Kluster Tembok: Bekas banduan, tahanan reman ditempatkan di stesen kuarantin
Bernama
Oktober 14, 2020 17:06 MYT
Oktober 14, 2020 17:06 MYT
ALOR SETAR: Tahanan reman serta banduan di Penjara Alor Setar dan Penjara Pokok Sena di Kedah yang dibebaskan akan ditempatkan di stesen kuarantin COVID-19 bagi menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu.
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata langkah itu berikutan penularan kes COVID-19 yang dikaitkan dengan Kluster Tembok dikesan menjangkiti individu lain setelah mempunyai kontak rapat dengan tahanan dibebaskan dari kedua-dua penjara berkenaan.
Katanya, untuk permulaan kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM100,000 bagi mengendalikan stesen kuarantin khas untuk bekas tahanan dan banduan berkenaan.
"Terdapat kes tahanan yang dibebaskan dan sepatutnya kuarantin di rumah tidak berbuat demikian kerana mungkin mereka telah berada lama di penjara dan rindu dengan adik-beradik, jadi mereka berjalan merata.
"Ini menyebabkan merebak keluar dari tembok, khususnya di daerah Baling apabila ada pelajar sekolah, anak saudara dan adik-beradik kepada bekas tahanan dijangkiti COVID-19 dari Kluster Tembok," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata pihaknya mencadangkan Institut Aminuddin Baki (IAB) di Jitra, dijadikan tempat untuk bekas banduan dan tahanan reman memandangkan ia adalah stesen kuarantin yang diwartakan bagi menempatkan rakyat Malaysia pulang dari luar negara.
"Saya akan bermesyuarat dengan Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Berkaitan COVID-19 petang ini dan akan menentukan keperluan peruntukan sebenar untuk mengendalikan stesen kuarantin dan sama ada perlu untuk buka stesen kuarantin lain bagi tahanan penjara yang telah dibebaskan.
"Saya difahamkan oleh Jabatan Penjara, ada 20 banduan atau tahanan reman yang dibebaskan setiap hari (dari kedua-dua penjara itu), kalau lima hari sudah 100 orang, jadi kita perlu lihat keperluan untuk buka stesen kuarantin lain sebab IAB hanya boleh muatkan 100 orang sahaja," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata setakat semalam terdapat 1,353 kes COVID-19 aktif di negeri ini dan sebahagian besar daripada jumlah itu melibatkan Kluster Tembok (1,314 kes) yang merebak ke tujuh daerah.
"Ia melibatkan banduan dalam penjara, banduan yang telah dibebaskan, keluarga banduan dibebaskan, kakitangan penjara dan keluarga mereka serta anggota polis pengiring," katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan situasi kes di Penjara Pokok Sena dan Penjara Alor Setar adalah terkawal dan terdapat 1,195 banduan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini dan di pusat rawatan di penjara.
Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran selama 14 hari di kawasan Penjara Alor Setar berkuat kuasa 6 Okt, manakala Penjara Pokok Sena dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 11 Okt.
-- BERNAMA
#Kluster Tembok
#Kedah
#banduan
#Tahanan
#Tahanan reman
#Penjara Alor Setar
#pokok sena
#stesen kuarantin
#COVID-19