Kluster Tabligh Pakistan di Tawau ditamatkan - Dr Noor Hisham

Hasimi Muhamad
Mei 11, 2020 17:27 MYT
Dr Noor Hisham berkata kluster tersebut melalui proses pemantauan selama 28 hari sebelum ia ditamatkan pada Isnin.
Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan satu lagi kluster membabitkan Tabligh Pakistan di Tawau, Sabah telah berjaya ditamatkan.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kluster tersebut melalui proses pemantauan selama 28 hari sebelum ia ditamatkan pada Isnin.
"Jumlah kes yang terlibat adalah enam kes dan kluster ini telah pun ditamatkan oleh Kementerian Kesihatan," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Isnin.
Dr Noor Hisham dalam pada itu memaklumkan tiada pertambahan kes baharu COVID-19 melibatkan tiga kluster iaitu Pusat Bandar Utara, Pasar Borong Kuala Lumpur dan Selayang Baru.
Ia sekali gus menyaksikan kluster Pusat Bandar Utara dan Pasar Borong Kuala Lumpur kekal 197 kes, dengan 83 kes dikesan di luar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
"Ia melibatkan 120 bukan warganegara Malaysia. (Sementara itu), Selayang Baru kekal dengan 52 kes melibatkan 21 bukan warganegara," katanya.
#Dr Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan #KKM #Kuala Lumpur #Malaysia #Noor Hisham Abdullah #Selayang #Tawau
;