KLWBC 2020: Buku Alam Pak Anjang Pencinta Alam

Zainal Rashid Ahmad
Ogos 17, 2020 10:00 MYT
KLWBC 2020: Buku Alam Pak Anjang Pencinta Alam.
JARANG buku dikaitkan dengan perjuangan alam sekitar.
Apatah lagi kisah seorang rakyat marhaen yang menghabiskan usia lebih tiga dekad memelihara alam sekitar tanpa sebarang bayaran oleh mana-mana pihak.
Sebaran ilmu, kelestarian alam dan karya sastera selalu menyatu dalam sebuah buku.
Namun, sebuah buku dan kisah perjuangan seorang lelaki kampung yang datang ke Kuala Lumpur dan menghabiskan masa dengan usaha menyelamatkan sungai dan hutan simpan adalah kisah yang menarik.
Pak Anjang anak rantau dari Batu Kurau dan meneroka tanah di kawasan Alang Sendayu, Gombak sejak 1982.
Sebagai anak rantau dan bekerja menjadi pengawal keselamatan ketika usia 18 tahun - Pak Anjang terpaksa membina rumah pondok di pinggir hutan simpan Klang Gates.
Ini buku pengalaman awal seorang budak kampung yang melihat hutan dan sungai di sekitar Lembah Kelang sebagai kampung halamannya.
Itu sejarah perjalanan merantau Pak Anjang 38 tahun lalu. Namun, kesan memilih pinggir hutan yang berdekatan sungai membekaskan rasa cinta dalam hatinya.
Sejak itu, hutan simpan Alang Sendayu berdekatan Klang Gates hingga kini menjadi sebahagian dunianya.
Memulakan kerja sebagai pengawal keselamatan, sejak lama dulu - hutan simpan Alang Sendayu telah menjadi sumber rezeki tambahan.
Dari bujang sampai berkahwin dan beranak cucu, hutan simpan ini kini sudah sebati dengan hidupnya. Malah, menjadi kecintaannya.
"Saya meneroka kawasan belukar dan membina rumah pada awal 80-an berdekatan kawasan hutan simpan di sini," katanya.
Buku hidup selama hampir empat dekad mengajarnya mendekati dan menyayangi alam hutan.
Malah, hampir setiap hujung minggu sungai yang mengalir dari Klang Gates diredahnya dan dibersihkan.
Pak Anjang menganggap anak sungai di kawasan Klang Gates sebagai "anak kandungnya" sendiri. Sekaligus menjadi dunia pemuliharaan Pak Anjang.
"Saya selalu masuk ke belukar untuk mencari buluh, mendenak ayam hutan, mengail ikan dan mencari hasil tanaman.
"Berapa sangat gaji pengawal keselamatan tahun 80-an dan 90-an," ceritanya.
Justeru, rezeki tambahan bagi kehidupannya datang dari sumber di hutan.
"Paling tidak pucuk paku, rebung dan kangkung liar ada sepanjang tahun," katanya.
Walaupun tinggal 20 kilometer dari Kuala Lumpur, Pak Anjang tidak kenal KLCC atau LRT. Dia tidak berminat pada Bukit Bintang atau Dataran Merdeka.
"Saya orang kampung, jadi hutan Klang Gates lebih menarik berbanding bangunan mewah di Kuala Lumpur," katanya.
*Masuk hutan bersihkan sungai
Setiap hujung minggu, sejak dekad 90-an, rutinnya ialah memasuki hutan dan menyusur sungai membersihkan sisa-sisa kayu dan sampah-sarap.
Pak Anjang rimas melihat sungai di laluan hutan simpan dicemari sampah yang menyebabkan aliran air terjejas.
Bahayanya menyebabkan air bertakung dan membentuk kolam tadahan yang boleh menyebabkan banjir kilat.
"Jadi setiap hujung minggu saya menjelajah sepanjang sungai mengutip apa saja sampah-sarap yang menghalang laluan air," katanya.
Kecintaan pada sungai, akhirnya menyebabkan Pak Anjang memilih membina pondok di hulu sungai. Selain mencari hasil hutan, fokusnya tetap pada usaha menjaga kebersihan sungai.
"Saya berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan dan membuka pondok rehat yang disewakan kepada pengunjung hujung minggu," katanya.
Selain itu, Pak Anjang membantu pelancong asing yang berminat menjelajah hutan dan menikmati cabaran ala "jungle survival".
"Saya ingin mendapatkan sokongan kerajaan untuk menganjurkan program menyintai hutan di kalangan pelajar sekolah," katanya.
Anak-anak bandaraya, kata Pak Anjang, perlu menghargai kawasan hutan simpan di sekitar Lembah Kelang.
"Mereka harapan kita demi masa depan kalau tidak mahu hutan belantara di KL dijadikan hutan batu," katanya.
Kata-kata akhirnya: "Saya tidak berpelajaran. Bolehkah sesiapa membantu melaksanakan projek demi masa depan hutan kita?"
Sebagai usahawan kecil yang mengusahakan pondok rehat Zoom Bamboo Rimba, Pak Anjang merayu sokongan demi memelihara kelestarian hutan simpan di Klang Gates.
"Saya bukan seorang penulis, tetapi kisah masa depan hutan simpan Klang Gates mesti ditulis demi masa depan anak-anak kita," katanya.
Selain mahukan sungai dan alam hutan dipelihara, Pak Anjang gusar sekiranya sifat menyintai alam tidak lagi menjadi budaya rakyat Malaysia.
"Saya mahu memastikan generasi muda menyedari pentingnya peranan hutan simpan dalam kehidupan warga kota," katanya.
KLWBC 2020 tidak wajar seputar soal buku bertulis semata-mata. Pak Anjang ialah sebuah buku kehidupan yang mesti ditulis.

*Penulis merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#banjir #Dataran Merdeka #keselamatan #KLWBC #Kuala Lumpur #Malaysia #Merdeka #rakyat Malaysia
;