KLWBC 2020: Budiman dan buku sebagai teras survival masyarakat
Zainal Rashid Ahmad
Mei 29, 2020 11:34 MYT
Mei 29, 2020 11:34 MYT
MENJADIKAN buku-buku Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah 17 Februari 1908 - 24 Julai 1981) sebagai simbol perpaduan melalui perkongsian pembacaan satu idea luar biasa.
Apa lagi dengan cita-cita buku-buku Hamka boleh menyatukan orang Melayu melalui minat membaca. Hamka sebagai perantara tanpa jurang ideologi politik.
Hamka nama besar di Alam Melayu. Peranannya sebagai ulama, pemikir dan sasterawan menjadikan buku-buku Hamka terus dicari; dibaca hingga hari ini.
Profil Hamka yang dihormati dan disukai pelbagai lapisan pembaca memberikan idea pada Budiman Mohd Zohdi untuk membuka Pustaka dan Rumah Tamu Hamka pada 5 Ogos 2017.
Uniknya projek perbukuan ini bertujuan mencipta perpaduan dan perkongsian ilmu. Lokasinya di Kampung Tebuk Haji Yusuff di Sungai Besar, Selangor.
"Projek ini dijalankan paa sukarelawan persatuan pesara guru Sabak Bernam dan penduduk kampung dengan matlamat penyebaran ilmu, pemuliharaan arkib, penandaan indeks dan paparan buku," kata Budiman.
Malah, projek ini berjaya memupuk minat orang kampung untuk memulakan budaya bacaan sekaligus memahami pemikiran ulama dan sasterawan Hamka.
Siapa Budiman Mohd. Zohdi
Budiman lahir 11 Mac 1972 dan bekas Ahli Parlimen Sungai Besar. Selain ADUN Sungai Panjang pada 2013 hingga 2018.
Budiman aktif dalam politik tetapi sekaligus pecinta buku.
Sebagai mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM 2016 - 2018), Budiman memahami dunia perbukuan sebagai aktivis dan operator korporat.
Secara geografi, Budiman tahu persekitaran tanah kelahiran Hamka di Nagari Sungai Batang, Tanjung Raya, Kabupaten Agam, Sumatra Barat - ada persamaan kedesaan dengan kampung halamannya di Sungai Besar.
Budiman tahu, Hamka menjadi idola bagi pembaca setia novel Melayu. Malah, karya-karya ilmiahnya boleh membina minta siratulrahim dan memperkaya budaya insani kepada pembaca.
Budiman memilih karya-kaya Hamka kerana pemikiran ulama Melayu Nusantara sampai hari ini mempunyai nilai yang setara dan bersesuain dengan budaya setempat.
"Ketika orang Melayu mahu mempertingkat diri dengan pemikiran yang lebih terbuka, Islami dan kuat nilai Melayunya, Hamka adalah ikon terbaik," kata Budiman.
Ketika remaja, Budiman mengakui dirinya dimatangkan buku-buku karya Hamka. Sama ada pemikiran Islam, sosial mahu pun karya sastera.
Budiman kini bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
"Saya mula membaca ketika remaja dan susah didedahkan dengan buku Hamka berjudul Falsafah Hidup dan Tasauf Moden. Saya membaca novel Tenggelam Kapal Van Dick sebagai asas membina minda remaja saya," kata Budiman.
Sejarah Hamka sebagai ulama dan sasterawan Indonesia memang mempunyai aura tersendiri. Hamka ketika berusia empat tahun tinggal bersama datuk dan dua adiknya. Jauh daripada ibu bapa yang merantau.
Bersama rakan-rakan sebaya, Hamka menghabiskan masa kecilnya bermain di Danau Maninjau. Pengaruh yang menjadikan latar desa dalam novel-novel Hamka sangat kuat pesonanya.
Ini latar yang serasi dengan Sungai Besar yang masih tebal dengan nilai kedesaan. Karya Hamka mampu membuka minda penduduk untuk mendekati Pustaka dan Rumah Tamu Hamka.
"Saya faham suasana di Sungai Besar. Memulakan sesuatu yang bersifat buku dan ilmu mesti ada karya sesseorang yang hebat tetapi kuat latar desanya," kata Budiman.
Budiman juga Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (SERANG), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang cakna mengenai isu pendidikan di Selangor.
Satu lagi karektor khas mengapa Budiman sangat mempromosi buku sebagai penjana ilmu bagi mendedahkan budaya fikir yang signifikan kepada generasi muda.
SERANG aktif menganjurkan karnival, persembahan pentas dan sesi Baca Puisi bagi menarik anak muda mendekati pendidikan melalui kesusasteraan.
Mengenai cabaran industri perbukuan semasa, Budiman prihatin dan sangat bimbang melihat saingan pengaruh gajet digital terhadap anak muda.
"Sebagai mantan Pengerusi ITBM, saya sudah melihat impak dan kemerosotan industri buku kerana pengaruh kandungan digital serta keadaan ekonomi yang merosot yang menyebabkan daya beli kekal melemah," katanya.
Sebagai penulis pula, Budiman yakin pasaran buku masih ada dengan syarat penerbit memahami persekitaran pasaran dan industri.
"Pasaran buku masih ada, ia bergantung kepada peringkat umur. Penulis perlu memahami pasaran buku dan ilmu dalam buku yang bakal dikongsi dengan pembaca mesti memiliki upaya dan manfaat," katanya.
Mengenai KLWBC 2020 dan persekitaran acara yang berubah berikutan Covid-19, Budiman menekankan pentingnya usaha mendekati masyarakat melalui kempen pembacaan diteruskan.
Proses mengukuhkan minat membaca mesti diperkasa sejajar dengan semangat KLWBC 2020 itu sendiri.
"Memang Covid-19 memberi impak besar, tetapi kita tidak boleh berundur. Kita harus pantas menyesuaikan diri dan menjadikan tahun 2020 sebagai usaha menyebarluaskan minat pembacaan," katanya.
Budiman percaya, setiap kemelut ada ujian dan proses terbaik ialah menanganinya dengan penyesuaian semasa.
"Semakin sukar kehidupan masyarakat, semakin penting buku sebagai alat "soft skill" bagi menguatkan keperibadian untuk kekal tabah dan survival," katanya.
Dunia, kata Budiman, dibangunkan tamadun ilmu. Tidak ada negara bangsa yang hebat dan berkembang mengabaikan peranan buku sebagai sumber kekuatan ilmu.
Buku katanya, kini keperluan utama bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota raya gedung ilmu.
"Ketika susah, masyarakat perlukan suntikan semangat untuk kekal kuat. Maka, buku memainkan peranan dan KLWBC 2020 perlu terus kondusifnya," kata Budiman.
Budiman memuji usaha anak muda yang mula meneroka platform digital dan media sosial sebagai pemangkin proses pembacaan terutama karya sastera.
"Platform Facebook sangat berkesan sebagai asas mudah untuk mengukuhkan pengaruh pembacaan dan minat terhadap buku terutama bacaan sastera," kata Budiman.
Menurut Budiman, media sosial lebih efisyen dalam komunikasi berkelompok dan mudah diakses tanpa had.
Kepada penulis muda, Budiman berpesan agar kekal komited dan peka kepada keperluan pembacaan masyarakat.
"Menulis karya yang memiliki upaya meningkatkan daya fikir pembaca.
"Kekalkan karya setaraf Hamka yang dibaca dan kekal hidup sepanjang masa," katanya.
_______________________________________________________________________________
* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#2020
#Budiman Mohd Zohdi
#Buku
#Dunia
#Hamka
#Ibu Kota
#KLWBC
#Kuala Lumpur
#politik
#Sg Besar
#ulamak