KLWBC 2020: 31 Julai tarikh tutup sayembara
Zainal Rashid Ahmad
Julai 24, 2020 09:00 MYT
Julai 24, 2020 09:00 MYT
SAYEMBARA Penulisan KLWBC 2020 kini menuju puncak bagi menerima penyertaan manuskrip penulis menjelang tarikh penutupan pada 31 Julai ini.
Kadar penerimaan manuskrip meningkat mendadak pada pertengahan Julai dan angka penyertaan sayembara berprestij itu kini melepasi jumlah 200 buah manuskrip.
"Setiap hari mula minggu ini, kami dapat tidak kurang 15 manuskrip sehari dan banyak nama-nama besar yang selalu menang sayembara mengirim bahan mereka," kata Setiausaha PENA, Saifullizan Yahaya.
Menjelang tarikh tutup, PENA selaku penganjur acara ini bagi pihak Sekretariat KLWBC 2020 terus agresif mempromosi bagi mendapatkan lebih banyak manuskrip penyertaan.
"Kami terus melakukan pelbagai promosi di media sosial sejak Februari dan makin agresif pada Julai melalui Facebook PENA," katanya.
Bagi memenuhi ruang masa mengikut perbatuan kerja, sebaik saja tarikh tutup 31 Julai, PENA akan terus memulakan gerak kerja memproses manuskrip bagi tujuan pemilihan pemenang.
Merujuk perbatuan kerja PENA, proses pengasingan manuskrip bagi kategori novel dan puisi akan dimulakan pada 1 hingga 3 Ogos sebaik saja tarikh tutup.
Sayembara penulisan KLWBC 2020 diadakan diadakan bersempena Kuala Lumpur menjadi Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2020.
World Book Capital (WBC) diasaskan UNESCO pada 2001 untuk menyemarakkan aktiviti perbukuan dan budaya membaca kepada setiap warga ibu kota khususnya dan negara umumnya.
Tujuan Sayembara Penulisan KLWBC ini diadakan sebagai usaha menyemarakkan kegiatan sambutan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020.
Sayembara ini juga bertujuan menyediakan bahan bacaan yang terbaik.
Warganegara Malaysia dipelawa menghasilkan karya dalam genre puisi moden dan novel sebagai manifestasi kepada kecemerlangan mutu sastera Malaysia.
Sayembara ini menawarkan tiga hadiah utama kategori novel bernilai RM14,000 setiap satu, manakala lima hadiah sagu hati akan menerima RM4,600 bagi setiap karya terpilih.
Bagi kategori antologi puisi, tiga hadiah utama akan menerima RM7,000 tiap satu dan lima hadiah sagu hati bernilai RM3,800 tiap satu.
Apa yang unik bagi kategori novel, sayembara ini mencipta sejarah dengan pengajuran yang bebas tema dan tiada had halaman.
Namun, sebagai novelis, penulis perlu bijak dan munasabah membina naratif yang sesuai dalam karyanya.
Bagi kumpulan puisi, temanya juga bebas dengan jumlah 40 buah sajak. Genrenya pula puisi moden dan dewasa.
Sayembara ini terbuka tanpa mengira had umur. Selain syarat mengenai keaslian karya dan ditulis dalam bahasa Melayu.
Peserta dibenarkan menghantar lebih daripada satu penyertaan untuk mana- mana kategori yang disertai.
Namun, hanya layak memenangi satu hadiah bagi setiap kategori.
Peserta perlu memberikan maklumat dan butiran diri dengan mengisi borang penyertaan yang boleh dimuat turun melalui laman Facebook Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).
Syarat-syarat lain ialah karya tidak boleh mengandungi unsur negatif yang menyentuh sensitiviti kaum, agama, keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.
Kepada penulis berminat anda masih memiliki waktu seminggu untuk menyertai sayembara berprestij ini.
* Penulis merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.