Kluster Tawar dan Telaga catat pertambahan kes positif - Dr Noor Hisham

Fareez Azman
September 1, 2020 18:17 MYT
Dr Noor Hisham memaklumkan perkembangan itu dalam sidang media KKM pada Selasa. Gambar fail
Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan terdapat pertambahan masing-masing satu kes bagi Kluster Tawar dan Kluster Telaga di Kedah serta Pulau Pinang.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia menjadikan jumlah kes Kluster Tawar sebanyak 75 kes dan Kluster Telaga (enam).
"Sehingga 1 September, jam 12 tengah hari, seramai 17,880 orang telah disaring dalam kluster ini.
"Di Kedah, seramai 17,335 disaring dengan 64 orang dikesan positif COVID-19, negatif (15,853) dan masih menunggu keputusan (1,418)
"Di Pulau Pinang pula, seramai 534 individu telah disaring dengan 11 orang didapati positif COVID-19 dan negatif (523). Di Perak, 11 saringan dilakukan dan kesemuanya disahkan negatif," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Katanya, bagi Kluster Telaga pula, seramai 1,008 individu telah disaring di Kedah selain satu saringan di Pulau Pinang yang masih menunggu keputusan.
"Saringan di negeri Kedah mendapati enam kes dikesan positif COVID-19, negatif (968) dan masih menunggu keputusan (33)," kata Dr Noor Hisham.
Katanya, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kedua-dua kluster berkenaan.
#COVID-19 #Dr Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan #kes positif #Ketua Pengarah Kesihatan #KKM #Kluster Tawar #Kluster Telaga #koronavirus
;