Kluster Tawar: 899 individu disaring, 39 positif COVID-19 - Dr Noor Hisham

Fareez Azman
Ogos 16, 2020 17:40 MYT
Sehingga 16 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 899 orang telah disaring dalam kluster Tawar - Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Gambar: Astro AWANI
Seramai 899 individu berkaitan Kluster Tawar telah disaring setakat ini di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sehingga kini sebanyak 39 kes positif dicatatkan dari kluster itu dengan enam kes baharu pada Ahad.
"Sehingga 16 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 899 orang telah disaring dalam kluster ini. Pecahan saringan mengikut negeri yang terbabit adalah seperti berikut di Kedah 727 disaring, 35 individu dikesan positif COVID-19, 643 individu disahkan negatif dan 49 lagi individu masih menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Manakala di Pulau Pinang, sebanyak 164 individu telah disaring dengan empat kes positif, 155 individu negatif dan lima individu masih menunggu keputusan.
Di Perak pula daripada lapan saringan yang dijalankan, lima daripadanya disahkan negatif dan tiga lagi masih menunggu keputusan.
Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jelas Dr Noor Hisham, sedang menjalankan pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat. Situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
#COVID-19 #Dr Noor Hisham Abdullah #Kedah #Kementerian Kesihatan Malaysia #kes positif #KKM #Kluster Tawar #mangsa #Perak #pulau pinang #saringan
;