Kluster tarawih: Kerajaan Kedah tarik balik kebenaran jika tidak patuh SOP
Adie Sufian Zulkefli
April 14, 2021 10:33 MYT
April 14, 2021 10:33 MYT
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah akan menarik balik kebenaran menunaikan solat tarawih di masjid dan surau di seluruh negeri sekiranya kes jangkitan COVID-19 meningkat.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Datuk Najmi Ahmad berkata, kenaikan kes COVID-19 adalah disebabkan kelalaian diri sendiri yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, memandangkan tahun ini umat Islam diberi ruang dan peluang menunaikan solat tarawih di masjid, seharusnya tanggungjawab itu dipikul bersama bagi memastikan tidak berlaku penyebaran COVID-19 semasa beribadah.
Ini, jelas beliau, berdasarkan pengalaman ketika pelaksanaan solat Jumaat di mana SOP ketika keluar dari masjid sering kali diabaikan apabila ramai jemaah keluar serentak tanpa menjaga jarak.
Terdapat juga, katanya, mereka yang tidak memakai pelitup muka dengan betul ketika berada di masjid yang mempunyai ramai jemaah.
Keadaan ini, menurut Najmi, boleh menyebabkan penyebaran jangkitan.
Katanya, garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan pelaksanaan solat jemaah di masjid penting dipatuhi bagi memastikan tiada kluster solat tarawih muncul.
"Pejabat agama juga ada keluarkan peraturan, yang ada kaitan dengan zon di kawasan tertentu. Kalau zon hijau, ikutlah arahan di zon hijau. Begitu juga di zon kuning.
"Di zon merah, kita tak benarkan (solat tarawih berjemaah di masjid) sepertimana peraturan daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.
Sebagai penambahbaikan, katanya, pihak masjid perlu menambah bilangan petugas yang menjaga jemaah ketika solat tarawih.
Jemaah juga perlu memainkan peranan dan tanggungjawab mematuhi SOP yang ditetapkan pihak masjid, tambahnya.
Sekiranya terjadi perkara tidak diingini, kata Najmi, ia akan memberi persepsi buruk daripada masyarakat berbilang kaum, menyebabkan nilai yang ada pada Islam dipandang rendah hanya kerana perbuatan segelintir pihak.
"Kalau ikut kapasiti masjid, selagi dalam lingkungan yang dalam takrifan atau definisi yang dibenarkan, kita tiada masalah.
"Maknanya, kena tengok apa definisi kita mengenai keluasan masjid. Jika ruang yang luas dan sebagainya, selagi pergerakan jemaah tidak menimbulkan apa-apa dari segi larangan, kita benarkan."
#COVID-19
#kerajaan
#pelitup muka
#Solat Jumaat
#Kedah
#KKM
#SOP
#kluster tarawih
#Najmi Ahmad
#Majlis Keselamatan Negara
#Kementerian Kesihatan
#keselamatan
#kesihatan
#operasi
#Islam
#ramadan2021