bukanlah contoh yang baik untuk bercakap tentang strategi survival sebagai penerbit.
Kata-Pilar Books adalah penjenamaan semula Grup Karyawan Luar Negara (GKLN). Ini penting kerana GKLN wujud lebih sebagai platform sosial (gerakan membudayakan sastera dan melatih penulis baharu) berbanding platform niaga lalu orientasi yang sama diteruskan dalam Kata-Pilar walaupun sedikit berbeza.
Tidak banyak penerbit yang mahu mengambil risiko menerbitkan buku sastera dan tidak banyak penerbit buku sastera mempunyai pasaran besar dan bertahan.
Susah untuk menjual buku sastera – ia bukan sahaja stereotyping tapi cabaran yang tulen. Sebenarnya, pilihan paling bijak (secara bisnes) tentu sekali dengan mengecilkan divisyen buku sastera, memfokuskan kekuatan KataPilar (iaitu buku berasaskan perubatan) serta meneroka trend baru pembaca.
Survival KataPilar sebagai entiti niaga sama penting dan kuat dengan dorongan sosial untuk membudayakan sastera, melatih penulis baru (termasuk penulis bukan sastera), dan menyampaikan isu perubatan kepada khalayak.
Ini sah sekurang-kurangnya, selagi saya masih menjadi salah seorang penggerak Kata-Pilar.
Pilihan yang tinggal adalah dengan memanfaatkan cara pasaran baru – misalnya melalui ‘Tukang Puisi’ yang mengumpulkan niche puisi atas platform media sosial, selain menjual ‘kekuatan’ karya misalnya melalui penganjuran sayembara, diskusi, dan review.
Kekurangan pesaing penerbit buku sastera (terutama apabila penerbitan DBP dan ITBM menguncup) memberi sedikit kelebihan buat KataPilar.
Paling utama pemasaran buku sastera perlu adaptasi sepenuhnya dengan penggunaan medium yang lebih kontemporari.
Ia satu perlumbaan yang perlu KataPilar tempuhi (dan saya dah mula tercungap-cungap dan berasa tua).
SOALAN: Saya impres sekali melihat peranan intensif Tukang Puisi. Apa perancangan saudara dalam membawa hala tuju Facebook ini sebagai medium berpengaruh dalam dunia sastera?
JAWAPAN: Di Malaysia usaha mengembangkan sastera terutama puisi selalunya ketinggalan, seperti fosil yang terperangkap dalam air batu.
Saya sebenarnya aneh apabila masih lagi mendengar cadangan seperti membaca puisi dalam rancangan televisyen dengan set pentas dan prop seperti yang pernah dibuat oleh siaran TV nasional satu ketika dahulu.
Usaha membudayakan sastera dan puisi perlu trendy dan kontemporari.
Facebook ini sendiri sebenarnya sudah dua tiga tapak ke belakang. Media sosial dan komunikasi cepat berevolusi. Twitter, Instagram, TikTok, video atau TV streaming dan sebagainya, semua ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Matlamat saya ialah meneroka dan meluaskan lagi kandungan dan peranan Tukang Puisi bukan sekadar di Facebook, tetapi juga platform dan bentuk yang lain.
PKP telah memaksa kita meneroka FB-Live dan Youtube, harap ia konsisten dan tidak berhenti setakat itu.
Secara jujur saya sebenarnya antara ‘golongan tua’ yang buta IT dan lambat belajar (malas sebenarnya).
Jadi perancangan saya mudah saja – mencari pengganti dari generasi millennial yang minat sastera, techno-savvy dan boleh mengendalikan hal ini secara sepenuh masa (ya, saya hanya melakukan kerja-kerja ini sebagai part-timer) supaya ‘Tukang Puisi’ kekal sebagai platform yang relevan seiring dengan tabiat sosial masyarakat Malaysia.
Ada yang berminat?
(Begitu enam soalan dan enam jawapan bersama Facebooker Dr. Fahd)
Mengenal profil Tukang Puisi
• Bermula September 2018. Digerakkan secara sukarela dan separuh masa.
• Bukan berasaskan keuntungan.
• Menerima dan menyiarkan puisi melalui beberapa segmen tetap seperti ‘Puisi Hujung Minggu’, ‘Puisi Pilihan’, dan ‘PisauPuisi’.
• Telah menerima sekitar 1500 buah puisi dengan lebih 350 puisi oleh 120 orang penulis telah disiarkan.
• Turut mempunyai instagram (tukangpuisikatapilar) dan wordpress (tukangpwisi.wordpress)
• Karya tersiar telah dibukukan dalam empat buku mini iaitu:
1) Ballet de Cour
2) Bibir Merah Api
3) Bulan Empat Segi
4) Jari-jari Aneh
Maklumat KataPilar Books
• Penjenamaan semula Grup Karyawan Luar Negara pada tahun 2016
• Telah menerbitkan 100 judul buku dan zine pelbagai genre
• CEO terkini Rasydan
• Berpusat di Bandar Mahkota Cheras
• Terdiri daripada empat kakitangan sepenuh masa dan satu kakitangan separuh masa
• Beberapa judul buku telah menerima hadiah. Paling tinggi, dua buku KataPilar Books memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (kategori buku), selain beberapa Hadiah Sastera peringkat negeri dan beberapa Anugerah Buku Negara.
Nota: Tahniah kepada Facebooker Dr Fahd atas inisiatif yang kini menjadikan Tukang Puisi sebagai antara tetulang utama platform sastera di media sosial.
__________________________________________________________________________________
* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#2020
#Buku
#digital
#Dr Fahd Razy
#Dunia
#Ibu Kota
#KLWBC
#Kuala Lumpur
#media sosial
#puisi
#Tukang Puisi